Apa itu Islam?

Maksud ISLAM
Islam adalah gelaran kepada agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Agama ini bukanlah rekaan Nabi Muhammad SAW, bahkan ketetapan dari Allah SWT.

Islam dari istilah bahasa bermaksud:

  • Tulin dan suci dari sebarang kecacatan zahir dan batin
  • Damai, aman atau sejahtera
  • Taat dan menyerah

Islam dari segi syarak ialah: Mentauhidkan Allah, patuh, tunduk dan jujur hati kepadaNya serta beriman dengan ajaran Allah yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w daripada Allah SWT. Namun makna yang paling banyak digunakan dalam al-Quran ialah patuh dan menyerah diri kepada Allah SWT.

Islam adalah agama yang diturunkan oleh Allah SWT untuk seluruh umat manusia melalui Rasul-Nya yang terakhir iaitu Nabi Muhammad SSAW. Islam tidak dikhaskan kepada bangsa tertentu dan golongan tertentu sahaja. Kepatuhan dan penyerahan diri yang dikehendaki oleh Allah SWT merupakan kepatuhan dan penyerahan yang berpandukan ajaran Allah SWT yang dibawa dan disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW.

Kepatuhan bererti menjalani semua hukum yang diwajibkan oleh Allah yang mencakupi hukum iktikadiyyah (kepercayaan), hukum amaliyyah (fiqh) dan hukum akhlakiyyah (budi pekerti). Oleh itu, syariat mencakupi bidang iman, amalan dan akhlak.

Dalil-dalil:
Firman Allah dalam Ali ‘Imraan, ayat 19:
إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّهِ الإِسْلَـمُ
Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam” (3:19)

Firman Allah di dalam Surah Ali ‘Imraan ayat 85 yang bermaksud:
“Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi”

Firman Allah di dalam Surah Luqman, ayat 22 yang bermaksud:
“Dan sesiapa Yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah (dengan ikhlas) sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh dan (ingatlah) kepada Allah jualah kesudahan segala urusan.”

Islam adalah agama terakhir yang diturunkan bagi menggantikan agama samawi terdahulu (agama yang diturunkan dari langit) yang diturunkan kepada Rasul sebelum Nabi Muhammad SAW. Oleh kerana Islam merupakan rangkaian dari agama-agama langit yang terdahulu, maka ia mengakui akan kebenaran ajaran tulen agama tersebut dan kebenaran Rasul-rasul-Nya. Ini bererti agama Islam adalah penyambung dan penutup kepada agama dari langit di mana Nabi Muhammad SAW merupakan Rasul terakhir.Agama Islam mempunyai peraturan lengkap dalam semua bidang, baik dalam urusan keduniaan mahupun urusan akhirat sebagaimana ajaran-ajaran yang terkandung dalam al-Quran dan al-Hadis. Kepada kita manusia, Allah SWT memberi ilmu pengetahuan, daya intelek dan keupayaan untuk memilih perkara yang baik dan tidak baik. Oleh kerana manusia dikurniakan kelebihan tersebut berbanding makhluk lain, manusia akan diuji untuk menjadi hamba-Nya yang akan mendapat balasan sama ada syurga atau neraka. Kepada manusia juga, mereka diturunkan Rasulullah (pesuruh Allah SWT) yang menunjuk jalan kebenaran dan rasul yang terakhir dalam rantaian rasul-rasul adalah Nabi Muhammad SAW.

Islam atau ‘MUHAMMEDANISM’
Di dalam buku-buku tulisan berbahasa Inggeris, banyak didapati penulis Barat menyamakan atau menggelar Islam dengan ‘Moammedanism’ dan orang-orang Islam dipanggil ‘Mohammedans’. Tujuan penulis-pennulis Barat ini ialah menyamakan Islam dengan agama-agama lain yang dinamakan berdasarkan kepada nama pengasasnya seperti Buddhism kepada Gautama Budha, Kristian kepada Jesus Christ dan Judaism (Yahudi) kepada puak Judah.

Bagi ‘Islam’ dan ‘Muslim’, kedua-duanya berasal dari al-Quran. Islam tidak menyandarkan agama kepada manusia tetapi ia adalah agama yang diturunkan oleh Allah SWT. Hanya Islam sahaja agama yang diredhai oleh Allah SWT sejak manusia pertama dicipta iaitu Adam a.s. Mesej yang dibawa oleh semua nabi-nabi dari Adam a.s hinggalah kepada Nabi Muhammad SAW semuanya sama iaitu sembahlah Allah SWT dan tidak kepada yang lain. Adalah salah memanggil Islam dengan ‘Mohammedanism’.

Islam Nikmat Terbesar
Nikmat yang tiada bandingan di atas muka bumi ini terhadap mannusia ialah nikmat beragama Islam atau menjadi muslim. Hal ini adalah disebabkan, apabila seseorang itu beragama Islam atau menjadi muslim, mereka telah berada dalam agama yang diredai oleh Maha Pencipta dan telah menganut suatu agama yang syumul atau lengkap dalam melayari kehidupan ini. Hal ini dijelaskan oleh Allah SWT dan firman-Nya di dalam surah al-Maidah, ayat 3:

Maksudnya: “Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu dan Aku telah redha akan Islam itu menjadi agama untuk kamu.”

Ayat di atas menjelaskan bahawa, nikmat beragama Islam itu merupakan nikmat yang terbesar berbanding nikmat-nikmat lain yang telah dikurniakan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya.

Besarnya nikmat itu sehinggakan manusia tidak perlu lagi mencari agama lain, kerana selepas Islam tidak akan ada lagi agama yang lain daan tidak akan ada nabi selepas Nabi Muhammad SAW kerana baginda adalah penutup segala nabi-nabi.

Oleh kerana baaginda merupakan penutup segala nabi itulah, maka Allah SWT telah mengutusnya kepada seluruh alam, sehinggakan tidak ada yang halal selain daripada baginda halalkan, tidak ada yang haram kecuali yang baginda haramkan. Semua yang dikhabarkan adalah hak (kebenaran) dan jauh sama sekali dari kedustaan. Hal ini dijelaskan dalam surah al-An’am, ayat 115:

Maksudnya: “Dan telah sempurnalah kalimah Tuhanmu (al-Quran, meliputi hukum-hukum dan janji-janji-Nya) dengan benar dan adil.”

Bagi umat Islam, mereka hendaklah redha Islam sebagai agama mereka, kerana ia merupakan agama yang dicintai dan diredhai oleh Allah SWT. Bagi menyempurnakan agama-Nya, Allah SWT mengutuskan Rasul teragung iaitu Muhammad SAW dan menurunkan bersamanya kitab yang paling mulia iaitu al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia sehingga akhir zaman.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *