Kenapa tidak suka membaca?

“Buku adalah gudang ilmu sedangkan membaca adalah kuncinya”. Ungkapan tersebut bermaksud, untuk memperoleh ilmu dari buku, hanya melalui satu-satunya cara iaitu dengan membaca. Tidak mungkin buku yang kita peroleh di pusat sumber sekolah, perpustakaan daerah atau di rumah mampu secara otomatik memindahkan ilmu kepada kita tanpa membacanya.

Para guru di sekolah selalu memberi motivasi kepada pelajarnya dengan mengatakan bahawa sesiapa yang banyak membaca buku maka orang itu akan menguasai dunia. Memang demikian itulah kenyataan. Pada masa ini, negara-negara maju di dunia adalah negara-negara di mana rakyatnya gemar membaca buku.

Ramai di kalangan kita mengakui, membaca buku bukan suatu hal yang disukai dan digemari. Apatah lagi buku-buku yang akan dibaca itu adalah buku-buku tebal dan penuh dengan teori-teori yang sukar difahami. Kecuali buku-buku seperti novel dan sejenisnya serta buku panduan praktikal dan dinamik berkaitan kehidupan seharian yang tidak rumit seperti majalah. Oleh sebab itu, majalah khususnya majalah hiburan menjadi bacaan yang paling digemari. Selain praktikal, kedua media tersebut menyajikan informasi menarik termasuk perkembangan ilmu pengetahuan terkini.

Kenyataan itu, bukan hanya di kalangan yang sudah habis belajar saja tetapi bagi mereka sedang mengikuti kuliah sering merasakan seperti itu. Cuba tanya setiap mahasiswa kita, berapa banyakkah buku yang selesai dibaca sepanjang kuliah satu semester. Jawapannya pasti, banyak yang mengatakan tidak ada satupun buku yang habis dibaca secara tuntas.

Tidak diketahui apakah hal ini juga berlaku di negara-negara lain? Atau sememangnya ini berkait rapat dengan pengaruh oleh budaya kita sendiri?

Persoalan tabiat suka atau tidak suka membaca lebih merupakan hal individu itu sendiri. Apabila seseorang itu suka dan seronok membaca, ke manapun dia pergi, membaca tetap tidak membosankan malahan menjadi hobi bagi dirinya.

Kenapa kita tidak suka membaca buku? Mungkin salah satu jawapannya ialah anggapan bahawa manfaat secara langsung dari buku yang dibaca tidak banyak atau tidak ada langsung. Dengan kata lain, pengetahuan yang diperoleh itu tidak boleh digunakan dalam kegiatan atau aktiviti seharian. Ada pula yang merasakan membaca atau tidak, keadaannya tetap seperti itu.

Kemungkinan penyebabnya ialah, kerana kita hanya sekadar membaca tetapi tidak mampu mencerna isi kandungan buku yang sudah dibaca. Mungkin juga kerana kebanyakan kita membaca hanya ikut-ikutan sehingga tidak fokus. Akibatnya, masa terbuang begitu sahaja tanpa mengetahui apa yang telah dibaca sehingga merasa apa yang telah dilakukan tidak bermanfaat sama sekali.

Penyebab lain ialah faktor budaya atau kebiasaan orang-orang kita. Mungkin rakyat Jepun atau negara-negara maju lain, tidak begitu aneh apabila dilihat sentiasa berkepit dan membaca buku samada perhentian bas atau di tempat-tempat terbuka. Disebabkan masyarakat kita tidak terbiasa dengan budaya seperti itu, kita merasa aneh dan janggal malahan menyindir atau memperli.

Namun demikian, kita tidak perlu bersikap pesimis, sebaliknya optimis dan yakin pasti suatu ketika nanti semuanya akan berubah. Hanya masa sahaja yang menentukan bilakah perubahan itu berlaku. Adalah lebih baik kita membuka langkah bermula dengan diri kita sendiri. Sebab, hanya dengan membaca akan mampu merubah dunia, paling kurang merubah perilaku diri kita sendiri.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *