Pengalaman Pembedahan Lutut (UPDATED)


Bagi anda yang pernah atau bakal mengalami kecedaraan lutut dan pembedahan lutut, mungkin tulisan saya ini boleh dijadikan panduan. Ya…siapa tahu, malang tak berbau, seperti saya. Kecedaraan lutut saya alami sewaktu masih sekolah menengah lagi semasa bermain bola. Sewaktu membuat pusingan badan, entah bagaimana tiba-tiba sahaja saya terdengar bunyi ‘pop’ di lutut saya. Saya terhenti dan jatuh serta merta. Kaki tak boleh bergerak seolah-olah terlekat pada tanah. Kawan-kawan mengusung saya keluar padang. Selepas itu hampir dua minggu tak dapat berjalan. Beberapa tahun kemudian, perkara yang sama berlaku kali kedua. Kejadian kedua berlaku ketika awal karier sebagai pendidik, bertugas di sebuah sekolah pedalaman, Sabah. Cuma kecedaraan kali ini benar-benar telah membuatkan saya berhenti daripada bergiat secara aktif dalam bidang sukan. Puncanya ialah kaki saya (yang sama) terhempas ke tanah secara tidak normal. Sejak itu, saya berasa sesuatu yang tidak kena pada lutut saya. Selain bengkak pada awalnya, lutut saya sering ‘terlepas’ secara tiba-tiba. Apabila keadaan ini berlaku, saya tidak boleh berjalan malah terasa sangat sakit seolah-olah tulang lutut terkehel. Kadangkala mengambil masa yang lama untuk membetulkannya. Setelah rasa sakit pada bahagian lutut reda, keadaan lutut ‘terlepas’ secara tiba-tiba masih berlaku. Kadangkala dalam keadaan duduk bersila, dan apabila berdiri lutut boleh ‘terlepas’. Ia juga boleh berlaku ketika berjalan, terutama apabila terpijak bahagian permukaan yang tidak rata.Dipendekkan cerita, akhirnya saya mengambil keputusan untuk melakukan pembedahan lutut pada penghujung tahun 2010. Mungkin disebabkan faktor usia, kesakitan pada bahagian lutut yang tercedera itu mula dirasai dan sering berlaku.

Saya ke Hospital Besar Daerah Keningau, Sabah, lalu diperkenalkan dengan seorang doktor pakar tulang. Akhirnya saya dirujuk ke seorang lagi doktor pakar tulang. Kali ini bukan di Hospital Keningau tetapi di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu (HQE). Tanggal 13 Januari 2011 saya diperkenalkan dengan Dr. Baskaran (DRB), seorang doktor pakar bedah yang saya kira sangat terkenal di Sabah. DRB mengatakan lutut selalu ‘terlepas’ disebabkan oleh ligamen penyambung antara tulang peha dengan tulang kaki telah terputus. Istilah perubatan dipanggil kerosakan PCL. DRB mencadangkan pembedahan perlu dilakukan, iaitu penggantian fungsi ligamen menggunakan Pin/Graft Wire. Pin/Graft Wire tersebut perlu dipasang secara kekal menggunakan dua jenis skru (Transfix Screw dan Interference Screw). Tanpa berfikir panjang saya bersetuju kerana risau rasa sakit semakin menjadi-jadi. Terkejut kerana tarikh yang dicadangkan oleh DRB ialah pada bulan Jun 2011. Enam bulan menunggu sesuatu tempoh yang sangat lama. Lantas saya mohon dipercepatkan. Nasib baiklah, setelah semakan dibuat, akhirnya ketetapan dibuat iaitu 16 Mac 2011, kerana kebetulan salah seorang pesakit yang sepatutnya dibedah pada masa itu menarikk diri.

Secara ringkas:
Tarikh masuk wad: 14 Mac 2011
Tarikh pembedahan: 16 Mac 2011
Kos pembedahan: RM3,500.00
Tempat pembedahan: SMC/HQE 2

Pengalaman dan prosedur:
Banyak perkara yang ditanya dan diperiksa oleh doktor. Antaranya pengalaman pembedahan, sejarah penyakit keluarga, pemeriksaan jantung, pemeriksaan sampel darah dan sebagainya. Pesakit juga perlu menandatangani borang-borang tertentu. Kalau tak silap tiga kali.

Bius separuh badan
Bab ini yang agak menyakitkan. Semasa di dewan bedah, saya diminta duduk membongkok lalu bius pertama dimasukkan. Saya kira bius pertama jarumnya agak halus dan bertujuan untuk membuatkan kebas setempat supaya bius berjarum besar dapat dimasukkan tanpa kesan sakit yang kuat. Ketika bius kedua dimasukkan, terasa jarum agak besar menembusi antara sendi tulang belakang. Terkeluar juga air mata dibuatnya. Sebentar kemudian, paras pinggang sehingga ke bawah tidak terasa apa-apa lagi. Ketika itu saya nampak skrin televisyen di tayang dan saya boleh nampak secara sedar bagaimana DRB melakukan pembedahan. Saya terperanjat apabila DRB memaklumkan kecedaraan saya bukan satu. Kecedaraan ACL dan PCL.

Kesan Bius
Alhamdulillah, pembedahan lutut saya berjaya. Saya dimasukkan semula ke wad. Doktor memaklumkan, saya tidak boleh bangun selama enam jam selepas pembedahan. Oleh kerana terasa hendak buang air kecil, saya cuba bangun. Tetapi baru tak sampai seminit terasa pening dan muntah. Segera baring semula. Masa itu, hanya Allah SWT sahaja yang tahu bagaimana siksa menahan air kencing. Doktor memaklumkan itu adalah kesan bius. Ada pesakit lain yang tak boleh kencing langsung, lalu doktor memasukan hos kecil supaya air kencing dapat dibuang keluar. Saya berusaha untuk kencing…setitik demi setitik dan akhirnya dalam tempoh 24 jam saya boleh membuang air kecil secara normal.

Bagi saya, pengalaman dibedah tidaklah menyakitkan. Kesan bius itulah yang lebih membuatkan saya sangat tidak selesa. Mungkin kesan itu berbeza-beza bagi orang lain. Kesan bius yang lain ialah pangkal leher hingga ke bahu kiri dan kanan terasa sangat berat seolah-olah dipaku sehinggakan saya menoleh dengan memusingkan seluruh badan. Kepala pula terasa pening seperti ‘migrain’ yang amat sangat. Keadaan ini saya rasai sehingga dua minggu. Mujur ada seorang doktor semasa ditahan di wad HQE menyatakan ubat bius itu akan keluar melalui sistem perpeluhan. Saya tak tahu sejauh mana keberkesanannya, tetapi saya cuba-cuba bertangas (mandi wap) menggunakan air panas. Alhamdulillah, dengan sekali cuba sahaja rasa berat pada bahagian pangkal leher dan bahu berkurangan serta merta.

Peralatan tambahan
Selepas pembedahan, pesakit akan dinasihati supaya menggunakan peralatan sokongan seperti tongkat, compress dan pendekap kaki. Tetapi kesemuanya tidak dibekalkan oleh hospital. Peralatan tersebut perlu dibeli sendiri:
1. Tongkat: RM200.00 (bergantung kepada kualiti/jenis)
2. Compress (pembalut ais atau jelly): RM180.00
3. Pendekap kaki: RM1,800.00

Cuti sakit
Jika anda seorang kakitangan kerajaan, doktor pakar akan memberikan anda rehat yang secukupnya untuk pulih iaitu cuti sakit selama enam minggu. Selama tempoh masa tersebut, hendaklah sentiasa mengikuti rawatan fisioterapi dan senaman ringan sebagaimana yang diajarkan oleh doktor. Sekian.

UPDATED – 24 Oktober 2011
Penulis blog ini mendakwa tulisan atau artikel ini tulisan olehnya, seperti dakwaan: “…..mungkin tulisan saya ini boleh dijadikan panduan”.

Penulis blog ini turut mendakwa demikian.

Hakikatnya, entri ini saya masukkan pada 8 April 2011. Artikel serupa terpampang diblog mereka bertarikh 10 Mei 2011 dan 27 Oktober 2011.

Komen saya, sila baca di sini.