Membaca: Sekadar Hobi?

Apakah hobi anda? Beraneka jawapan yang anda akan perolehi; memancing, menanam pokok bunga, memelihara kucing dan sebagainya. Namun, perkara yang mungkin mengejutkan apabila orang mengatakan: “Hobi saya membaca.”

Adakah betul jika ada orang mengatakan: “Hobi saya minum air?” Walhal minum air ialah suatu keperluan. Bukankah pelik jika ada orang menyatakan hobinya ialah makan tengah hari dan tidur pada waktu malam? Sebagaimana makan, minum dan tidur itu merupakan keperluan, begitu juga membaca.

Dari sudut lain pula, adakah Allah SWT menurunkan wahyu pertama dengan arahan “Iqra” (bacalah) itu hanya berfungsi sebagai satu hobi? Jika begitu, membaca dilakukan pada masa lapang sahaja. Maka jadilah amalan membaca setaraf dan boleh ditukar dengan hobi lain seperti memancing, menanam pokok bunga atau mengumpul setem.

Islam Agama Membaca
Membaca sewajarnya diletakkan sebagai satu keutamaan, bukannya bertaraf hobi. Membaca tidak terhad kepada satu atau dua buah buku. Bukan juga membaca sehari dalam seminggu atau sebulan dalam setahun. Seharusnya membaca menjadi “makanan harian” dalam kehidupan. Maka usah biarkan hari-hari berlalui tanpa membaca.

Bahan bacaan juga mestilah bukan yang kosong dan sia-sia. Sebaliknya yang berguna dan bermanfaat. Bacalah dengan hasrat membina bukan memusnahkan, dan untuk memperoleh kebaikan bukan merosakkan.

Sejarah penurunan al-Quran membawa mesej bahawa membaca sangat penting. Jika tidak, masakan wahyu pertama berupa perintah “bacalah”.

Ayat al-Quran yang pertama meletakkan satu batu asas penting dalam konteks keimanan yang luas. Dalam erti kata lain, setiap urusan, gerak geri, langkah dan tindakan hendaklah dimulakan dengan menyebut nama Allah SWT. Allah yang menciptakan makhluk, maka Dialah yang mengajar kita.

Wahyu sulung ini menunjukkan bahawa pembinaan tamadun manusia yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW berasaskan ilmu pengetahuan. Jalannya tidak lain iaitu melalui pembacaan.

Tidak dinafikan bahawa tradisi menulis dan membaca sudah wujud sebelum kelahiran Islam lagi. Namu perkembangan ilmu pengetahuan hanya berkembang pesat sejurus selepas kebangkitan Islam.

Buktinya, ribuan jilid kitab Islam dalam pelbagai bidang ilmu terhasil. Inti pati maklumat kesemua kitab tersebut berasal dari al-Quran. Ini merupakan satu kesan mukjizat yang sangat menakjubkan. Sekaligus membuktikan bahawa Islam agama berasaskan pembacaan dan penulisan.

Kuasa Membaca
Kesan tulisan yang dibaca lebih berpengaruh berbanding suara yang didengar. Asasnya, pembacaan mewujudkan interaksi di antara pembaca dan bahan yang dibaca. Hal ini berlainan dengan suara yang hanya didengar. Bahan yang didengar tidak semestinya wujud secara fizikal. Mungkin inilah di antara hikmah di sebalik nama al-Quran. Al-Quran bermaksud yang dibaca, bukan didengar.

Kita tidak menafikan kesan baik cara pembelajaran lain seperti berteraskan multimedia audio-visual, uji kaji dan pengamatan. Kesemua cara tersebut mempunyai kekuatan tersendiri. Di antaranya kepupayaan merangsang minda melalui pendengaran dan penglihatan secara lebih optimum. Namun, membaca kekal sebagai cara utama memperolehi ilmu. Sseolah-olah Allah mengajar kita bahawa betapa banyakpun teknologi pengajaran dan pembelajaran sekalipun, kita tetap perlu membaca.

Keupayaan membaca dan menulis amat penting bagi mana-mana negara yang mahu memacu kemajuan dan kemakmuran. Keadaan ini jelas pada awal perkembangan Islam dan semasa proses membentuk negara Islam. Tawanan perang Badar dikehendaki mengajar orang Islam membaca sebagai syarat penebusan diri. Ini satu strategi penting yang Rasulullah lakukan dalam proses membina negara Islam yang bersepadu dan maju.

Jambatan Ilmu
Mebaca bukan sahaja bermanfaat untuk si pembaca, bahkan kesannya meluas. Ilmu yang ada dapat digunakan untuk faedah dan manfaat banyak pihak. Secara tidak langsung, warga yang membaca akan membantu memajukan masyarakat dan negaranya.

membaca_bukuSebaliknya tanpa ilmu pengetahuan, seseorang itu amat sukar untuk mengubah keadaan diri, apatah lagi mengubah masyarakat dan negaranya.

Sama-samalah kita berpegang kepada ungkapan emas “membaca jambatan ilmu”. Budaya membaca amat penting kepada masyarakat dan negara kita yang sedang menuju pembentukan negara maju pada masa akan datang.

Ringkasnya, kemajuan sesebuah negara tidak dapat dipisahkan daripada tabiat membaca dalam kalangan rakyatnya.

Membaca dapat menyuburkan akal seperti hujan menyuburkan tanaman. Membaca menjadi penghubung antara manusia dan ilmu. Ilmu itulah yang membentuk keperibadian. Ambillah manfaat daripada apa-apa yang dibaca. Kita ialah apa yang kita baca. Namun jika tidak diambil manfaatnya, kita masih orang yang sama walaupun bahan yang kita baca setinggi gunung. Ilmu tanpa amal ibarat pohon yang tidak berbuah. Apa-apa pun hasil pembacaan, paling penting kita dapat mengenal Allah, Tuhan Penguasa Alam. Lalu kita mengakui keagungan dan tunduk patuh kepada-Nya. Bukan menderhaka, ingkar dan kufur terhadap-Nya.

“Buku” Wajib Dibaca
Al-Quran ialah “buku” yang mesti dibaca kerana ia manual kehidupan mahluk Allah. Namun amat mendukacitakan kerana realiti tidak menyokong hakikat ini. Kita berjaya melahirkan jurutera, doktor dan ilmuwan yang hebat dalam setiap bidang. Ramai antara mereka yang dangkal terhadap asas-asas agama, buta al-Quran dan kosong jiwanya tanpa ilmu-ilmu Islam.

Bacalah al-Quran secara istiqamah walaupun sebaris ayat sehari. Perkara yang penting, mesej ayat yang dibaca itu hendaklah difahami dan dihayati. Seterusnya diterjemahkan prinsipnya dalam kehidupan.

Sebaris ayat sehari lebih baik berbanding bertadarus sekali setahun hanya pada bulan Ramadan. Mari kita jadikan al-Quran bahan bacaan harian bukannya hiasan.

Sumber: Ustaz Roslan Yasnain (Solusi: Isu 54)

Membaca Jambatan Ilmu

“Membaca Jambatan Ilmu”, demikian ayat yang sudah acap kali kita dengar dan sering terpampang terutamanya di pusat-pusat ilmu, contohnya perpustakaan. Sebagai manusia, kita digalakkan untuk rajin membaca kerana membaca menjanjikan pelbagai kesan positif terhadap diri seseorang individu.

Seseorang insan yang rajin membaca dapat meningkatkan sahsiah diri yang baik. Melalui pembacaan dari sumber yang berkualiti, pembaca dapat mengenali dan memahami sesuatu perkara dengan lebih mendalam dan dapat mengajar kita pelbagai nilai murni yang harus diamalkan dalam kehidupan seharian. Hasil pembacaan juga dapat memberi panduan dan mengelokkan diri daripada melakukan perkara-perkara negatif yang boleh membawa implikasi buruk terhadap diri sendiri dan orang lain.

Selain itu, seseorang yang mengamalkan tabiat membaca sebagai santapan minda harian seperti surat khabar, akan dapat mengikuti arus perkembangan dunia dan isu-isu semasa yang berlaku di dalam atau di luar negara. Hal ini sudah tentu akan membolehkan seseorang menjadi manusia serba tahu dan berilmu pengetahuan luas.

Sebagai seorang pelajar, sudah tentu fokus utamanya adalah untuk belajar. Oleh itu, dengan membaca pelajar dapat menimba lebih banyak ilmu pengetahuan dan maklumat agar mempunyai haluan ke arah masa hadapan yang lebih cerah. Ini dapat dibuktikan dengan prestasi akademik seseorang pelajar yang sentiasa di tahap yang lebih baik.

Melalui pembacaan yang baik, dapat melatih dan menjadikan diri pelajar lebih berdisiplin dan seterusnya menjadi contoh ikutan dan modal insan yang cemerlang.

Ditulis oleh: Adik Pameza Abd Harip ( Tingkatan 5, SMK Keningau II, Keningau, 2011)
Adik Pameza merupakan calon Tokoh NILAM mewakili Daerah Keningau ke pemilihan peringkat Zon Pedalaman 2011.