Bacalah: Allah jamin semua manusia pasti BOLEH MEMBACA

Sempena sambutan Hari Buku Sedunia, masyarakat Malaysia juga digalakkan membaca buku. Yang terbaharu, seluruh rakyat Malaysia termasuk anak-anak kita di sekolah diminta supaya membaca buku selama 10 minit dalam program JOM MEMBACA 10 MINIT pada 22 April 2014 yang lalu.

Sehubungan itu, sebagai renungan kita bersama di pagi Jumaat yang mulia ini marilah merenungi bersama tentang seruan Allah SWT di dalam al-Quran; surah al’Alaq, iaitu Iqra’.

1. Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang Menciptakan,
2. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah.
3. Bacalah, dan Tuhanmulah yang Maha pemurah,
4. yang mengajar (manusia) dengan perantaran kalam,
5. Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.
al-‘Alaq : 1-5

Allah SWT menurunkan ayat pertama Iqra’ (dalam surah al-‘Alaq), yang bermaksud, “bacalah”.
Di dalam ayat ke 2 surah ini, Allah SWT mengingatkan kita bahawa manusia dijadikan dari sehina-hina ciptaan-Nya iaitu ‘alaq yang bermaksud ‘segumpal darah’.

Membaca dalam erti kata yang mendalam: bacalah, fahamilah, telitilah, cermatilah, sampaikanlah, telaah-lah, dalami-lah, renungkan-lah – segala sumber dan kejadian di alam semesta ini. Jika kita belum fahami, maka Allah SWT memerintahkan kita agar mengulanginya lagi (membaca) sebagaimana ayat ke 3 dalam surah ini, sehinggalah betul-betul faham bahawa segala ilmu pengetahuan yang ada di dunia ini adalah bersumber daripada ketinggiaan dan kemuliaan Allah SWT yang Maha Berkuasa.

Selepas manusia melalui proses membaca tersebut, bermula dari peringkat yang tidak berpengetahuan, kita dimuliakan oleh-Nya melalui ilmu pengetahuan yang kita perolehi, iaitu puncak segala yang terpuji dalam kalangan makhluk. Daripada ilmu pengetahuan tersebut ramai manusia yang berjaya serta hidup dengan penuh kemewahan. Namun ramai juga yang menemui kegagalan. Kejayaan dan kegagalan makhluk bernama manusia ketika hidup didunia ini hanyalah ujian Allah SWT. Firman Allah yang bermaksud:
“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan mengujimu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.” al-Anbiya: 35

Ada manusia yang bersyukur lantas sentiasa menjaga batas dan akhlaknya terhadap yang Maha Pencipta dengan penuh sabar. Namun tidak kurang juga manusia yang gagal lalu tergolonglah mereka dalam kalangan orang-orang yang rugi.

Siapakah manusia-manusia yang rugi itu? Firman Allah yang bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Mahukah, kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang rugi serugi-ruginya amal-amal perbuatannya? (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan’. Surah al-Kahfi, ayat 103 & 104,

Ayat selanjutnya merupakan balasan Allah SWT terhadap orang-orang yang rugi Firman Allah yang bermaksud:
“Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatnya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak. (Mereka yang bersifat) demikian, balasannya neraka Jahannam, disebabkan mereka kufur ingkar, dan mereka pula menjadikan ayat-ayatKu dan Rasul-rasulKu sebagai ejek-ejekan”. surah al-Kahfi, ayat 105 & 106

Setiap amalan manusia akan dicatat oleh Allah SWT melalui malaikatnya di kiri dan kanan. Firman Allah yang bermaksud:
“Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya. Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya, dan yang satu lagi di sebelah kirinya. Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).” Qaaf: 16-18

SubahanaAllah…Maha Suci Allah yang menciptakan segala sesuatu. Pada hari pengadilan nanti, semua manusia akan diberi catatan amalan masing-masing. Kala itu, sekalian manusia dijamin BOLEH MEMBACA oleh Allah SWT walaupun semasa di dunia dahulu buta huruf.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
“(Lalu Kami perintahkan kepadanya): “Bacalah Kitab (suratan amalmu), cukuplah engkau sendiri pada hari ini menjadi penghitung terhadap dirimu (tentang segala yang telah engkau lakukan)”. al-Isra: 14

“Ingatlah suatu hari yang saat itu Kami panggil tiap umat dengan pemimpinnya, dan barang siapa yang diberikan kitab amalannya di tangan kanannya maka mereka ini akan membaca kitab itu, dan mereka tidak dianiaya sedikitpun.” al-Isra ayat 71.

“Maka adapun orang yang diberi kitabnya dari arah kanannya, akan diperhitungkan amal perbuatannya dengan mudah, dan kembali kepada ahlinya riang gembira. Adapun orang yang diberikan kitab amalannya dari arah kirinya dia akan mengalami kesengsaraan, dan dimasukkan ke dalam Neraka Sa’ir.” al- Insyiqaq ayat 7 – 12.

Kitab suci Al-Quran yang diturunkan oleh Allah SWT melalui Nabi Muhammad SAW yang ‘Ummi’ (buta huruf), di dalam bahasa Arab, bahasanya yang sungguh indah dan sempurna… tidak kira latar belakangnya samada celik huruf atau buta huruf semasa di dunia dahulu, di akhirat kelak pasti dijamin oleh Allah SWT boleh membaca kitab amalan masing-masing. Kitab amalan tersebut diterima melalui tangan kiri atau tangan kanan.

Ya Allah …sesungguhnya aku hamba-Mu yang lemah. Engkau kurniakanlah kepada ku kekuatan untuk melaksanakan segala perintah-Mu dan janganlah hendaknya segala kekuatan yang Engkau kurniakan ini untukku lalai , malas dan alpa sehingga aku meninggalkan segala perintah-Mu. Amin yaa Rabbal ‘Aalamiin.

About mzurs006

Salam perkenalan dari saya. Saya seorang guru dan kini bertugas sebagai Pegawai Teknologi Pendidikan, di PKG. Keningau, Sabah. Saya amat berminat berkaitan hal-hal pendidikan. Seboleh mungkin, saya akan cuba membantu meningkatkan mutu pendidikan di tempat saya mengikut kemampuan yang ada. Salah satu caranya ialah melalui webblog ini. Semoga blog ini akan bermanfaat kepada warga pendidik khususnya di Pedalaman Sabah.
Bookmark the permalink.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *