Surat Kiriman Rakan – 1

Assalamualaikum & Salam Sejahtera Bonis Bin Malisin @ Mustafa Melisin,

 

Pertama sekali saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana sudi berkunjung ke AdikBijak.com. Portal web ini lahir atas keinginan kami untuk menyuburkan kembali dan mempromosikan peranan ibubapa dalam mendidik anak-anak terutamanya ketika di rumah. Kami percaya pendidikan di rumah menjadi teras yang penting dalam melahirkan insan-insan yang cemerlang di masa hadapan. Pendidikan pra-sekolah dan pembangunan sahsiah ibubapa menjadi fokus AdikBijak.com kerana ia merupakan asas utama dalam membangunkan keperibadian tinggi anak-anak dan melahirkan keluarga yang harmoni.

 

Bagi saya semuanya bermula bilamana lahir anak pertama saya pada tahun 2000 lalu. Seperti kebanyakan ibu-ibu yang lain yang perlu keluar bekerja setiap hari… tanggungjawab penjagaan dan pendidikan anak terpaksa dilepaskan kepada pengasuh dan juga rumah asuhan kanak-kanak. Hasilnya… anak lebih rapat dengan “Bibik”nya juga lebih mendengar arahan “Cikgu” berbanding kata-kata atau nasihat kita. Sedihkan… bila anak sendiri tak rapat dengan ibu dan bapanya?

 

Tahun 2003 saya ambil keputusan meninggalkan kerjaya saya bagi menumpukan perhatian kepada mengasuh anak perempuan saya. Dan atas keinginan untuk memberikan yang terbaik kepadanya… saya telah mengambil pelbagai kursus dan latihan khusus dalam mendidik kanak-kanak pra-sekolah. Ilmu yang saya timba saya praktikkan selama setahun dengan menjadi guru Tadika di tempat anak saya belajar. Sekarang ni pula saya cuma bertindak sebagai Pengerusi Tadika Perpaduan di taman perumahan saya sebab saya lebih senang berada di rumah mengasuh anak saya di samping menganjurkan kelas intensif membaca dan mengaji untuk kanak-kanak berusia 5 – 7 tahun (menggunakan kaedah Bacalah Anakku dan Al-Furqan).

 

Oh ya… hampir terlupa pula… masa lapang yang ada saya gunakan bagi mencari bahan-bahan pembelajaran terbaik untuk anak saya. Dan untuk saya kongsikan dengan anda juga. Kalau duduk rumah tak buat apa-apa yang boleh meningkatkan ekonomi keluarga pun membazir juga, kan? Alhamdulillah setakat ini AdikBijak.com merupakan pengedar utama bagi beberapa penerbit tempatan dan luar negara. Penjimatan yang kami dapat… kami kongsikan dengan anda pula.

Visi Kami

Mewujudkan dan menyuburkan kembali suasana di mana ibubapa kembali memainkan peranan aktif dalam mendidik anak-anak dan saling memberikan sokongan untuk sama-sama melahirkan generasi akan datang yang cemerlang.

Matlamat Kami

Menjadikan AdikBijak.com sebagai pusat sumber sehenti utama buat ibubapa (malah guru-guru) dalam mendapatkan pelbagai bahan pembelajaran dan panduan untuk mendidik sendiri anak-anak di rumah.

 

Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang memberikan sokongan kepada usaha ini terutamanya kepada suami saya yang telah membangunkan laman web AdikBijak.com ini sendirian (kalau ada yang minat nak buat laman web boleh hubungi saya) dan juga kepada anak perempuan saya, Nur Natasha Azeze, kerana menjadi “subjek eksperimen” untuk setiap bahan pendidikan baru. Dan tak lupa kepada anda… kerana laman web ini wujud untuk anda.

 

Semoga Allah memberkati usaha murni kami ini. Amin.

 

“SELANGKAH LEBIH BIJAK”

 

Puan Rosnita
AdikBijak.com
Puan Rosnita
AdikBijak.com

 

Mengapa Prasekolah?

Saya memilih untuk menulis dan mengumpul artikel berkaitan Pendidikan Awal Kanak-kanak atau prasekolah kerana bidang ini merupakan opsyen saya semasa menuntut di maktab dahulu. Walapun saya memilih bidang ini, namun semenjak dari maktab sehinggalah sekarang saya tidak pernah mengajar pelajar-pelajar ini. Ini disebabkan sekolah dimana saya dihantar samada semasa praktikum atau ‘posting’, tidak mempunyai kelas prasekolah. Pentadbir sekolah terpaksalah meminta saya mengajar pelajar di Tahap I. Disebabkan sekolah pada masa itu kekurangan guru, saya juga mengajar pelajar-pelajar di Tahap II.

Semoga dengan adanya artikel-artikel ini, akan mengingatkan kembali pengetahuan saya dalam bidang yang amat diminati ini. 

Sejarah Pusat Sumber Sekolah (PSS)

Pusat Sumber Sekolah adalah merupakan salah satu elemen terpenting dalam menjana pembangunan dan kemajuan akademik di sekolah-sekolah. Penubuhannya telah diusahakan semenjak sebelum negara merdeka lagi. Kepentingannya amat dirasakan sehingga beberapa proses penambah baikkan baik dari segi pengurusan dan fizikalnya sentiasa berkembang dari masa ke semasa.

Sekitar tahun 1950an beberapa buah sekolah di bawah pentadbiran Inggeris telah mula mewujudkan perpustakaan sekolah. Namun usaha itu tidaklah begitu diutamakan malah tidak mempunyai objektif yang jelas dalam membantu pembangunan pendidikan semasa lebih-lebih lagi tiada mempunyai kakitangan yang terlatih dalam pengurusan sumber pada ketika itu. Projek ini telah menemui kegagalan. Pada tahun 1962, Persatuan Persekutuan Tanah Melayu menggariskan standard minimum bagi perpustakaan di Malaya. Antaranya:

1. Semua bahan ditempatkan di sebuah bilik khas.

2. Memberi kursus /latihan kepada guru perpustakaan selama setahun.

3. Nisbah purata koleksi buku dan pelajar ialah 10 judul bagi 1 pelajar.

4. Melanggan 1 atau 3 jenis akhbar.

Pada tahun 1964, Kementerian Pelajaran menerbitkan manual Perpustakaan Sekolah (“School Library Manual”) yang disediakan oleh Margeret Walker. Pada tahun 1965, TV Pendidikan telah memulakan satu program perintis bagi Sains Am yang diterbitkan di bawah Kementerian Penerangan bersama Kementerian Pelajaran. Setahun kemudian telah dilancarkan projek yang ke dua yang melibatkan bidang Biologi (Kajihayat).

Pada tahun 1967 Perpustakaan Sekolah telah diletakkan di bawah pengurusan Buku Teks di Kementerian Pendidikan. Kemudian sehingga tahun 1974 pengurusan perpustakaan sekolah diserahkan pula kepada Perkhidmatan Perpustakaan Sekolah, Pengurusan Sekolah Kementerian Pelajaran.

Pada 1 Mac 1983, Kementerian Pendidikan mengarahkan semua sekolah menggunakan istilah Pusat Sumber Sekolah (PSS) bagi menggantikan istilah Perpustakaan Sekolah. Pusat Sumber Sekolah dapat memberi gambaran yang lebih tepat kerana PSS mempunyai koleksi bahan cetak dan bahan bukan cetak.

Pada tahun 1983 juga Pusat Sumber Pendidikan Negeri (PSPN) – kini Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN), telah ditubuhkan. Peringkat awal, hanya empat negeri sahaja yang terpilih untuk menubuhkan PSPN iaitu Kedah, Kelantan, Pahang dan Terengganu. Bagi negeri-negeri yang tiada mempunyai PSPN, Unit Teknologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri menjalankan peranan yang sama. Sehinggalah tahun 1997 semua negeri telah mempunyai PSPN mereka sendiri.

Kini, semua sekolah di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia diwajibkan mempunyai PSS dan dikawal selia oleh BTPN masing-masing.