Guru perlu hadir awal ke sekolah

Sumber: Akhbar Utusan (23 Mei 2011)

PENSIANGAN 22 Mei – Semua guru di negeri ini perlu memastikan kehadiran awal mereka pada setiap sesi persekolahan sama ada di bandar ataupun di luar bandar.

Pengarah Jabatan Pelajaran Sabah, Datuk Dr. Muhiddin Yusin berkata, langkah itu penting bagi melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran pada setiap sesi persekolahan.

“Guru-guru perlu memastikan kehadiran mereka lebih awal di sekolah kerana mereka adalah fasilitator atau pemudah cara kepada pelajar.

“Kehadiran awal guru ini amat penting dalam memastikan pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Hari Bertemu Pelanggan Jabatan Pelajaran Negeri di Dewan Serbaguna Nabawan, di sini semalam.

Turut hadir, Pegawai Pelajaran Daerah, Osman Aganduk.

Menurutnya, komitmen tinggi guru amat penting dalam usaha melahirkan pelajar yang berkualiti dan cemerlang.

Jelasnya, selain kehadiran murid di sekolah, kehadiran guru pada setiap sesi persekolahan merupakan komponen penting bagi memperkasakan pendidikan negeri.

“Ini kerana jika murid hadir tetapi guru tidak hadir sudah tentu proses pengajaran dan pembelajaran tidak dapat berjalan dengan baik,” katanya.

Dalam pada itu Muhiddin mengingatkan para guru dan kakitangan sokongan sekolah supaya tidak mengamalkan sikap menangguh kerja.

“Amalan ini menyebabkan banyak kerja atau tugasan tertangguh dan tidak boleh diselesaikan dalam tempoh yang dikehendaki,” ujarnya.