About mzurs006

Salam perkenalan dari saya. Saya seorang guru dan kini bertugas sebagai Pegawai Teknologi Pendidikan, di PKG. Keningau, Sabah. Saya amat berminat berkaitan hal-hal pendidikan. Seboleh mungkin, saya akan cuba membantu meningkatkan mutu pendidikan di tempat saya mengikut kemampuan yang ada. Salah satu caranya ialah melalui webblog ini. Semoga blog ini akan bermanfaat kepada warga pendidik khususnya di Pedalaman Sabah.

Syoknya Balik Kampung – Memancing Belut Sungai

Tulisan “Syoknya balik kampung” kini kembali. Kali ini, seperti yang saya pernah nyatakan dahulu aktiviti menangkap ikan di sungai mengisi ruang jadual pulang ke kampung semasa bercuti baru-baru ini. Namun kepulangan ke kampung kali ini disambut oleh hujan yang berpanjangan. Hujan tidaklah mengganggu aktiviti tersebut, tetapi menghalang saya untuk menangkap gambar-gambar terbaik untuk tatapan anda. Seperti bahan kali ini, gambar yang saya ambil tidak banyak kerana keadaan cuaca yang kurang mengizinkan.

Gambar: Perjalanan ke sungai bersama anak-anak melalui hutan

Bercerita tentang menangkap atau memancing belut sungai, sememangnya amat menyeronokkan. Namun saya mulakan dahulu catatan ini dengan peristiwa sewaktu kanak-kanak dahulu yang tak pernah saya lupa. Suatu hari, seperti biasa emak saya membersihkan ayam untuk dibuat lauk, emak saya pergi ke sungai yang hanya beberapa langkah dari rumah ketika itu. Semasa membersihkan ayam tersebut, emak  meletakkannya di atas ketulan batu. Tali perut ayam berjuntaian sehingga mencecah ke permukaan air. Mulanya tiada apa-apa berlaku….tiba-tiba saya melihat salah satu hujung tali perut ayam yang terjuntai itu bergerak-gerak seperti ditarik sesuatu yang tak kelihatan di bawah ketulan batu. Sejurus kemudian, tali perut ayam itu hilang. Mata saya terbojol kehairanan lalu segera memberitahu emak saya. Tanpa berlengah, emak saya berlari ke rumah. Beberapa saat kemudian saya lihat emak kembali semula membawa “Siud”. Saya masih kehairanan. Emak saya segera meletakkan siud di bahagian hilir arus air berhampiran batu tadi. Setelah semua bersedia, saya lihat emak mengalihkan batu tersebut dan dengan serta merta pula mengangkat siud dari permukaan air. Kelihatan hujung siud bergoncang kuat. Emak saya menjerut siud tersebut untuk mengelakkan binatang tersebut terlepas. Selepas itu emak saya menghempas-hempaskan binatang dalam siud ke batu. Setelah binatang tersebut tidak bergerak lagi barulah saya berani dekat untuk melihatnya.

Gambar: Bambu yang matang mampu mencapai ukur lilit 25-30 inci

Dipendekkan cerita, malam itu kami sekeluarga berlaukkan ayam dan belut sungai sebesar lengan orang dewasa. Dalam bahasa Dusun belut sungai dipanggil “Rolou”. Bentuknya badannya panjang seperti ular tapi mempunyai permukaan kulit yang licin dan berlendir. Ia berbeza dengan belut “Lindung” yang dipelihara di dalam kolam atau hidup liar di lopak-lopak air.

Gambar: Anda pernah melihat bambu kuning?

Memancing belut sungai boleh dilakukan dengan kaedah biasa menggunakan joran dan mata kail. Namun cara ini memerlukan sedikit kesabaran kerana perlu menunggu. Salah satu cara lagi ialah dengan memasang mata kail semalaman. Cara inilah yang saya praktikkan kali ini. Peralatan yang diperlukan cuma mata kail bersaiz 4 dan 6 serta tangsi 20 paun. Jumlahnya pula terpulang kepada kemampuan. Lebih banyak lebih baik. Jala digunakan untuk menangkap ikan-ikan kecil sebagai umpan. Setelah umpan dilekat pada mata kail, tali tangsi diikat ke apa-apa sahaja seperti akar kayu, batu, ranting dan sebagainya yang terdapat di pinggir sungai. Selepas itu biarkan semalaman.

Awal pagi keesokan harinya, mata kail yang dibiar semalaman diperiksa. Hasilnya, 7 ekor belut sungai menjadi mangsa berbanding lebih 40 mata kail yang dipasang. Pernah suatu ketika dahulu saya mendapat belasan ekor belut. Saya pernah mendapat ikan kelah seberat 3 kg menggunakan teknik ini.

Resipi belut sungai
Ringkas sahaja…selepas belut dibersihkan dan dipotong, rebus atau kukus bersama bawang putih, bawang merah, halia serta garam secukupnya. Peram terlebih dahulu selama 30 minit lebih baik. Hmmm… rasanya memang sedap terutama bahagian kulitnya yang agak lembut dan sedikit berlemak. Sedap tak terkata jika dimakan bersama sambal “Tuhau”, sejenis sambal tempatan yang amat terkenal di Negeri Sabah.

Rangkuman Aktiviti Pendidikan Daerah Keningau 2008

Agak sukar juga untuk mengurus dan mengemaskini web blog secara bersendirian. Ini disebabkan sibuk berhadapan dengan tugasan harian dan juga terlibat  secara langsung membantu aktiviti yang dianjurkan oleh PPD Daerah. Biasanya setiap kali aktiviti diadakan saya ditugaskan menyedia buku atur cara majlis dan membuat rakaman sama ada gambar pegun atau video… hmm… mungkin kita boleh berkongsi maklumat tentangnya pada masa akan datang. Itu pun jika ada kelapangan dan ada permintaan.

Dua bulan terakhir tahun 2008 dipenuhi dengan aktiviti pendidikan di Daerah Keningau. Bagaimanapun saya tak sempat memuatkan aktiviti itu lebih awal dalam blog saya kerana bercuti balik kampung. Selepas bercuti barulah ada kesempatan untuk menulis. Kali ini saya kongsikan rangkuman aktiviti pendidikan di daerah Keningau  menjelang akhir tahun 2008.

Majlis Persaraan dan Perpisahan Mantan Pegawai Pelajaran Gabungan Keningau – Puan Jimina Payus @ Doris
Majlis ini berlangsung pada 10 November 2008 di Hotel Perkasa, Keningau, Sabah.

Majlis Penyerahan Surat Kenaikan Pangkat PPLD 2008, Gabungan Keningau
Tarikh: 11 November 2008
Tempat: Dewan Arked, Keningau, Sabah
Terdapat beberapa kategori kenaikan pangkat pada kali ini selaras dengan dasar Kementerian Pelajaran Malaysia yang telah membuka lebih banyak peluang kenaikan pangkat kepada guru-guru. Peluang kenaikan pangkat tersebut ialah:
1.  Kenaikan pangkat Gred DGA29 ke DGA32 secara Time-Based
2.  Guru Besar Cemerlang DGA38
3.  Guru Cemerlang DGA34
4.  Guru Cemerlang DGA32

Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan Pesara JPN Sabah Peringkat Gabungan Keningau
Tarikh: 12 November 2008
Tempat: Hotel Juta, Keningau, Sabah
Majlis penyampaian sijil disempurnakan oleh Ybhg. Datuk Normah Gagoh, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Sabah. Seramai 97 orang pesara yang terdiri daripada bekas guru dan KTBM dari Daerah Tambunan, Nabawan, Tenom dan Keningau menerima sijil penghargaan tersebut. Penyerahan sijil adalah sebagai penghargaan pihak  jabatan terhadap khidmat dan sumbangan mereka semasa dalam perkhidmatan.

Sedikit Tulisan Saya Tentang Allahyarham Dato’ Haji Razali bin Ismail

Kepada keluarga Allahyarham Dato’ Haji Razali bin Ismail, izinkan saya untuk berkongsi peristiwa dan memaparkan gambar-gambar yang pernah saya rakamkan di dalam ruang blog saya….

Jumaat, tanggal 28 November yang lepas berlaku satu peristiwa yang amat menyedihkan. Petang itu, saya baru balik dari pejabat. Buka note book untuk mengikuti berita-berita terkini akhbar tempatan secara online. Agak terkejut apabila terpampang berita ringkas pemergian Dato’ Haji Razali bin Ismail, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia. Mindaku segera bertindak balas, terkenang kembali suatu ketika lalu semasa beliau merasmikan Konvensyen PKG Kebangsaan Kali ke 7 di Royale Hotel, Seremban, Negeri Sembilan serta lawatan beliau ke sekolah-sekolah kawasan Pensiangan di pedalaman Sabah. Masih segar seolah peristiwa itu baharu saja berlaku. Saya terkejut dan bertafakur seketika… Inna lillahi Wainna Ilaihi Rajiun.

Meskipun saya hanya sempat mengikuti dua program seperti tersebut di atas yang melibatkan Allahyarham Dato’ Haji Razali bin Ismail, namun saya dapat simpulkan bahawa beliau sememangnya mempunyai semangat, keikhlasan, daya juang yang kental dan unggul untuk memacu dan memartabat bidang pendidikan.

Satu ketika di pangkalan perahu di Kg. Salong, Pensiangan suatu peristiwa berlaku dan sehingga waktu ini peristiwa itu masih lekat di hati saya. Setibanya di penempatan kecil Salong, beliau tanpa berlengah mundar-mandir melewati di celah-celah rumah penduduk kampung, bersalaman dan bertanya khabar, menyapa dengan penuh mesra mereka yang tua mahupun muda. Tentulah pada masa itu beliau jerih kerana perjalanan yang agak jauh. Isu-isu dan masalah pendidikan yang dihadapi penduduk kampung tidak lekang daripada pertanyaan-pertanyaan beliau. Ternyata perwatakan beliau sebagai pemimpin yang berjiwa rakyat amat terserlah.

Warga guru dan sekolah-sekolah seperti SK Logongon, SK Salarom, SK Salong, SK Salinatan, SK Pensiangan dan SK Tinanduk di Mukim Pensiangan, Nabawan tentunya amat beruntung kerana telah berpeluang bersemuka dan meluahkan sendiri masalah-masalah yang dihadapi kepada Allahyarham. Pelajar-pelajar juga turut tidak dilupai oleh beliau dengan memberikan kata-kata semangat agar mereka maju dan mengutamakan pendidikan. Semasa lawatan tersebut, beberapa projek untuk membantu menaik taraf sekolah-sekolah luar bandar dan pedalaman turut diumumkan oleh Allahyarham.

Di Bahagian Teknologi Pendidikan, khususnya Pusat Kegiatan Guru turut mendapat perhatian oleh Allahyarham Dato’ Haji Razali bin Ismail. Semasa merasmikan Konvensyen PKG Kebangsaan kali ke 7, beliau telah melontarkan beberapa cadangan untuk memperkasa PKG dari segi perjawatan, prasarana serta kelengkapan, peralatan dan bahan. Ini disebabkan peranan dan tanggungjawab PKG semakin bertambah khususnya sebagai peneraju utama teknologi pendidikan setempat.

Diucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham serta warga pendidikan di seluruh Malaysia. Sesungguhnya pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar kepada negara. Al-Fatihah……

Memperkasa PKG (Dipetik dari akhbar Berita Harian 3.10.2008)

FOKUS: Memperkasa PKG
Oleh Rosniza Mohd Taha
upen@bharian.com.my

Gambar: Konvensyen PKG Kebangsaan ke 7, 2008 dirasmikan oleh YB. Dato’ Razali bin Ismail, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia

Lapan strategi dilaksana bagi tingkat peranan Pusat Kegiatan Guru sebagai rujukan, sumber pendidikan
BAHAGIAN Teknologi Pendidikan (BTP) Kementerian Pelajaran menggariskan lapan strategi memperkasa Pusat Kegiatan Guru (PKG) bagi meningkatkan fungsinya sebagai pusat rujukan dan pembangunan sumber pendidikan serta memenuhi tuntutan semasa pendidikan bestari.

Strategi itu adalah memperkasa fungsi, mengukuhkan struktur dan modal insan, menaik taraf bangunan dan pusat sumber, memantapkan inisiatif teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pengkhususan kepakaran, perjawatan, pusat kegiatan sosial/ komuniti serta ejen perubahan dan penyelesaian masalah.

Pengarah BTP, Mohd Adenan Deraman, berkata sebagai langkah awal pelaksanaannya kira-kira 2,200 tambahan kakitangan termasuk jawatan baru pegawai berijazah DG41 dan DG44 serta juruteknik akan diwujudkan menjelang 2010.

Katanya, jumlah itu membabitkan penempatan seorang juruteknik komputer serta tambahan lima pegawai di semua 368 PKG berbanding hanya tiga pegawai berkelulusan diploma (DG32) ketika ini.

“Langkah itu sejajar strategi penstrukturan perjawatan bagi memastikan PKG dapat memberikan khidmat lebih cekap dan berkesan dalam membantu guru serta meningkatkan kegiatan pemantauan ke sekolah.”

“Sekolah di seluruh negara kini melalui perubahan dasar termasuk penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) apabila institusi ini dibekalkan prasarana seperti makmal komputer dan pusat akses.”

“Sudah sampai masanya PKG melalui transformasi sejajar keperluan semasa dengan melakukan perubahan terutama dari segi struktur, fungsi dan peranan supaya ia terus dianggap sebagai ‘pasar raya’ guru yang sentiasa sibuk dengan pelanggan walaupun ada yang datang dengan tujuan paling minimum,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai strategi lain, Mohd Adenan berkata, memperkasa fungsi membabitkan program pemangkin kecemerlangan guru dengan objektif meningkatkan kemahiran guru dalam teknologi pendidikan dan ICT.

Memperkukuh struktur dan modal insan pula katanya, akan dilaksanakan menerusi penambahan 132 PKG menjadikan jumlah keseluruhannya 500 supaya nisbah institusi pendidikan itu dengan keahlian sekolah seimbang iaitu satu PKG mempunyai 25 sekolah ahli saja.

“Di bawah strategi sama, kemahiran dan profesionalisme pegawai akan ditingkatkan termasuk memupuk kemahiran menyelesaikan masalah supaya mereka dapat membimbing guru menguasai ilmu dan kemahiran terkini serta inovasi pendidikan,” katanya.

Menyediakan ruang kerja sesuai dan penambahan bilik antara langkah akan diambil di bawah strategi menaik taraf bangunan dan pusat sumber untuk meningkatkan motivasi pegawai, sekali gus mendorong mereka memberikan perkhidmatan berkualiti.

Kadar kelajuan capaian internet pula akan diusahakan menerusi penyambungan talian Schoolnet dan Streamyx, talian terus ke PKG, menambah kapasiti jalur lebar kepada 4 mbps serta mewujudkan zon WiFi di persekitaran PKG menerusi strategi memantapkan inisiatif ICT.

Sementara itu, setiap PKG akan digalakkan membangunkan pengkhususan kepakaran masing-masing bagi mewujudkan identiti tersendiri serta meningkatkan kualiti dan kuantiti bahan P&P berasaskan ICT.

Kerjasama dengan agensi luar serta masyarakat pula akan digalakkan di bawah strategi pusat kegiatan sosial/komuniti bagi meningkatkan jumlah guru dan masyarakat yang datang ke PKG untuk tujuan perkongsian idea.

Program peningkatan kefahaman fungsi dan peranan PKG pula akan terus dilaksanakan secara berterusan bagi menghasilkan bahan P& P yang memenuhi keperluan guru untuk mengatasi masalah kekurangan koleksi bahan serta pengurusan kurang sistematik menerusi strategi ejen perubahan dan penyelesaian masalah.

INFO: Lapan strategi memperkasa PKG

  1. Memperkasa fungsi
  2. Mengukuhkan struktur dan modal insan
  3. Menaik taraf bangunan dan pusat sumber
  4. Memantapkan inisiatif teknologi maklumat dan komunikasi (ICT)
  5. Pengkhususan kepakaran
  6. Perjawatan
  7. Pusat kegiatan sosial/ komuniti
  8. Ejen perubahan dan penyelesaian masalah

 
‘Geran khas perlu untuk mantapkan Pusat Kegiatan Guru’
BAHAGIAN Teknologi Pendidikan (BTP) memperuntukkan geran khas tahunan kepada institusi itu untuk menjalankan program inovatif pengajaran dan pembelajaran (P&P) termasuk projek Satu PKG Satu Produk.

Inisiatif itu secara tidak langsung berupaya meningkatkan koleksi serta kualiti bahan P&P BTP dan PKG serta memperluas penggunaannya di sekolah seluruh negara.

Cadangan itu antara kandungan resolusi konvensyen bertema ‘PKG Perkasa Generasi Bestari’ anjuran BTP selama tiga hari di Seremban, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Ketua Unit Penyelarasan BTP/BTP Negeri selaku Ketua Urus Setia Pengelola konvensyen berkenaan, Dr Suhaimi Kadir, berkata cadangan itu berdasarkan kekangan kekurangan peruntukan kewangan dihadapi PKG ketika ini hingga menjejaskan pelaksanaan program yang menjurus peningkatan P& P.

Katanya, peruntukan mencukupi juga dapat memastikan pengurusan dan pentadbiran sistem penyampaian lebih cekap bagi mengelakkan masalah seperti pemantauan sekolah tidak dapat dijalankan dengan sempurna, peralatan pejabat tidak mencukupi serta kerosakan bangunan dan kelewatan penyelenggaraan.

Selain itu, katanya, BTP juga dicadang mengkaji semula nisbah PKG dengan sekolah ahli berikutan ada yang mencecah 200 sekolah bagi satu PKG berbanding nisbah ideal satu PKG : 20 sekolah ahli.

“Dengan tiga pegawai saja di PKG, sudah tentu beban tugas mereka bertambah di samping tidak dapat memberikan perkhidmatan cekap kepada pelanggan. Pertambahan pegawai ini perlu diberi keutamaan berbanding pembinaan PKG baru kerana ia mengambil tempoh lebih singkat untuk diusahakan,” katanya.

Beliau berkata, resolusi itu turut mencadangkan peningkatan kemudahan fizikal dan prasarana termasuk menyegerakan pembinaan bangunan baru bagi PKG yang menumpang di bangunan sementara.

Sambil menyambut baik pembinaan 15 PKG baru, resolusi itu meminta ia diteruskan kepada baki 153 PKG yang masih menumpang di bilik kelas dan menimbulkan masalah seperti ruang menyimpan sempit serta tidak selamat, selain tidak dapat menampung jumlah peserta yang ramai.

Bagi memastikan pentadbiran lebih cekap, ia turut mencadangkan PKG dibekalkan dengan sistem aplikasi atas talian seperti e-pejabat/ e-pentadbiran bagi menjimatkan penggunaan kertas serta membolehkan maklumat dan data diperoleh dengan pantas.

Lima resolusi dicapai sempena konvensyen kali ketujuh berkenaan iaitu aspek pembangunan sumber manusia, pemantapan pelan strategik dan hala tuju, implikasi kewangan, meningkatkan kemudahan fizikal dan prasarana serta pengisian.

Gabungan Keningau: Johan Keseluruhan MSKPPM Peringkat Negeri Sabah 2008

Kehohanan Majlis Sukan dan Kebudayan Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (MSKPPM) peringkat Negeri Sabah 2008 berakhir pada 24 Oktober 2008. Kejohanan tersebut yang bermula sejak 19 Oktober 2008 yang lalu telah diakhiri dengan majlis jamuan malam yang diadakan di Dewan Masyarakat Keningau. Di dalam majlis itu, pasukan MSKPPM Gabungan Keningau telah diumumkan sebagai juara keseluruhan MSKPPM Peringkat Negeri Sabah 2008 dengan memperolehi 7 pingat emas. Tempat kedua ialah Pasukan MSKPPM Kota Belud.

Berikut ialah gambar-gambar MSKPPM Peringkat Negeri Sabah 2008 yang sempat saya ambil untuk tatapan anda.

Majlis Perasmian Kejohanan MSKPPM Negeri Sabah 2008

 

Gambar-gambar permainan

Gambar-gambar malam penutupan kejohanan:

Tahniah dan syabas kepada semua ahli jawatankuasa pengelola Kejohanan MSKPPM Gabungan Keningau kerana telah berjaya menganjurkan kejohanan tersebut dengan cemerlang. Tahniah juga kepada semua pasukan yang telah mengambil bahagian dalam kejohanan MSKPPM 2008…

Konvensyen PKG Kebangsaan 2008 – Pembentang & Kertas Kerja

  1. Dato’ Prof. Dr. Ibrahim Ahmad Bajunid
    Kertas 1 : PKG Agen Perubahan Teknologi Setempat
  2. Prof Madya Dr. Hj. Mohd. Sahandri Gani bin Hj. Hamzah (UPM)
    Kertas 2 : PKG Pemangkin Kecemerlangan
  3. Tuan Hj. Mohd. Adenan bin Deraman
    Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan
    Kertas 3 : Memperkasa PKG
  4. Pn. Iris Sapok, BTPN Sarawak
    Kertas 4 : Reading Recovery Technique for Remedial English Language Learners
  5. En. Abdullah bin Yaacob
    PKG Tanjung Bunga, Pulau Pinang
    Kertas 5 : Pengajaran Kod Tangan Bahasa Melayu Melalui DVD Untuk Pelajar Pendidikan Khas Masalah Pendengaran.
  6. En. Ahmad Suhaimi bin Said
    PKG Bukit Besar, Terengganu
    Kertas 6 : Sistem Aplikasi Pengurusan Online: Satu Kekuatan Dalam Pengurusan Pusat Kegiatan Guru Bukit Besar
  7. En. Asaahari Bin Omar
    PKG Parit Setongkat. Muar, Johor
    Kertas 7 : sLIS – Sistem Maklumat Cuti Staf.
  8. En. Shansuddin b. Ahmad
    Pegawai Teknologi Pendidikan PKG Langkap
    Kertas 8 :Setiu Simple Sentence ( Triple S )
  9. Drs. Achmad Dasuki
    Pengarah Pendidikan Guru
    Kementerian Pelajaran Indonesia
    Kertas 9 :Pusat Kegiatan Guru: Pengalaman Indonesia.
  10. Prof. Dato’ Dr. Ab Rahim bin Selamat
    Dekan Fakulti Pendidikan, Universiti Industri Selangor
    Kertas 10 : Organisasi Pembelajaran Profesional.
  11. Pn. Hayati bte Harudin
    Senior Manager, Business Development, Oracle Corporation Malaysia For Oracle Education Foundation
    The technology change agent to the education system paramount to the development of human capital in Malaysia with the 21st century skills.

Gambar-gambar pembentang kertas kerja yang sempat saya rakamkan. Terima kasih di atas segala ilmu pengetahuan yang telah dikongsi.

Maklumat lanjut tentang Konvensyen PKG Kebangsaan Kali ke 7 2008, sila berkunjung ke http://btpnjoh.moe.edu.my/konvensyen/news.php

Konvensyen PKG Kebangsaan 2008 – Sambutan Raya & Persembahan

Sedihnya Konvensyen PKG Kebangsaan pada kali ini kerana di adakan pada hari ke enam selepas hari raya. Belum puas rasanya berhari saya bersama keluarga di kampung, tiba-tiba dipanggil konvensyen. Namun demi tugas dan tanggungjawab kenalah hadir juga. Hadir bukan setakat mendengar pembentangan kertas kerja sahaja…tetapi setiap pasukan mestilah mempertontonkan persembahan masing-masing pada malam jamuan raya. Pada malam jamuan tu..ramailah rakan-rakan PTP PKG seluruh Malaysia yang membuat persembahan yang amat menarik dan menghiburkan walaupun khabarnya kebanyakan pasukan kurang bersedia…termasuklah kawan-kawan dari Sabah.

Tahniah untuk rakan-rakan PTP PKG di seluruh Malaysia!

Konvensyen PKG Kebangsaan 2008

Agak lama juga saya tak meng’update’ kandungan blog ini. Ini disebabkan kesibukan yang dihadapi. Rakan-rakan di PKG tentu lebih maklum; bermula dengan konvensyen dan seterusnya SSQS yang akan dijalankan ke atas 4000 buah sekolah di seluruh Malaysia. Di daerah saya tak kurang sibuknya, terlibat memberi sedikit sumbangan menjayakan kejohanan MSKPPM peringkat Negeri dan Majlis Penganugerahan Sijil Penghargaan kepada pesara guru. Atas permintaan beberapa orang rakan, kali ini saya sajikan sedikit maklumat bergambar berkaitan Konvensyen PKG Kebangsaan 2008. Konvensyen kali ke 7 ini telah berlangsung di Hotel The Royale Bintang, Seremban, Negeri Sembilan pada 6 hingga 9 November 2008 yang lalu. Tema konvensyen ialah “PKG Perkasa Generasi Bestari”. Konvensyen tersebut telah dirasmikan oleh YB. Dato’ Razali Ismail, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia.

Konvensyen ini telah menghimpunkan lebih 300 Pegawai Teknologi Pendidikan dari PKG seluruh Malaysia. Sepanjang konvensyen dijalankan, peserta telah disajikan dengan pembentangan kertas kerja oleh tokoh-tokoh pendidikan dalam dan luar negara.

Maklumat lanjut Konvensyen tersebut boleh didapati di laman ini: http://btpnjoh.moe.edu.my/konvensyen/news.php

Pertandingan POL PBL Peringkat Negeri Sabah 2008 – Pencapaian Gabungan Keningau

Pertandingan POL berasaskan PBL Peringkat Negeri Sabah telah berlangsung pada 18 September 2008 (Khamis) bertempat di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Sabah, Penampang.

Di dalam pertandingan tersebut, Gabungan Keningau telah menghantar empat pasukan. Sekolah-sekolah tersebut dan pencapaiannya adalah seperti berikut:

Sekolah Rendah
1.   SK Pekan Tambunan (Bahasa Malaysia) – Tempat Keempat
2.   SK Luagan, Keningau (Bahasa Inggeris) – Johan

Sekolah Menengah
3.   SMK Tenom (Bahasa Inggeris) – Tempat Kedua
4.   SM Teknik, Keningau (Bahasa Malaysia) – Tempat Kedua

Secara keseluruhan, pencapaian ini adalah sangat memuaskan memandangkan program ini baharu sahaja diperkenalkan di mana sekolah-sekolah yang terlibat merupakan sekolah rintis pelaksanaan program PBL di peringkat Gabungan Keningau bermula pada tahun 2008.

Diucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua yang telah terlibat merancang, melaksana dan menjayakan program PBL di peringkat Gabungan Keningau 2008. Semoga program ini akan dapat dilaksanakan dengan lebih meluas di sekolah-sekolah pada masa akan datang.

Sedikit dapatan tentang Project-Based of Learning (PBL)

Seorang guru berkata kepada saya, “Saya amat risau jika pelajar-pelajar saya tidak dapat mencapai hasil pembelajaran yang dikehendaki”. Begitulah luahan hatinya sewaktu Project-Based of Learning (PBL) baru diperkenalkan.

Selepas beberapa siri pertandingan di peringkat Bahagian dan Negeri, guru berkenaan berkata lagi, “Saya benar-benar terkejut kerana pelajar-pelajar saya boleh menghasilkan sesuatu yang di luar jangkaan saya. Mereka sentiasa bersemangat dan dapat melakukan tugasan dengan baik. Mereka bukan sahaja dapat menghasilkan artifak hasil kajian secara terperinci malahan dapat pula berkongsi pengetahuan mereka melalui pembentangan menggunakan perisian komputer seperti Power Point.”

Antara maklum balas positif pelajar-pelajar terhadap PBL ialah:

  • PBL dapat melatih pelajar berkolaborasi dalam kumpulan dari awal hingga akhir PBL dilaksanakan.
  • PBL dapat melatih pelajar melakukan persediaan rapi sebelum dan selepas melakukan sesuatu kajian.
  • Melalui PBL, pelajar dapat mempelajari aspek disiplin, pengurusan diri, jadual dan kemahiran interpersonal seperti temu bual dengan pihak yang berkaitan.
  • Melalui Presentation of Learning (POL) dalam PBL, pelajar dapat mengasah kemahiran berbahasa, gaya penyampaian, mengurus dan merancang persembahan serta berkomunikasi dengan penonton.
  • PBL membolehkan pelajar memperoleh pengetahuan dan gambaran konkrit berkaitan topik yang dikaji.
  • PBL dapat melatih dan menggalakkan pelajar menggunakan pelbagai alat, perisian dan sumber pembelajaran berasaskan ICT.

..sambungan Gambar-gambar sekitar Pertandingan POL PBL Peringkat Gabungan 2008

Gambar upacara Perasmian Penangguhan Pertandingan POL PBL Gabungan Keningau 2008 yang telah disempurnakan oleh Encik Mathius Manang, Ketua Unit Kemasyarakatan, Sektor Pengurusan Akademik, PPD Gabungan Keningau, Sabah. Kelihatan Encik Junggal Sidup (berkaca mata), PTP PTPB Keningau sedang menyerahkan cenderahati kepada Encik Mathius Manang. Kelihatan juga Encik Mathius Manang sedang menyerahkan hadiah kepada peserta dari SM Tenom (bersongkok), pemenang bagi kategori Bahasa Inggeris serta gambar beberapa ahli jawatankuasa yang terlibat.

Gambar beberapa pasukan yang menyertai pertandingan POL PBL yang pertama kali diadakan di Gabungan Keningau serta gambar Encik Mathius Manang, Ketua Unit Kemasyarakatan, Sektor Pengurusan Akademik, PPD Gabungan Keningau, Sabah melawat meja-meja pameran artifak.

Ikuti maklum balas guru dan peserta tentang Project-Based Learning

 

Gambar-gambar Sekitar Pertandingan POL PBL Gabungan Keningau 2008

Peserta dan jemputan VIP yang hadir dalam Program Pertandingan POL PBL Peringkat Gabungan yang diadakan pada 27 Ogos 2008 bertempat di Dewan Masyarakat Keningau.

Gambar beberapa pasukan sedang mempersembahkan hasil kajian mereka serta peserta sedang mengemukakan soalan kepada pasukan yang membentang. Terserlah kerjasama di antara ahli pasukan untuk menjawab pertanyaan-pertanyaan yang diajukan.

Antara aspek yang dinilai dalam POL PBL ialah artifak. Artifak ialah apa sahaja bahan dokumentasi berbentuk tulisan, lakaran, gambar, klip video dan lain-lain yang dihasilkan sendiri oleh pelajar semasa melaksanakan kajian mereka.

Bersambung….

Pertandingan Presentation Of Learning Berasaskan Project-Based Learning Gabungan Keningau 2008

Pelaporan & Kertas Cadangan Pelaksanaan Program Presentatioan of Learning (POL), Project-Based Learning (PBL) Peringkat Gabungan Keningau 2008

Pengenalan
PROJECT-BASED LEARNING (PBL) merupakan salah satu teknik pengajaran dan pembelajaran yang baharu diperkenalkan. Ia adalah satu model bagi aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah yang berlainan daripada apa yang ada sekarang ini. Teknik pembelajaran PBL lebih tertumpu kepada murid, memerlukan masa untuk disiapkan, merentasi kurikulum dan kemahiran. Perkara yang lebih ketara di sini ialah ciri-ciri teknik PBL yang memerlukan murid berinteraksi dengan amalan dunia sebenar mereka. Ini memberikan peluang kepada murid untuk memahami suatu perkara. Ini merupakan ilmu pengetahuan yang sebenar. Melalui PBL, murid menjelajah pengetahuan-pengetahuan baru, membuat pertimbangan, interpretasi serta membuat sintesis kepada semua maklumat yang telah diperoleh secara bermakna.

Pertandingan POL diadakan selepas sesi PBL  yang diadakan di sekolah masing-masing. Semasa sesi POL di sekolah, murid dinilai oleh fasilitator, guru-guru lain serta murid lain. Tujuan utama POL pada tahap ini adalah untuk memperbaiki projek serta kualiti persembahan mereka. Bidang yang dinilai meliputi isi kandungan, bahasa, artifek dan juga format persembahan. Di samping itu, ia juga bertujuan untuk melaporkan hasil projek yang telah mereka usahakan.

Rasional
Iklim pembelajaran yang ada di sekolah sekarang amat rigid dan dikawal oleh jadual waktu pembelajaran. Kebanyakan masa pembelajaran pula berlaku dalam bilik darjah. Ini menyebabkan ilmu yang diperoleh oleh pelajar lebih merupakan teori sahaja. Penggunaan pendekatan secara PBL dapat merungkaikan sistem ini, bukan sahaja daripada segi masa pembelajaran tetapi juga lokasi, ilmu dan kemahiran yang diperoleh.

Objektif

  • Memperkenalkan pendekatan PBL di sekolah-sekolah.
  • Mengenal pasti halangan dan kekangan sekolah, guru dan murid dalam melaksanakan PBL.
  • Mengenal pasti pendekatan yang sesuai bagi pelaksanaan PBL di sekolah-sekolah
  • Memilih wakil Gabungan Keningau ke Pertandingan PBL Peringkat Negeri Sabah

Tarikh: 27 Ogos 2008
Masa: 7.30 pagi
Tempat: Dewan Masyarakat, Keningau

Penyertaan

BIL

SEKOLAH

TOPIK/MATA PELAJARAN

ISU/TAJUK

1

SK. Luagan, Keningau Science (Year 5) Microorganism

2

SK. Luagan, Keningau Science (Year 5) Microorganism

3

SK. Pekan Tambunan Kajian Tempatan (Tahun 5) Sejarah Melaka

4

SMK Tenom, Tenom Biodiversity (Science Form 2) The Mystery of Rafflesia

5

SMK Entabuan, Tenom Science Form 4 Talasemia

6

SMK Keningau, Keningau Chemistry Carbon and Germs

7

SMK Keningau, Keningau Physics Volcano

8

SMK. Gunsanad, Keningau Physic Form 4 Inertia And Impulsive Force

9

SM Teknik, Keningau   Daya Impuls

10

SM Teknik, Keningau Physic Form 4 Force and Prsive

 
Gambar-gambar pertandingan POL PBL Gabungan Keningau 2008

By Mzurs, 2 September 2008 

Syoknya Balik Kampung – Menjala Di Sungai

Sekali-sekala nak juga ‘escape’ dari segala kesibukan tugas-tugas di pejabat. Maklumlah…sekarang ni sudah melewati pertengahan tahun 2008, boleh dikatakan kesibukan dan bebanan minda sudah mencapai tahap yang maksimum. Oleh itu, kali ini saya kongsikan salah satu cara saya untuk mengurangkan sedikit tekanan itu.. iaitu aktiviti menjala ikan di sungai. Aktiviti ini juga amat saya gemari sejak dari kecil lagi.. maklum saja, lahir dan dibesarkan di kampung. Sekarang ini, apabila balik kampung saja pasti aktiviti ini awal-awal lagi sudah dicatat dalam ‘aturcara’ utama. Apabila turun ke sungai untuk menjala, biasanya kami pergi beramai-ramai bersama saudara mara terdekat. Orang tua-tua biasanya tidak menggalakkan pergi beramai-ramai. Lebih baik pergi seorang atau dua orang. Alasannya, kalau ramai-ramai nanti ikan lari (bersembunyi) sebab sensitif dengan bunyi bising. Bagi saya tujuan utama bukanlah menangkap ikan, tapi serampang ‘banyak mata’. Ringkasnya…merehatkan fikiran, ada unsur-unsur nostalgia, melihat keindahan alam ciptaan Tuhan, bersantai-santai di sungai sambil-sambil merapatkan lagi hubungan dengan saudara mara dan anak serta anak-anak buah dan baaanyak lagi.

Menjala ikan atau ‘mogundaloh’ mengikut bahasa tempatan (Bahasa Dusun) menggunakan sejenis alat yang dinamakan ‘tundaloh’ atau jala. Tundaloh ditebarkan menggunakan kedua-dua belah tangan. Ia memerlukan sedikit kemahiran. Tebaran yang bagus berbentuk O (Bulat). Kalau kurang mahir, tebaran yang terhasil akan berbentuk 8 (Lapan)… (he..he.. ini istilah kami), maksudnya alamat tak dapat ikan la.. Lokasi sungai yang dijala pula ada tempat-tempatnya, bukan sebarang lempar saja, bergantung kepada jenis dan aliran sungai serta jenis ikan. Memandangkan sungai di kampung saya berbatu-batu dan alirannya agak deras (walaupun sungainya kecil), lokasi yang dijala ialah kawasan air tenang yang terlindung daripada aliran deras air kerana di sinilah tempatnya ikan kelah bermain-main. Kalau inginkan ikan ‘rokot’ (sejenis ikan yang melekat di batu), ‘manahu’ (serawi), ‘sopong’ dll, itu lempar sembarang saja. Maaflah…nama ikan dalam BM dan saintifiknya saya kurang tahu.

Salah satu alat yang digunakan secara tradisi untuk menangkap ikan di kampung saya ialah ‘siud’ atau sawak. Saya amat seronok apabila menggunakan alat ini. Terdapat tiga cara menggunakannya. Pertama, menggunakan bantuan aliran deras air sungai. Cara ini, ‘Siud’ diletakkan di bawah batuan yang dipercayai ada ikan. Apabila batu diubah kedudukannya, ikan akan dihanyutkan oleh aliran deras air sungai masuk ke ‘siud’. Kedua, memerlukan dua tenaga manusia. Seorang perlu memegang ‘siud’, manakal seorang lagi akan mengangkat batu yang mengandungi ikan, biasanya ‘rokot’ yang suka melekatkan dirinya di batu. ‘Siud’ mesti diletakkan serta-merta di bawah batu yang di angkat tadi. Ikan ‘rokot’ akan jatuh ke dalam ‘siud’. Ketiga, ‘siud’ disorong terus ke depan, kemudian diangkat berulang-ulang untuk mendapatkan ikannya. Macam mana.. seronok?

Sehari suntuk menjala ikan amatlah memenatkan.. kini tiba masa pula untuk menjamu selera. Bekalan nasi dibawa dari rumah. Sayur-sayuran tidaklah perlu sangat apabila ‘berkelah’ ke sungai. Tapi ‘wajib’ bawa garam dan lada padi. Beberapa ekor ikan yang dijala atau di’siud’ dibakar. Lepas tu makanlah ramai-ramai… Pernah suatu ketika dahulu masak nasi menggunakan buluh…amboi seronoknya tak terkata makan di tepi sungai… yang pasti… dan sememangnya amat menyeronokkan, ikatan antara keluarga semakin erat, hilang seketika tekanan…dan esok bertambah kuat semula untuk menghadapi tugas-tugas sebagai seorang kakitangan kerajaan.

Nikmatilah keseronokan saya…

Gambar-gambar ini diambil oleh adik saya Marudiah @ Boyod.

Menumpang teduh, dahaga kasih di Asrama Desa, SK Logongon, Nabawan

Orang kata, jauh perjalanan luas pemandangan. Demikianlah yang turut saya alami. Semalam, 21 Julai 2008 bersamaan hari Isnin, saya berpeluang sekali lagi menjejakkan kaki ke SK Logongon, Nabawan. Ke sekolah ini entah yang ke berapa kali. Kebetulan kerana ditugaskan mengambil gambar sempena lawatan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia ke SK Menawo, Keningau, SK Logongon, SK Babalitan, SMK Sepulot dan SK Salarom, Nabawan, Pensiangan. Satu-satunya cara untuk sampai cepat ke sekolah ini ialah dengan menggunakan bot mengikut laluan sungai dari Kuala Salong. Jalan darat juga boleh digunakan tetapi mengambil masa selama 5 jam perjalanan dari Pekan Nabawan.  Ketika kaki melangkah ke dalam bilik Asrama Desa SK Logongon, Nabawan, tiba-tiba saya ternampak kelibat seorang kanak-kanak yang bertubuh kecil. Mulanya saya jangkakan kanak-kanak itu dari sekitar kampung ini yang keluar masuk di asrama untuk mencari kawan sepermainan. Jangkaan saya ternyata meleset apabila rakan-rakannya mengatakan kanak-kanak itu adalah pelajar tahun 1 dan tinggal di asrama. Saya mula mengalihkan perhatian kepada kanak-kanak itu dan beberapa orang kanak-kanak yang sebaya dengannya. Pada masa yang sama, saya mula terhidu bau hamis dan hancing. Hati saya sedikit pilu mengenangkan kanak-kanak tersebut. Dalam usia semuda itu, bagaimanakah agaknya mereka menguruskan diri semasa tinggal jauh dari keluarga. Di antara ramai, saya berkenalan dengan seorang penguni asrama bernama Jarius Imot, 7 tahun, berasal dari Kg. Lumpagas, Nabawan, Pensiangan, Sabah. Menurut rakan-rakannya, untuk ke kampungnya mengambil masa selama 2 jam perjalanan menggunakan bot memudiki sungai Salong, melewati SK Babalitan, Nabawan. Menurut adik Jarius, di asrama desa ini dia terpaksa menguruskan dirinya sendiri seperti mandi, mencuci pakaian, mengemas tempat tidur dan lain-lain. Agak menyedihkan kerana pada masa pertemuan itu dan dengan sedikit ujian, adik Jarius masih belum boleh membaca. Apabila ditanya tentang cita-cita, dengan syor rakan-rakan yang berada di sekelilingnya, adik Jarius dengan nada tegas mengatakan ingin menjadi seorang anggota Polis. Katanya lagi, dia suka tinggal di asrama kerana makan minum disediakan mencukupi. Buat adik Jarius dan rakan-rakannya di Asrama Desa, SK Logongon, Nabawan, semoga anda semua berjaya dalam apa juga bidang yang diceburi.


 Gambar: Adik Jarius Imot (atas) bersama rakan-rakan di Asrama Desa, SK Logongon, Nabawan, Sabah.

 

Peta Lokasi Sekolah-sekolah Daerah Nabawan, Tenom, Tambunan dan Keningau, Sabah

Jika anda merasakan peta ini berguna untuk anda, sila download di sini. Saya telah berusaha sebaik mungkin untuk merekaletak peta tersebut. Namun jika ada lokasi sekolah yang salah saya mohon maaf. Ini disebabkan peta asal yang menjadi panduan saya amat tidak jelas. Sila maklumkan kepada saya kesalahan tersebut melalui email.

Format gambar yang disertakan tidak sesuai untuk cetakan. Jika anda memerlukan format yang lebih besar, sila email saya di mzurs006@yahoo.com.

Terima kasih.

Dari Celah Jendela… Jendela Hidup

Sebuah peristiwa yang pernah saya rakamkan pada 10 Jun 2008. Gambar ini saya ambil ketika berpeluang melawat ke Pensiangan, salah sebuah penempatan kecil yang suatu ketika dahulu menjadi pusat pentadbiran Daerah Nabawan.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Melihat kehidupan orang lain memberi banyak pengalaman dan pengajaran kepada saya. Misalnya gambar kanak-kanak ini, melihat dari dalam rumahnya melalui celahan jendela… jendela usang yang memperlihatkan kehidupan yang mempunyai makna tersendiri buat kanak-kanak tersebut.

Maklumbalas Awal Program PBL Gabungan Keningau 2008

Maklumbalas positif diterima melalui taklimat dan bengkel program PBL yang telah pun didedahkan kepada Pengetua, Guru Besar, Penolong Kanan serta guru-guru mata pelajaran sekolah rendah dan menengah pada 25 Jun 2008. Salah seorang pesertanya En. Sunthararajoo A/L Rengasamy, Pengetua SMK Entabun, Tenom menyatakan bahawa PBL merupakan satu pendekatan P&P yang sangat baik dan perlu didedahkan kepada pelajar. Menurutnya, konsep pembelajaran melalui PBL adalah amat luas serta menyeluruh yang perlu diketahui dan disebarluas kepada warga pendidik.

Turut hadir dalam program tersebut ialah:

  • En. Sidek Muhammad, Pengetua SMK Gunsanad, Keningau
  • Pn. Sainis Gosis, Wakil Pengetua SMK Keningau, Keningau
  • En. Samion Amin, Guru Besar SK Luagan, Keningau
  • En. Nordin Zaini, Guru Besar SK Pekan Tambunan, Tambunan
  • En. Zulkifle Supar, Guru Besar SK Pekan Nabawan, Nabawan
  • En. Ahmat Marsidi, PK 1 SK Pasir Puteh, Keningau
  • 31 orang guru mata pelajaran dari 16 buah SK dan SM Gabungan Keningau

 

Bengkel Project Based-Learning Peringkat Gabungan Keningau 2008

Mesyuarat penyelarasan dan bengkel PBL peringkat Gabungan Keningau telah diadakan pada 25 Jun 2008 (Rabu) di Bilik Pegalan, PKG Daerah Keningau. Program ini telah dihadiri oleh 38 orang peserta yang terdiri daripada Pengetua, Penolong Kanan SM, Guru Besar dan guru-guru dari 16 buah sekolah rendah dan menengah Gabungan Keningau.

Pengisian program:

1. Latar Belakang PBL dan peranan PBL

2. Konsep PBL 

3. Kenapa Perlu PBL?

4. Tatacara Pelaksanaan PBL

5. Pembinaan Soalan Kurikulum

6. Pembinaan Rubrik

7. Artifek

8. Presentation of Learning – POL

9. Bengkel dan pembentangan Unit Plan

Penceramah/Fasilitator: PTP PTPB Keningau, PTP PKG Daerah Keningau, Nabawan, Tambunan dan Tenom.

 

Terima kasih di atas penglibatan semua.

 

Isu dan Masalah Yang Dihadapi GPM/GPSS Daerah Keningau

Maklumbalas isu dan masalah ini telah diterima daripada Guru Perpustakaan dan Media (GPM) dan Guru Pusat Sumber Sekolah (GPSS) semasa Bengkel Pengurusan Pusat Sumber Sekolah peringkat Daerah Keningau pada 16 – 19 Jun 2008 yang lalu. Isu dan masalah tersebut ialah:

 

1. Waktu mengajar GPSS (Lantikan sekolah) amat banyak sehingga boleh menjejaskan pengurusan PSS.

 

2. Status GPM (Lantikan JPN) – tidak ada keistimewaan, sedangkan beban tugas terlalu banyak. Contohnya, GPM bertugas mengikut masa pejabat jika sekolah dua sesi dan turut memegang tugas penting yang lain seperti guru data, PPSMI dll. Cadangan: perlu dinaik taraf seperti guru mata pelajaran kritikal yang lain (elaun) dan cadangan agar pembantu Pusat Sumber (Kerani PSS) dilantik bertugas di sekolah.

 

3. Bilik khas PSS tidak ada atau bilik PSS pelbagai guna (stor, bilik SPBT, bilik komputer, bilik Kemahiran Hidup). Keadaan ini biasanya berlaku di SKM.

 

4. Sebilangan besar peserta menyatakan bahawa pentadbir sekolah kurang memberi perhatian terhadap aktiviti dan fungsi PSS. Tumpuan hanya diberi kepada program lain yang dianggap lebih besar seperti PPSMI, kurikulum, kokurikulum dan lain-lain. Cadangan: memberikan seminar kepada Pengetua/GB agar mereka lebih memahami dan lebih memberi perhatian kepada aktiviti PSS.

 

5. Masalah bekalan tenaga elektrik/genset. Terdapat beberapa buah sekolah yang menghadapi masalah bekalan tenaga elektrik (SESB) yang tidak mencukupi (1 phases). Apabila suis dibuka, suis utama akan ‘tendang’. Ini menyebabkan tidak semua peralatan elektronik yang terdapat di sekolah dapat digunakan, termasuk di PSS. Bagi genset pula, sering menghadapi masalah bekalan minyak, kerosakan genset atau kerosakan peralatan elektronik disebabkan arus kuasa genset yang tidak stabil. Cadangan: Semua sekolah yang yang mendapat bekalan elektrik SESB di ’upgrade’  dari 1 phases ke 3 phases.

 

Komen anda…?

 

Bengkel PSS Daerah Keningau 2008

Tarikh: 16 – 17 Jun 2008 (Kumpulan 1 = 42 buah sekolah), 18 – 19 Jun 2008 (Kumpulan 2 = 41 buah sekolah)

Tempat: PKG Daerah Keningau

Pengisian Bengkel:

1. Pengurusan PSS

2. Literasi Maklumat

3. Fail Kuasa PSS

4. Project Based-Learning (PBL)

5. Pengkelasan dan Proses Teknik

6. Program NILAM

7. Bengkel Pelan Tindakan PSS dan NILAM

8. Isu dan masalah PSS di sekolah

En. Abd Wahip Munchi, PTP PKG Tenom sedang mengendalikan sesi bengkel.

 

Cikgu Hazlawati khusyuk mendengar sesi perkongsian Pengurusan PSS.

 

Sebahagian peserta bengkel Kumpulan 1

   

Sesi penutup oleh En. Junggal Sidup, PTP PTPB Keningau

 

   

En. Rafian Yahya, PTP PKG Tenom bersama peserta bengkel Kumpulan 2

 

Wajahku letih.. namun amat berpuas hati dengan kerjasama dan penglibatan peserta.

 

 Sdra Phillip Gudaru, PTP PKG Tambunan turut membantu saya.

 

Percambahan minda melalui aktiviti perbincangan dalam kumpulan.

 

 

Terima kasih kepada semua peserta bengkel Pengurusan PSS Daerah Keningau, 2008.