Nostalgia SUIS Tambunan

Tulisan ini berkaitan pengalaman saya ketika bersekolah di SUI Tambunan, Sabah pada tahun 1978 sehingga 1983. Tujuan saya hanyalah untuk catatan buat ingatan diri sendiri dan anak-anak saya kelak. Harapan saya agar anak-anak saya dapat mengambil iktibar daripada catatan saya ini. Sebagai peringatan awal, terdapat beberapa catatan saya yang mungkin tidak sesuai untuk dibaca, diikuti atau dibuat tanggapan buruk terhadap diri saya. Terpulanglah kepada pembaca untuk menilainya.

Kenangan di SUI Tambunan, Sabah
Setiap manusia ada pengalaman semasa usia persekolahan. Saya mula bersekolah di SUI Tambunan sekitar tahun 1978 ketika berusia 8 tahun. Ketika itu saya di Darjah 3, SK Pekan Tambunan dan Darjah 1 di SUI Tambunan. Sebelum itu, saya bersekolah di SK Kerokot, Tambunan. SK Kerokot hampir dengan rumah ibu bapa saya. Sehingga kini, saya tidak tahu kenapa saya dihantar ke SUI Tambunan oleh ibu bapa saya. Saya juga tidak pernah bertanya kepada mereka akan hal itu. Tetapi saya percaya, desakan kemiskinan dan kesedaran ibu bapa saya tentang pentingnya pendidikan, telah mendorong mereka menghantar saya ke sekolah berkenaan. Mungkin, secara kebetulan pada masa itu SUI Tambunan giat mencari pelajar untuk dididik dengan didikan Islam.

Dalam usia 8 tahun, saya diserahkan sepenuhnya di bawah jagaan guru-guru agama di asrama SUI Tambunan. Ketika itu saya kenal, Ustaz Darbi Lubis (Almarhum Tuan Guru Ustaz Haji Ahmad Darbi Lubis), Ustaz Hadiq Ismail, Ustaz Abdul Hamid dan lain-lain lagi. Semua rakan yang bersekolah seusia atau lebih tua daripada saya tinggal di asrama. Pada awal, terdapat hanya 2 bilik asrama. 1 bilik laki-laki dan 1 bilik perempuan di blok berasingan. Kemudian beberapa tahun kemudian asrama lelaki bertambah menjadi 2 bilik. Asrama SUI Tambunan ketika itu bilik kelas yang diubahsuai. Katil besi bertingkat di susun agak rapat agar dapat memuatkan lebih ramai penghuni. Sebuah bilik asrama boleh muat sehingga 30 orang. Disebabkan katil bertingkat, ada rakan-rakan saya terjatuh dari katil. Mungkin mengigau atau tidak biasa tidur di atas katil bertingkat.

Di SUI Tambunan, saya memulakan hidup baharu. Saya tidak pula mengingati bagaimana perasaan saya ketika itu. Mungkin sebab faktor masa, lalu saya terlupa… atau sememangnya budak mentah dan tidak tahu apa-apa. Budak sekecil umur 8 tahun, tinggal di asrama SUI Tambunan pada tahun 1978. Pelajar dewasa pada masa itu ialah Rasimun, Murikin, Rahimin, Sidiq, Hamim, Jaili, …. Rakan-rakan sebaya yang masih lekat di ingatan saya ialah Salleh (Ustaz), Saifudin (Cikgu), Jamil Jahumin, Nordin (Kulu), Waridi (Pudun),…. (Maaf..hanya itu nama yang saya masih ingat)

Rutin
Rutin harian ketika di SUI Tambunan bermula seawal jam 4.30 pagi dengan sembahyang subuh secara berjemaah di masjid (Masjid Nurul Iman, Tambunan). Saya memang agak liat ketika bangun subuh. Seingat saya, banyak kali juga saya terlanjur tidur sehingga terlepas waktu subuh. Saya masih ingat, ketika darjah 4 hingga 6, saya dan beberapa orang kawan yang sudah dikenalpasti bermasalah semasa bangun subuh diawasi oleh orang-orang tertentu dengan kehadiran dicatat. Tukang catat yang saya masih ingat ialah Saifudin (Antag). Setiap minggu, catatan itu disemak oleh Ustaz Hadiq. Ketika itulah hati kecut berhadapan dengan Ustaz Hadiq. Jika bukan penampar yang diterima, perutlah yang jadi sasaran cubitan yang amat menyakitkan.

Selepas sembahyang Subuh, semua pelajar berkumpul untuk mengaji atau menghafaz Al-Quran dan Hadith. Kami hanya dibenarkan keluar dari masjid pada pukul 6 pagi. Kami bergegas balik ke asrama untuk bersiap ke sekolah rendah atau sekolah menengah. Sarapan pagi disediakan seawal jam 6 hingga jam 7 pagi. Menu sarapan biasanya biskut tawar sebanyak 7 keping, roti gandum 2 set yang disapu sedikit kaya bersama air susu atau mi goreng dengan sebiji telur rebus. Bagi saya, sarapan yang disediakan tidak mencukupi. Kadangkala minta dari rakan yang mungkin tidak berselera. Saya hairan, beberapa orang rakan masih boleh membawa beberapa keping roti untuk bekalan ke sekolah. Bagi saya, sarapan roti dan susu yang diberi ketika itu tidaklah mencukupi. Semasa di dalam kelas, perut selalu kelaparan. Kawan-kawanlah menjadi sasaran untuk minta belanja sekadar mengalas perut ketika waktu rehat disebabkan tidak ada duit belanja ke sekolah.

Saya hanya dapat duit dari ibu atau bapa saya pada hari Khamis sahaja. Kebetulan sekolah rendah dan asrama SUIS dahulu berhampiran dengan padang besar Tambunan (bangunan Kompleks Sukan Tambunan ketika ini). Di padang itu, ada tamu (pasar tamu) pada setiap hari Khamis. Ketika itulah, saya ambil kesempatan untuk keluar berjumpa ibu bapa dari yang datang dari kampung untuk menjual sayur-sayuran di tamu. Ketika itulah juga saya diberikan wang saku oleh ibu bapa saya barang seringgit dua. Paling banyaklah diberi sepuluh ringgit. Pernah pasar tamu itu berpindah lokasi betul-betul hampir dengan asrama SUIS Tambunan berhampiran dengan panggung wayang, sebelum berpindah ke lokasi sekarang ini. Saya masih ingat, ketika pasar sudah habis dan semua orang sudah balik, saya selalu merayau di kawasan tapak tamu itu. Jika bernasib baik, terjumpalah duit syiling atau wang kertas yang tercicir orang ketika sibuk berjual beli.

Jam 12.30 hingga jam 1.00 petang: balik sahaja dari sekolah, makan dan sembahyang Zuhur. Sembahyang Zuhur mestilah di masjid Tambunan. Masjid ini terletak tidak jauh dari asrama SUIS Tambunan. Hanya 5 ke 10 minit berjalan kaki ke masjid ini.

Tepat jam 2 petang, loceng besi (rim kereta) dibunyikan. Kelas agama yang diadakan pada waktu petang pun bermula. Mata pelajaran yang diajar ketika itu ialah Muqaddam/Al-Quran, Hadith, Khat, Akhlak, Bahasa Arab, Tajwid, Imlak, Sejarah, Fiqh dan Tauhid. Berhenti rehat pada jam 3.30 petang untuk sembahyang Asar di Masjid Pekan Tambunan.

Jam 5 petang, kelas agama selesai. Sudah menjadi rutin, saya dan kawan-kawan makan petang sebelum mandi di sungai Tondulu. Selesai makan dan mandi, terus bersiap untuk ke masjid sembahyang Maghrib dan Ishak.

Bilal
Semasa di darjah 4 hingga 6 SUI Tambunan, saya di antara yang terpilih menjadi bilal. Masih saya ingat, semasa pemilihan bilal, Ustaz Darbi (Almarhum Tuan Guru Ustaz Haji Ahmad Darbi Lubis) menyuruh saya dan rakan-rakan memperdengarkan alunan azan bergilir-gilir. Saya agak gementar ketika itu sehingga suara yang keluar dari mulut saya tersekat-sekat. Ustaz Darbi (Almarhum) kata macam suara ayam kena sembelih. Alhamdulillah, setelah beberapa kali mengalunkan azan, akhirnya perasaan gementar itu hilang.

Ketika waktu antara Maghrib dan Ishak, di ruang masjid Pekan Tambunan, dipenuhi dengan suara hingar pelajar-pelajar SUI Tambunan menghafal dan mengingat surah-surah Lazim dan Hadith yang dimestikan untuk dipelajari dan dihafal. Sehingga ke hari ini, suara itu masih terngiang-ngiang di kotak fikiran saya. Dan sesungguhnya suasana hingar itu sering menggamit kerinduan saya kepada rakan-rakan yang kini entah di mana mereka berada.

