Hukum-hukum Islam

Berapa bahagian hukum Islam?
Terdapat tujuh (7) bahagian hukum Islam, iaitu:

  1. Wajib atau fardhu
  2. Sunat
  3. Haram
  4. Makruh
  5. Mubah atau harus
  6. Sah
  7. Batal

Apa itu wajib?
Wajib ialah sesuatu yang mesti dikerjakan. Jika dikerjakan mendapat pahala dan jika ditinggalkan mendapat dosa. Contohnya, wajib mengerjakan sembahyang lima waktu sehari dan semalam.

Apakah perbezaan di antara wajib dengan fardhu?
Maksud perkataan wajib dan fardhu adalah sama, kecuali di dalam bab haji ada perbezaannya.

Berapa bahagian fardhu?
Fardhu terbahagi kepada dua, iaitu:

  1. Fardhu ‘Ain
  2. Fardhu Kifayah

Apakah maksud fardhu ‘Ain?
Fardhu ‘Ain ialah sesuatu yang wajib dikerjakan oleh tiap-tiap diri orang Islam yang baligh lagi berakal. Kewajipan itu tidak terlepas dari tanggungjawab diiri seseorang kecuali dirinya sendiri yang mengerjakannya. Contoh fardhu ‘Ain ialah mengerjakan sembahyang lima waktu dalam sehari semalam.

Apakah maksud fardhu Kifayah?
Fardhu Kifayah ialah sesuatu yang wajib dikerjakan oleh sekalian orang Islam yang baligh lagi berakal (kewajipan dan tanggungjawab bersama). Jika kewajipan itu dikerjakan oleh sebahagian orang Islam, maka terlepaslah sebahagian lagi orang lain daripada kewajipan tersebut. Tetapi jika kewajipan itu tidak dikerjakan, maka sekalian orang Islam akan menanggung dosa. Contoh fardhu Kifayah ialah sembahyang jenazah.

Apakah maksud Sunat?
Sunat ialah sesuatu pekerjaan yang digalakkan oleh agama. Jika dikerjakan mendapat pahala dan jika ditinggalkan tidak mendapat dosa. Contoh Sunat ialah mengerjakan sembahyang sunat hari raya (‘Aidilfitri atau ‘Aidiladha)

Apakah maksud Haram?
Haram ialah sesuatu yang mesti ditinggalkan. Jika ditinggalkan mendapat pahala dan jika dikerjakan mendapat dosa. Contoh perbuatan yang hukumnya Haram ialah mencuri dan minum arak.

Apakah maksud Makruh?
Makruh ialah sesuatu yang digalakkan oleh agama supaya ditinggalkan. Jika ditinggalkan mendapat pahala dan jika dikerjakan tidak mendapat dosa. Contoh perbuatan yang dihukumkan Makruh ialah makan sesuatu yang berbau busuk.

Apakah maksud Mubah atau Harus?
Mubah (harus) ialah sesuatu yang boleh dikerjakan dan boleh ditinggalkan. Jika ditinggalkan tidak mendapat pahala dan jika ditinggalkan tidak mendapat dosa. Contoh: Makan dan minum.

Apakah maksud Sah?
Sah ialah sesuatu yang dikerjakan dengan sempurna mengikut syarat dan rukunnya yang tertentu. Contohnya, sembahyang yang ditunaikan mestilah berwudhu’ serta dengan aturan-aturannya yang tertentu dalam waktunya. Contoh yang lain ialah akad nikah yang dikerjakan oleh wali di hadapan saksi-saksi dengan lafaz tertentu serta menurut aturan-aturannya yang tertentu.

Apakah maksud Batal?
Batal ialah sesuatu yang dikerjakan dengan tidak mengikut syarat dan rukunnya yang tertentu. Contohnya ialah, puasa Ramadhan yang dikerjakan dengan tidak berniat pada waktu malam sebelumnya adalah Batal.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *