Lawatan Saya Kali ke-2 di SK Saliliran, Nabawan, Pensiangan

Lakaran laluan ke SK Saliliran dari Kuala Salung, Pensiangan

Lakaran laluan ke SK Saliliran dari Kuala Salung, Pensiangan

Saya pernah sekali melawat ke SK Saliliran, Nabawan, Pensiangan pada tahun 2006. Tugasan saya ketika itu ialah membantu kerja-kerja penggambaran guru-guru yang mengajar nun jauh di pedalaman. Walaupun tidak ada ‘nama’, namun klip video berkenaan guru tersebut telah berjaya diterbitkan oleh pihak BTP KPM dengan tajuk “Permata Belantara”. Pada hemat saya, penerbitan beberapa siri video klip yang menceritakan tentang pengalaman dan realiti hidup guru-guru yang mengajar di kawasan pulau dan pedalaman telah mendorong pihak kerajaan untuk memberikan elaun khas kepada guru-guru tersebut.

Saya berpeluang sekali lagi melawat ke sekolah itu pada 22 hingga 24 Februari 2010. Tugasan saya kali ini ialah membantu krew BTP KPM membuat penggambaran video sempena lawatan kerja YB Dr. Haji Mohd Puad bin Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia ke sekolah SK Saliliran.

Berikut ialah tempoh masa perjalanan yang diambil untuk sampai ke SK Saliliran, Nabawan, Pensiangan:

22 Februari 2010
2.00pm: Bertolak dari Keningau ke SK Kuala Salung
5.00pm: Sampai di SK Kuala Salung, Nabawan
8.00pm: Majlis sambutan oleh pihak sekolah SK Kuala Salung berlangsung dan berakhir pada jam 11.00 malam. Rombongan berehat dan tidur di SK Kuala Salung.

23 Februari 2010
7.00am: Rombongan bertolak dari Pangkalan Salung menggunakan bot
8.15am: Rombongan singgah di SK Logongon
9.45am: Rombongan singgah di SK Tinanduk
12.30pm: Rombongan sampai dan singgah makan tengahari di Pensiangan
1.50pm: Rombongan singgah di SK Sibangali
Nota: Sibangali ialah sebuah penempatan di kuala Sungai Salilir dan Sungai Tagol. Pada 8 -12 Ogos 2005, saya pernah melalui sungai Tagol dari Kg. Salarom (Perkampungan kini telah ditinggalkan) menuju ke Pensiangan dan Salinatan. Masa itu, kami bertolak seawal jam 6 pagi dari Kg Salarom dan sampai di SK Salinatan pada jam 9 malam.

2.00pm: Bertolak dari SK Sibangali menuju Kg. Sinapar
Nota: Masa perjalanan tertakluk kepada keadaan sungai. Jika banjir besar, perjalanan mengambil masa singkat. Perjalanan akan menjadi lambat jika musim kemarau kerana air cetek. Juru bot  dan juru batu terpaksalah turun untuk menarik atau menyorong bot mereka jika air terlalu cetek. Ada kalanya penumpang perlu turun membantu menyorong dan menarik perahu, atau hanya berjalan kaki sahaja di tebingan sungai yang berbatu. Satu hal jika tidak biasa berjalan di tepi sungai yang berbatu, kerana batu licin serta sering menyeberang sungai sesuatu yang amat memenatkan.

5.30pm: Sampai di Kg. Sinapar, tempat terakhir bot boleh sampai. Rombongan memulakan episod dengan berjalan kaki merentas bukit, belantara dan sungai menuju ke SK Saliliran. Perjalanan biasa bagi penduduk kampung mengambil masa empat hingga lima jam untuk sampai jarak sejauh tujuh batu dari Kg. Sinapar ke SK Saliliran.
11.45pm: Rombongan sampai di SK Saliliran. Tidur dan berehat di SK Saliliran.

24 Februari 2010
8.30 – 10.30am: Majlis sambutan rasmi YB. Dr Mohd Puad bin Zarkashi dan rombongan di Bangsal Kg. Saliliran.
11.00am: Bertolak dari SK Saliliran
4.00pm: Sampai dan singgah makan/rehat di Bangsal, Pensiangan
5.30pm: Bertolak pulang dari Pensiangan ikut jalan darat menggunakan kereta pacuan 4 roda.
Nota: Perjalanan saya dari Pensiangan menerusi jalan raya adalah pengalaman pertama. Perjalanannya amat mencabar dan amat berbahaya terutama ketika hujan. Perjalanan dari Pensiangan ke Sepulut mengambil masa kira-kira dua hingga 3 jam.

Ringkasan:
1.    “Tidak ada dalam sejarah seorang Murut tulen melakukan perjalanan dari Kuala Salung terus ke Kg Saliliran dalam satu hari”. Cikgu Osman Aganduk, Pegawai Pelajaran Daerah Nabawan.
2.    “Inilah pertama kali dalam hidup saya berjalan di dalam hutan belantara pada waktu malam”. YB Dr. Haji Mohd Puad bin Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia
3.    Terdapat beberapa orang ahli rombongan tidak sampai ke SK Saliliran. Mereka tidur di hutan (2 jam perjalanan dari SK Saliliran) dengan membuat khemah, manakala bekalan makanan dihantar oleh penduduk kampung serta anggota tentera yang berpangkalan hampir dengan Kg Saliliran.
4.    Perjalanan menggunakan bot/perahu dari Pangkalan Kuala Salung hingga SK Sibangali mengambil masa enam hingga tujuh jam, bergantung kepada keadaan sungai dan kekerapan singgah di perkampungan/sekolah.
5.    Perjalanan menggunakan bot/perahu dari SK Sibangali hingga Kg Sinapar (turun/naik bot, berjalan kaki, menolak/menarik bot) mengambil masa lima hingga enam jam.
6.    Perjalanan meredah hutan belantara, bukit bukau dan sungai dari Kg Sinapar ke SK Saliliran mengambil masa tujuh hingga lapan jam.
7.    “Saya datang melawat ke SK Saliliran setelah Cikgu Hamzah menulis di dalam Facebook saya”. YB Dr. Haji Mohd Puad bin Zarkashi.
8.    “Saya merasakan tugas saya sebagai Timbalan Menteri Pelajaran telah lengkap setelah melawat ke SK Saliliran”. YB Dr. Haji Mohd Puad bin Zarkashi.
9.    Saya sampai ke SK Saliliran pada pukul 8.45 malam pada lawatan kedua berbanding jam 10.00 malam pada lawatan pertama 2006.

Isu dan masalah:
1.    Keperluan rumah guru yang agak kritikal kerana terdapat beberapa guru yang terpaksa bersesak di dalam sebuah rumah yang agak sempit dan tiada ruang untuk menyimpan pakaian sehingga pakaian disimpan di dalam stor.
2.    Keperluan asrama desa. Iaitu merujuk kepada keadaan asrama yang agak daif yang disediakan oleh orang kampung di SK Saliliran. Terdapat 13 orang pelajar dari Kg Kabu (7 jam berjalan kaki) tinggal di asrama tersebut. Manakala SK Sikalabaan (sekolah cawangan SK Pensiangan) telah ditutup kerana masalah pengangkutan guru dari SK Pensiangan. Keadaan ini menyebabkan 34 orang murid yang bersekolah di sekolah cawangan berkenaan kini tidak bersekolah.
3.    Keperluan air bersih.
4.    Keperluan penambahan bilik darjah.
5.    Keperluan sekolah menengah

Pelian

Pelian…panggilan tempatan (Dusun) bagi ikan kelah. Semalam saya balik kampung di Tambunan. Malamnya, saya sempat turun ke sungai bersama adik untuk menjala ikan. Dapat ikan pelian, tidaklah banyak sangat sebab menjala tak lama.