Sungai Tondulu
Semasa catatan ini saya tulis, saya bertugas di Daerah Keningau. Jauhnya lebih kurang 90 kilometer dari desa kelahiran saya Kg. Kerokot, Tambunan, Sabah. Saya sering berulang-alik ke kampung untuk melawat ibu bapa yang kini menetap di Kg. Tampasak Liwan, Tambunan. Setiap kali melewati Pekan Tambunan, setiap kali itulah penglihatan saya mesti terarah ke sebatang sungai kecil mengalir berhampiran Pekan Tambunan. Setiap kali itulah juga ingatan dan kerinduan saya ketika bersekolah di SUI Tambunan suatu ketika dahulu meluap-luap.

Sungai ini sebenarnya menyimpan seribu kenangan kepada anak-anak yang pernah menuntut di SUI Tambunan. Sungai ini sangat jernih dan sejuknya seolah masih terasa. Di asrama SUI Tambunan ketika zaman saya, tidak ada air paip untuk tempat bermandi-manda atau untuk mencuci pakaian sehari-hari. Sungai inilah tempat saya mandi, mencuci pakaian dan bermain bersama dengan kawan-kawan. Pada waktu cuti hujung minggu, sungai ini juga menjadi lokasi permainan dan mencari ikan. Ikan yang ada ketika itu ialah ikan badus dan turongou. Saya dan kawan-kawan mencari ikan dengan hanya menggunakan batu yang dihempas kuat ke atas batu yang menjadi tempat persembunyian ikan. Disebabkan hentakan yang kuat menyebabkan ikan pengsan dan keluar serta merta dari tempat persembunyian. Ikan yang terkumpul akan dimasak menggunakan tin-tin sardin atau susu yang terbuang.

Sungai Tondulu menjadi saksi betapa tinggi semangat anak-anak SUI Tambunan menempuh hidup walau serba kekurangan. Aliran airnya yang jernih menempuh perjalanan ke hilir berbatu seolah mengajar saya dan rakan-rakan supaya tabah hidup berdikari walau apapun halangan dan dugaan yang mendatang. Pada setiap hujung minggu, pakaian sekolah dan pakaian harian yang terkumpul dicuci menggunakan air di suangai Tondulu. Tidak hairanlah jika hari Sabtu dan Ahad, di sepanjang Sungai Tondulu bagaikan pesta bagi saya dan rakan-rakan mencuci pakaian. Selepas mencuci dan menyidai pakaian, beralih pula ke acara bermain seperti bola sepak, lempar selipar, lumba lari berganti-ganti dan sebagainya.

Di sepanjang sungai ini juga banyak pokok lampun (durian Belanda). Saya tidak pasti sama ada pokok ini ditanam orang atau tumbuh sendiri. Yang pasti, buah durian Belanda di sepanjang sungai Tondulu agak besar dan sedap rasanya. Biasanya, selepas sahaja balik dari bercuti (dahulu disebut cuti penggal), saya akan terus melawat pokok lampun di sepanjang sungai Tondulu kerana pada ketika inilah banyak buah lampun yang masak. Kalau lambat, kawan-kawan lain akan mendahului.

Ada kalanya jikalau tidak ada buah yang masak, buah yang masih mentah dipetik dan disembunyikan di celah-celah batu, lubang kayu atau lubang tanah untuk diperam. Pernah buah lampun yang saya sembunyikan dikebas oleh kawan. Selepas itu, saya juga kebas buah lampun yang disembunyikan oleh kawan.

Gelaran nama
Salah satu nostalgia ketika belajar di SUI Tambunan ialah gelaran nama panggilan oleh Almarhum Tuan Guru kepada saya dan rakan-rakan. ‘Topa’ (Mustafa), demikian Almarhum menyebut nama saya. Satunya-satunya sebutan nama panggilan yang saya tidak akan lupa ialah panggilan dari Almarhum itu. Saya merasakan panggilan itu begitu mesra dan bermakna apabila disebut oleh Almarhum.

Demikianlan Almarhum memberikan gelaran nama tertentu kepada saya dan rakan-rakan. Pelbagai gelaran mengikut perwatakan dan wajah anak-anak muridnya. Gelaran nama rakan-rakan yang masih saya ingati ialah ‘Jepun’, ‘Pegawai’ (Slang Tuan Guru ‘Pegawei’) merujuk kepada Jasmin (Ustaz), ‘Kogut’ dan lain-lain. Maafkan saya kerana tidak dapat mengingati nama-nama yang lain.

Bagi saya, tujuan Almarhum itu semata-mata untuk merapatkan lagi ikatan kemesraan di antara seorang guru, pada ketika sama seorang ayah kepada anak-anak (didik)nya.

Pengurusan diri
Suatu hal yang tidak mungkin saya lupa ialah saya sendiri dan ramai kawan sebaya sangat bermasalah dari segi pengurusan diri. Dalam usia budak, tiada apa yang boleh saya lakukan melainkan menurut kata abang senior dan guru-guru SUIS Tambunan. Merekalah yang menunjuk ajar beberapa peraturan yang sangat ‘bertentangan’ dengan tabiat dan naluri kanak-kanak. Contohnya bangun lebih awal, mesti menepati masa dan kurangkan bermain. Aspek pengurusan diri semuanya dilakukan sendiri. Setiap kali pada waktu petang, saya dan kawan-kawan pergi mandi untuk membersihkan diri di Sungai Tondulu. Setiap hujung minggu (Sabtu dan Ahad), kami beramai-ramai ke sungai Tondulu untuk mencuci pakaian seperti baju sekolah, kasut, stoking dan pakaian seharian seperti kain sarung, baju, seluar, kopiah, cadar, selimut dan sebagainya. Pakaian yang sudah dicuci disidai di atas batu-batan atau di atas rumput di tepian sungai Tondulu. Pada hujung minggu, tempat menyidai yang disediakan pasti penuh. Sementara menunggu pakaian kering, aktiviti bermain bersama rakan-rakan diteruskan. Pernah suatu ketika, disebabkan terlalu leka bermain, pakaian yang disidai di atas rumput dimamah oleh lembu.

Pada waktu pagi, saya jarang mandi. Hanya memberus gigi dan mencuci muka sahaja. Itu pun jika berus gigi masih dalam keadaan baik atau jika ubat gigi tidak habis (hanya ubat gigi berjenama Colgate dan Sparkle yang ada pada masa itu). Jika kehabisan, terpaksalah meminta ubat gigi dari rakan-rakan.

Seperkara yang saya tidak lupa ialah ada ketika saya kehabisan sabun mandi. Jadi, saya gunakan sabun cuci pakaian serbuk atau buku untuk membersihkan badan. Pengalaman saya, bagus juga menggunakan sabun cuci kain ini jika kebetulan kulit dipenuhi kudis walaupun terpaksa menahan pedih. Kudis di badan akan segera kering dan sembuh apabila menggunakan sabun cuci kain.

Memandangkan tinggal di asrama bersama ramai lagi rakan, maka penyakit kulit seperti kudis mudah berjangkit. Selain itu, sejenis makhluk Tuhan yang memang tidak boleh dielakkan ialah kutu kepala. Kehadirannya cukup untuk membuatkan saya rimas. Tapi apakan daya, semua itu terpaksa dihadapi. Walaupun aspek kebersihan diri berulang kali dijelaskan oleh guru-guru dan juga abang serta kakak yang lebih senior namun keadaan pada masa itu yang serba kekurangan terutama peralatan pencegahan seperti alat kebersihan menyebabkan penyakit kulit agak sukar dikawal. Untuk mengurangkan masalah itu, pada setiap hujung minggu satu lagi tugasan pengurusan diri yang perlu dilakukan oleh anak-anak SUIS Tambunan ialah menjemur tilam dan bantal yang digunakan sehari-hari. Gotong-royong membersihkan kawasan asrama dan sekolah, seperti membuang rumput, membersih dan membuang sampah sudah menjadi kemestian pada setiap hujung minggu. Selang beberapa minggu, asrama, dewan makan dan tandas mestilah dicuci secara bergotong-royong.

Tidak saya nafikan, ada juga peristiwa lucu berlaku sepanjang saya menuntut di sekolah ini. Di antaranya ketika tidur pada waktu malam. Saya akui memang sukar untuk mengawal diri dari terkencing ketika tidur. Bukan saya seorang sahaja yang bermasalah sedemikian, malah ramai lagi budak sebaya saya yang sukar untuk mengawal dari terkencing ketika tidur. Selalu juga dimarahi oleh abang-abang senior kerana masalah ini, tetapi apakan daya susah benar hendak mengelak. Manakan tidak, apabila bangun keesokan hari hamis bau kencing  memenuhi seluruh ruang bilik asrama yang agak kecil dan sempit itu. Keadaan bertambah parah apabila kehabisan pakaian persalinan. Kadangkala pakaian yang dibasahi air kencing itu dicuci dan dipakai semula dalam keadaan basah disebabkan tidak ada pakaian gantian. Pernah juga seorang kawan (nama rakan itu tidak dapat diingati), terkencing semasa tidur di tingkat atas katil. Titisan air kencingnya membasahi muka rakan yang sedang tidur di bawah katil.

Demikian realiti hidup, kenangan, pahit manis yang dapat saya coretkan buat tatapan di hari muka. Saya amat bersyukur kerana walau dengan kepayahan dan kesusahan yang ditempuh, namun akhirnya semua dugaan itu dapat diatasi jua. Sesungguhnya pengalaman itu banyak memberikan pengajaran yang amat bermakna dan begitu mendalam kepada saya.

