Dr. Baskaran: Doktor Yang Membedah Lutut Saya Meninggal Dunia

Beberapa hari lalu salah seorang pengunjung blog menuliskan komennya di dalam tulisan berkenaan pengalaman saya semasa lutut dibedah. Katanya Dr. Balakrishnan sudah meninggal dunia. Saya keliru lalu meminta kepastian daripada pengunjung itu kerana nama doktor yang disebutkan adalah berlainan. Seterusnya ada pengunjung blog lain mengesahkan bahawa memang benar Dr. Baskaran telah meninggal dunia. Lihat tulisan dan komen pengunjung di sini: PENGALAMAN PEMBEDAHAN LUTUT

Pada pagi hari ini, 19 Mac 2013, sewaktu saya membelek-belek akhbar Harian Express lalu ternampak tulisan ini.

Harian Express 19 Mac 2013

Harian Express 19 Mac 2013

Saya termenung sejenak.

Jika demikian, saya dalam kalangan bekas pesakitnya berasa amat kehilangan di atas pemergiannya. Suara Dr Baskaran pada saat-saat sebelum terlena di atas katil bedah masih terngiang-ngiang di telinga saya. Katanya, “….ayoyoo… Bonis, you punya ACL dan PCL…dua-dua sudah putus laa…!”. Beliau sambil menunjukkan kecederaan tersebut melalui skrin televisyen. Pada masa siri temu janji sebelum pembedahan lutut dilakukan ternyata beliau sangat profesional. Suasana di unit Ortopedik QEH tidak ubah seperti di dalam rancangan televisyen yang mengisahkan tugas dan tanggungjawab seorang doktor dengan kesibukannya berhadapan dan melayani setiap pesakit. Sekejap ke bilik sebelah…. sebentar kemudian muncul semula sambil bertanyakan sesuatu ke atas pesakit-pesakitnya satu persatu. Di situ saya dapat menilai kredibeliti, tanggungjawab dan sikap beliau yang sangat komited terhadap tugasnya.

Beliau nampaknya turut menjadi rujukan kepada doktor-doktor yang lain. Saya akui beliau merupakan seorang doktor pakar yang sangat dedikasi. Di dalam komen-komen pengunjung di blog saya, nampak benar perbezaan yang amat ketara dari segi kos untuk melakukan pembedahan lutut yang dilakukan oleh Dr. Baskaran (QEH) berbanding hospital-hospital lain. Bukan hanya saya seorang, malah rakyat Sabah sangat terhutang budi dengan Dr Baskaran.

Sebagai seorang yang beragama Islam, tidak menjadi kesalahan jika saya akan terus mengenang jasa beliau kerana jasa beliau yang paling besar terhadap saya ialah berjaya melakukan pembedahan lutut saya dengan kos yang sangat murah. Selagi kaki ini dapat melangkah, selagi itu jasa Dr Baskaran akan dikenang. Takziah buat seluruh ahli keluarga mendiang Dr. Baskaran.

About mzurs006

Salam perkenalan dari saya. Saya seorang guru dan kini bertugas sebagai Pegawai Teknologi Pendidikan, di PKG. Keningau, Sabah. Saya amat berminat berkaitan hal-hal pendidikan. Seboleh mungkin, saya akan cuba membantu meningkatkan mutu pendidikan di tempat saya mengikut kemampuan yang ada. Salah satu caranya ialah melalui webblog ini. Semoga blog ini akan bermanfaat kepada warga pendidik khususnya di Pedalaman Sabah.
Bookmark the permalink.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *