Pusat Sumber Digital

Sumber: http://bibliografi.moe.edu.my/

Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.10/2000 bertarikh 20 April 2000, menyarankan agar semua pihak mempertingkatkan usaha bagi menaikkan taraf Pusat Sumber Sekolah (PSS) dari segi kemudahan fizikal, alatan, bahan serta penggunaan PSS dalam pengajaran dan pembelajaran.

PSS perlu menyediakan pelbagai sumber maklumat dan perkhidmatan bagi menyokong aktiviti pembestarian pengajaran dan pembelajaran (P&P) bagi mencapai objektif berikut:

  • Menyediakan perkhidmatan dan sumber pembelajaran dalam pelbagai format bagi membolehkan semua warga sekolah menjadi pengguna maklumat yang efektif dan pemikir yang kritis.
  • Menyediakan perkhidmatan secara bertanggungjawab, adil dan saksama kepada semua warga sekolah.
  • Meningkatkan tahap pencapaian murid dalam pembacaan, literasi maklumat, pembelajaran, penyelesaian masalah dan kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK).
  • Melahirkan individu bestari yang mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat.

Kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi masa kini telah membawa arus perubahan terhadap pengurusan dan pentadbiran PSS. Peranan PSS perlu dikaji dan ditambah baik dari semasa ke semasa agar kekal relevan dengan perkembangan pembelajaran murid abad ke-21.

Justeru, penubuhan Pusat Sumber Digital amat penting dan diperlukan bagi memenuhi keperluan masa kini. Dengan adanya Pusat Sumber Digital, hasrat untuk menjadikan Pusat Sumber Sekolah sebagai pusat / nadi ilmu di sekolah akan tercapai dan lebih bermakna tanpa sebarang batasan waktu atau ruang. Murid-murid boleh menggunakan kemudahan Pusat Sumber Digital ini pada bila-bila masa. Ini bermakna perkhidmatan PSS dapat diberikan secara optimum.

Pusat Sumber Digital bukan menggantikan Pusat Sumber Sekolah malah perlu dilihat sebagai nilai tambah (added value) kepada Pusat Sumber Sekolah Induk dan rangkaiannya.

Penubuhan Pusat Sumber Digital perlu mengambil kira aspek berikut:

• Teknologi
• Kepakaran
• Kewangan

Peningkatan sumber pendidikan dalam bentuk digital termasuk daripada BTP (Contoh: e-bahan, perisian kursus, web TV, audio digital, e-book, dll) memerlukan satu pengurusan koleksi yang teratur dan komprehensif.

Dengan wujudnya Pusat Sumber Digital, semua koleksi teks, imej, bunyi dan video dalam bentuk digital, dapat diuruskan secara teratur, maklumat dicapai pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja melalui konsep rangkaian komunikasi global serta penggunaan teknologi maklumat yang optimum.

Bahan sumber pendidikan dalam bentuk digital ini perlu diuruskan secara sistematik, teratur dan berpusat bagi memudahkan akses dan memudahkan rujukan dan dikenali sebagai Pusat Sumber Digital.

Pusat Sumber Digital perlu mempunyai ciri-ciri berikut:

• Infrastruktur
– Capaian internet jalur lebar
– Infrastruktur ICT dan perkakasan dirangkaikan

• Aplikasi
– Komuniti sekolah mendapat akses kepada maklumat atas talian
– Pusat Sumber mempunyai laman webnya sendiri
– Portal Perpustakaan Digital

• Pengajaran dan Pembelajaran
– Menyediakan sumber pelbagai media (Contoh: e-book, langganan database, audio, video CD)
– Menyediakan modul P&P yang mengintegrasikan ICT
– Menyediakan bantuan / kemudahan kepada murid menggunakan ICT untuk menyiapkan tugasan
– Memberi kemahiran dan latihan dalam Literasi Maklumat kepada murid

• Pengurusan
– Menggunakan sistem pengautomasian bersepadu (berasaskan web)

    • Perolehan
    • Pengkatalogan
    • Sirkulasi
    • OPAC, dan lain-lain

Peralatan ICT sedia ada di sekolah (contoh: Makmal Komputer, Pusat Akses) dijadikan komponen Pusat Sumber Digital. Pusat Sumber Sekolah perlu menyelaras semua program dan aktiviti pengisian Pusat Sumber Digital secara terancang terutamanya Literasi Maklumat.