Aktiviti Ko-Kurikulum
Tidak banyak peristiwa yang saya ingati berkaitan aktiviti ko-kurikulum sewaktu menuntut di SUIS Tambunan. Hanya aktiviti pidato, pertandingan Azan, Tilawah dan nasyid yang saya ingat. Biasanya pada setiap hujung minggu, semua pelajar akan dihimpunkan beramai-ramai di bilik kelas. Pada masa itu, pelajar yang telah dipilih seminggu sebelumnya akan tampil ke hadapan pelajar lain untuk mempersembahkan  pidato atau nasyid mereka. Nasyid boleh dipersembahkan secara solo mahupun berkumpulan. Menariknya di dalam aktiviti pidato itu ialah, kesemua aktiviti dikelolakan sendiri oleh pelajar yang lebih dewasa. Ketika berada di tahap 2 (dahulu istilah ini tidak digunakan bagi pelajar tahun 4,5 dan 6), saya pernah diberi peranan sebagai pengacara majlis. Seluruh badan saya menggeletar berhadapan dengan penonton yang ramai walaupun hanya terdiri dari rakan-rakan. Saya masih ingat komen Almarhum Tuan Guru ketika di akhir salah satu sesi aktiviti pidato. “Macam juruhebah” , katanya. Lucunya, saya tidak pun tahu maksud perkataan ‘juruhebah’ itu. Mungkin komen Almarhum ketika itu merujuk kepada cara atau teknik mengacara sesuatu majlis yang tidak betul atau kaku. Di antara rakan yang menjadi sebutan oleh ustaz dan rakan-rakan kerana kebolehan pidatonya ialah Sdra. Saidun.

Selepas sesi pidato, Tuan Guru Ustaz Haji Hadiq Ismail turut memberikan komen serta tunjuk ajar berkaitan teknik dan cara berpidato dengan bagus. Ustaz Hadiq memang sangat terkenal sebagai pemidato khususnya di dalam setiap ceramah agama yang disampaikan oleh beliau. Suara beliau lantang, sebutannya satu persatu keluar dari mulut dengan ayat yang tersusun indah dan mudah difahami, disokong oleh ayat-ayat Al-Quran dan Hadith. Terpancar di matanya sinar keikhlasan setiap kali menyampaikan hujah-hujahnya yang bernas. Semasa beliau menyampaikan Khutbah Jumaat, jarang sekali saya terlelap apabila mendengar dan menghayati setiap patah perkataan yang keluar dari mulut beliau.

Di dalam pertandingan mengalunkan Azan, saya pernah mengikutinya beberapa kali dan pernah menjadi johan. Saya juga pernah terpilih ke Pertandingan Tilawah Al-Quran Peringkat Zon Pedalaman yang pada ketika itu berlangsung di Dewan Masyarakat Tenom. Pada masa itu saya dan beberapa orang rakan yang mewakili Daerah Tambunan menginap di Hotel Antenom. Hotel itu kini diubahsuai menjadi sebuah restoran. Seingat saya, dalam pertandingan Tilawah itu, saya hanya mendapat sagu hati.

Nota:
Catatan ini akan di’update’ dari masa ke semasa. Input rakan-rakan dari SUI Tambunan (alumni) mungkin dapat membantu. Sila sertakan nama penuh, tahun menuntut di SUI Tambunan dan email. Hantarkan input anda di mzurs006@yahoo.com atau mzurs006@gmail.com.

6 Comments

  1. Pingback: Kenangan Saya di SUIS Tambunan | Edu4U

  2. Kisah tuan mendorong saya untuk menulis sekilas kisah saya pula:)

  3. Pingback: SEKILAS KISAH SAHABAT SEMASA DI SUIS TAMBUNAN « Laman Blog Al-Ghazali

  4. Belum habis cerita lagi ba tuan…macamanapun, terima kasih banyak2…sampai ramai pelawat berkunjung ke blog saya ini…..disebabkan tuan, mendorong saya untuk menyambung semula tulisan ini….

  5. Sy d sui tak lama , 91-92 sj. Cuma kesannya amat mendalam smp skg. Hanya allah mampu mbalas jasa2 tenaga pengajar sana. Tanpa sui, tak mungkin islam berkembang pesat d tambunan. Cuma yg agak terkilan, ray lebih byk dberi kelebihan drp sui 😊😊

  6. Alhamdulillah…. terima kasih sdra Fikri. Semoga Allah merahmati guru-guru kita.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *