Raya, Tugas dan Balik Kampung

Gambar kenangan keluarga sempena Raya Aidil Fitri 2009

Gambar kenangan keluarga sempena Raya Aidil Fitri 2009

Bertemu lagi. Apa khabar…khusus untuk rakan-rakan blogger sekalian? Maaf la… lama sangat menyepi. Bukan apa..inilah antara cabaran utama seorang blogger, bagaimana supaya konsisten untuk ‘update’ blog. Jika tak ‘update’, pengunjung setia blog kita akan lari. Saya ingin ambil kesempatan ini untuk ucapkan tahniah buat sahabat-sahabat seperti Etuza, Abu Alghazali, Abu Miftah, Erakita serta rakan-rakan blogger lain yang sentiasa konsisten. Saya juga ingin memperkenalkan blog rasmi PKG Keningau yang dikendalikan sepenuhnya oleh saya. Moga ia memberi info yang berguna kepada semua.

Buat rakan-rakan dan keluarga di Johor dan Semenanjung Malaysia…salam sayang buat semua. Kali ini saya kongsikan beberapa peristiwa sejak sebelum Ramadhan lagi. Banyak aktiviti sebenarnya, tetapi saya pilih yang menarik sahaja.

Tenom 4×4 Merdeka Challenge 2009

Kg Kallang, Tenom bergema dengan deruman dan dentuman kereta pacuan empat roda pada 29 dan 30 Ogos 2009. Penganjur sukan lasak ini ialah Tenom Four Wheel Drive Club. Menariknya, saya ada sedikit assignment yang perlu dilunaskan pada masa itu. Penganjur menjemput saya membuat penggambaran Video. Oleh kerana belum pernah melakukan tugasan seperti ini, maka saya sahut cabaran walaupun pada masa itu hari-hari akhir puasa Ramadhan. Saya dibantu oleh 3 orang, termasuklah salah seorang darinya adik saya. Alhamdulillah, tugasan itu dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan ibadah puasa walaupun terpaksa bergelut dengan cuaca panas. Namun apa yang dikesali ialah program itu dianjurkan pada bulan Ramadhan ketika umat Islam sedang berpuasa. Saya lihat, cabaran pacuan empat roda tersebut turut disertai oleh orang Islam. Penonton dan peminat yang berpusu-pusu datang juga ramai yang beragama Islam. Justeru, saya cadangkan agar sesiapa juga kelab yang menganjurkan sukan lasak seperti ini tidak mengadakannya pada bulan puasa. Pilihlah mana-mana  tarikh yang sesuai dalam 11 bulan setahun itu, tetapi jangan anjur pada bulan puasa, ketika umat Islam sedang berpuasa.

Beraya di Kampung

Balik beraya di kampung sememangnya sesuatu keseronokan yang tidak dapat saya gambarkan. Lebih-lebih lagi raya tahun ini buat pertama kalinya rumah dan kampung diterangi lampu elektrik. Di rumah bapa saya, 3 hari menjelang raya, tamatlah zaman ‘kegelapan’ yang telah dialami sejak berpuluh tahun. Jelas terpampang kegembiraan dan keceriaan di wajah seluruh warga kampung menyambut hari lebaran. Terbukti kemeriahannya apabila surau kampung saya penuh sesak sehingga ada jemaah terpaksa duduk di ruang luar surau. Suasana ini tidak seperti tahun-tahun sudah. Saya sekeluarga turut serta menikmati kemeriahan itu apabila buat pertama kalinya bersembahyang Hari Raya Aidil Fitri bersama-sama anak-anak dan isteri. Namun agak terkilan kerana tak dapat merakamkan peristiwa itu dengan lensa kamera. Mungkin disebabkan sibuk menguruskan anak-anak bersiap ke surau sehingga kamera pun boleh terlupa.

Kisah lanjut tentang orang kampung dan penipuan syarikat yang mengambil kesempatan dengan wujudnya kemudahan elektrik di kampung saya akan saya paparkan pada kesempatan akan datang. Kemudahan jalan raya di kampung ini turut akan saya sentuh kerana masih dalam keadaan serba serbi-tidak sempurna keadaannya.

Majlis Pertunangan dan Perkahwinan (Makan Belanja)

Majlis pertunangan Siti Zuraidah dan Sdra Syahril

Majlis pertunangan Siti Zuraidah dan Sdra Syahril

Gambar kenangan sempena pertunangan Siti Zuraidah dan Sdra Syahril

Gambar kenangan sempena pertunangan Siti Zuraidah dan Sdra Syahril

Bertambah kemeriahan raya kali ini apabila raya hari ke 2 adik ipar saya Siti Zuraidah Sulaiman melangsungkan pertunangannya dengan Sdra Syahril Ridin dari Daerah Kecil Sook, Keningau, Sabah. Seronok apabila saudara, biras dan ipar duai semakin bertambah. Saya mendoakan agar ‘cinta’ mereka berdua berakhir ke jinjang pelamin dan kekal bahagia sepanjang hayat.

Bapa (kedua dari kanan) bersama keluarga terdekat di Kg Mumpait, Ranau

Bapa (kedua dari kanan) bersama keluarga terdekat di Kg Mumpait, Ranau

Raya ke 5, bapa saya mengajak ke Kg Mumpait, Ranau kerana ada saudara terdekat menjemput sempena perkahwinan (makan belanja) anak mereka. Saya tak pernah pun diberitahu tentang saudara tersebut selama ini. Alhamdulillah, akhirnya kami berkenal-kenalan juga akhirnya. Rupanya saudara sepupu terdekat sebelah bapa.

Raya hari-hari berikutnya, ramai juga rakan-rakan yang menjemput tapi tak sempat hadir. Antaranya Sdra Fazri Usidi, rakan karib saya sejak di maktab lagi. Mohon maaf banyak-banyak kerana tak dapat datang. Saya sempat memenuhi jemputan Sdra Ridhwan Mohammad (Pejabat Kesihatan Keningau).

Kenangan bersama Tuan Guru Hj. Hadiq Ismail

Kenangan bersama Tuan Guru Hj. Hadiq Ismail

Ternyata kunjungan saya sekeluarga tidak sia-sia kerana sempat bertemu walau sekejap dengan bekas guru Tuan Hj Hadiq bin Ismail. Teringat didikannya yang sangat keras dan tegas semasa di SUIS Tambunan dahulu. Alhamdulillah, walaupun didikannya keras namun sehingga kini dan selamanya saya sentiasa rasa beruntung pernah menjadi salah seorang anak murid beliau. Semoga tuan guru sekeluarga akan sentiasa dirahmati oleh Allah SWT.

Semasa menghadiri rumah terbuka Sdra Azman Hj Ruslan

Semasa menghadiri rumah terbuka Sdra Azman Hj Ruslan

Saban tahun, saya sentiasa mendapat jemputan melalui sms dari yang seorang ini. Kali ini saya bersyukur kerana dapat memenuhi jemputannya. Beliau ialah tokoh pemimpin muda di Daerah Keningau, Sdra Azman bin Hj Ruslan dari GDW Kg Bayangan, Keningau. Ketika ini beliau memegang tampuk kepimpinan Pemuda UMNO Sabah sebagai Ketua Pemuda. Saya mengenali beliau sejak Tingkatan 6 di SMK Gunsanad, Keningau pada tahun 1987. Seingat saya, beliau menjejakkan kaki hanya beberapa minggu atau bulan sahaja di sekolah berkenaan kerana mendapat tawaran pengajian di universiti.  Sejak itu, saya mengikuti perkembangannya dan ternyata beliau memilih peguam sebagai kerjaya. Pada pandangan saya, beliau seorang pemimpin muda dalam bidang politik  yang sangat berbakat dan mempunyai ketokohan yang tersendiri. Saya sentiasa berdoa agar beliau sentiasa success dalam kerjayanya dan menjadi seorang ahli politik yang berjaya.

Rumah Terbuka PPD Keningau

Upacara memotong kek raya oleh PPD Keningau dan semua staf

Upacara memotong kek raya oleh PPD Keningau dan semua staf

Balik  bertugas setelah bercuti raya, namun kemeriahan raya terus dirasai. Diari raya saya tercatat program rumah terbuka sambutan raya anjuran PPD Keningau pada 5 Oktober 2009. Agak meriah juga kerana buat julung kalinya sejak saya bertugas di daerah ini lebih 14 tahun yang lalu, PPD Keningau mengadakan rumah terbuka sempena hari raya di perkarangan pejabat. Tidak seperti tahun-tahun sudah, memilih lokasi seperti hotel ternama di sekitar daerah ini. Saya teringat kata-kata PPD Keningau sekarang, En. Raisin Saidin, yang sentiasa mengingatkan kakitangannya agar biarlah roh dan jasad sentiasa tertanam di pejabat PPD. Maksud beliau agar di hati dan jiwa kakitangan dan staf PPD Keningau, sentiasa tertanam semangat cinta dan sayangkan pejabat PPD kerana di situlah punca dan sumber rezeki mereka.

Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2008 (APC)

Ucapan sempena Majlis APC oleh Pengarah, JPN Sabah

Ucapan sempena Majlis APC oleh Pengarah, JPN Sabah

Gambar sebahagian daripada penerima APC

Gambar sebahagian daripada penerima APC

Saban tahun menjadi jurufoto

Saban tahun menjadi jurufoto

Tahniah. Pn Sinasa (Kiri) dan rakan-rakan dari Nabawan

Tahniah. Pn Sinasa (Kiri) dan rakan-rakan dari Nabawan

Pengarah JPN Sabah dan barisan orang kuat pendidikan Zon Pedalaman

Pengarah JPN Sabah dan barisan orang kuat pendidikan Zon Pedalaman

Dalam kesibukan orang beraya, PPD Keningau pula disibukkan dengan program APC. Saban tahun program ini dilaksanakan bertujuan memberi pengiktirafan kepada guru-guru dan kakitangan pendidikan yang cemerlang di seluruh negara. PPD Keningau tidak terkecuali. Kali ini penerima APC tahun 2008 bagi Zon Pedalaman (Keningau, Tambunan, Nabawan dan Tenom) telah menerima anugerah mereka masing-masing di Dewan Sekolah, SM Ken Hwa Keningau pada 29 September 2009. Penyampaian anugerah APC ini telah disempurnakan oleh Ybhg. Datuk Normah binti Gagoh, Pengarah, Jabatan Pelajaran Negeri Sabah. Seramai lebih 400 orang telah menerima anugerah APC pada kali ini. Bagi saya dan rakan-rakan, tugas utama kami ialah menyediakan buku aturcara majlis. Bermula dari menaip, menyusun, merekaletak (designing) dan seterusnya mencetak dan menjilid, kesemuanya dilakukan oleh kami. Syukur kerana buku aturcara dapat disiapkan walaupun pada kali ini dipaksa bersengkang mata sehingga ke pagi akibat sedikit masalah teknikal. Sebenarnya tengah belajar sejenis perisian baharu dengan Sdra Jaidi Rejan dari SMK Keningau. Pada hari penyampaian anugerah, terhoyong-hayang dan terasa pening apabila bertugas menjadi photographer pula akibat tak cukup tidur. Terima kasih kepada rakan-rakan Sdra Jaidi, Sdra Rodymond dan Sdra Abd Gani Ajim. Tahniah juga kepada semua yang telah menerima anugerah. Semoga ia akan menjadi pembakar semangat untuk terus memberi perkhidmatan yang terbaik kepada bangsa, agama dan negara.

Balik kampung lagi

Nunuk Sirung dari jauh

Nunuk Sirung dari jauh

Pandangan dekat gunung Nunuk Sirung

Pandangan dekat gunung Nunuk Sirung

Kemudahan elektrik yang baharu saja dinikmati orang kampung

Kemudahan elektrik yang baharu saja dinikmati orang kampung

Entah mengapa akhir-akhir ini sentiasa teringat untuk balik kampung pula. Jika tak ada kuliah pada penghujung minggu, pasti saya dan keluarga akan ambil peluang untuk balik kampung. Hati terasa damai dan tenteram melihat kehijauan yang terdapat di sekeliling kampung. Kampung Tampasak Liwan, Tambunan…itulah nama kampung saya. Jaraknya sejauh 80km dari Daerah Keningau, tempat saya bertugas. Tiada apa yang istimewa di sini, melainkan penduduknya yang rajin mengusahakan tanah untuk aktiviti pertanian. Dari sini pergunungan Nunuk Sirung dapat dilihat dengan jelas. Sehingga kini, saya tak pernah tahu apakah sebenarnya cerita atau legenda gunung ini melainkan bentuknya yang istimewa iaitu berbentuk ‘sirung’ atau pakaian pelindung kepala oleh penduduk suku kaum Dusun di Sabah.

Orang kampung tekun bertani

Orang kampung tekun bertani

Tanam sayuran sementara pokok getah membesar

Tanam sayuran sementara pokok getah membesar

Lada putih Sabah

Lada putih Sabah

Kobis subur menghijau

Kobis subur menghijau

Tomato di teresan lereng bukit

Tomato di lereng bukit

Pokok lada besar

Pokok lada besar

Lada besar

Lada besar

Tomato dan strawberi

Tomato dan strawberi

Strawberi

Strawberi

Buah belum masak strawberi

Buah strawbery belum masak

Buah strawbery masak

Buah strawbery masak

Di tanah subur kampung ini pelbagai tanaman sayuran diusahakan oleh orang-orang kampung. Pada masa ini, pertanian tanaman tanah tinggi secara berkelompok sedang giat diusahakan oleh orang-orang kampung. Bertuahnya golongan petani kecil zaman sekarang kerana diberi bantuan sepenuhnya oleh pihak Jabatan Pertanian. Ini termasuklah biji benih tanaman, racun, baja, tangki air dan paip. Terima kasih kepada kerajaan yang prihatin terhadap nasib golongan petani kampung. Antara sayuran yang subur tumbuh di kawasan kampung saya ialah kobis, tomato, lada hijau (besar) dan banyak lagi. Sekadar mencuba dan suka-suka, saya menanam strawberry yang dibeli dari rakan dari Kundasang, Ranau. Ternyata strawberry juga tumbuh subur di sini. Strawberry boleh diusahakan secara komersial di sini tetapi memerlukan usaha sepenuh masa.