Penciptaan Manusia

Apakah Tujuan Manusia Dicipta?
Di dalam al-Quran Allah SWT menyebut secara jelas tujuan penciptaan manusia dan makhluk jin iaitu untuk menyembah-Nya. Firman Allah SWT dalam surah al-Dzariyaat: ayat 56:

Maksudnya: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.”

‘Menyembah’ Allah SWT bermaksud patuh secara total kepada Allah SWT. Dalam bahasa al-Quran, istilah yang sama bagi makna ‘menyembah’ ialah ‘ibadat’. Justeru apa sahaja yang dilakukan oleh manusia hendaklah semata-mata kerana Allah SWT dan mengikut perintah Allah SWT dianggap sebagai ibadat. Ibadat adalah jalan untuk menuju kepada kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Manusia Pasti Akan Mati
Di antara perkara yang menjadi kerahsiaan Allah SWT kepada manusia ialah, bilakah seseorang insan itu menemui ajalnya, atau bilakah kematian itu akan menjemputnya. Sesungguhnya manusia hanya mengetahui kematiannya setelah mereka bertemu dengan kematian itu, kerana setiap jiwa termasuklah manusia tidak terlepas daripada kematian. Firman Allah SWT dan surah ali-Imran, ayat 185:

Maksudnya: “Tiap-tiap yang berjiwa akan merasai kematian.”

Allah SWT merahsiakan tentang bilakah kematian ini akan menjemput seseorang, kerana untuk menguji manusia sejauh mana setiap insan itu menyiapkan diri mereka untuk menghadapinya.

Bagi mereka yang bertakwa kepada Allah SWT tentulah tidak merasa bimbang untuk menghadapi kematian kerana mereka telah bersedia untuk pergi menghadap Ilahi melalui setiap amalan yang dilakukan. Mereka ini adalah seorang hamba yang sentiasa berdoa kepada-Nya, bersikap sabar, bersikap benar, taat kepada segala perintah-Nya sentiasa menginfaqkan harta pada jalan Allah SWT dan pada setiap masa mereka ini sentiasa memohon keampunan kepada Allah SWT di atas segala kesilapan yang dilakukan.

Namun, bagi mereka yang banyak melakukan maksiat semasa hidup di dunia, tentulah merasa bimbang untuk menghadapi kematian kerana kehidupan mereka dipenuhi dosa.

Keadaan Manusia Selepas Kematian
Jika setiap makhluk-Nya telah berakhir atau musnah, maka Allah SWT akan mendatangkan kiamat. Seterusnya Allah SWT akan memberikan balasan kepada semua makhluk-Nya sesuai dengan amalan mereka di dunia sama ada mulia atau hina, besar atau kecil, banyak mahupun sedikit sehingga tidak ada seorang pun yang dizalimi meskipun hanya sebesar biji sawi. Ini juga dijelaskan dalam firman-Nya dalam surah ali-Imran, ayat 185:

Maksudnya: “dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya.”

Sayyid Qutb, seorang ulama yang dihormati menjelaskan tentang ayat ini bahawa penting difahami nilai dan nasib kesudahan yang membezakan seseorang, dari seseorang yang lain. Inilah nilai abadi yang wajar diperjuangkan dengan bersungguh-sungguh dan inilah nasib kesudahan yang ngeri yang harus diperhitungkan beribu kali.

Kata-kata ‘dijauhkan’ itu sendiri menggambarkan pengertiannya yang mendalam. Ia membawa pengertian, seolah-olah neraka itu mempunyai daya tarikan yang mampu menarik sesiapa sahaja yang mendekatinya atau memasuki ruang tarikannya, dan seseorang yang berada di situ memerlukan adanya orang lain yang dapat menjauhkannya dari ruang tarikan tersebut sedikit demi sedikit untuk menyelamatkannya dari terus ditarik ke dalam neraka.

Oleh itu, sesiapa yang dapat dijauhkan dari ruang tarikan neraka dan diselamatkan dari daya tarikannya, mereka akan dimasukkan ke dalam syurga, maka sesungguhnya dia adalah orang yang berjaya kerana keimanannya di dunia dahulu.

Seterusnya… hayati penjelasan Sheikh Khalid Yassin tentang asal penciptaan dan tujuan hidup makhluk bernama manusia:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *