About mzurs006

Salam perkenalan dari saya. Saya seorang guru dan kini bertugas sebagai Pegawai Teknologi Pendidikan, di PKG. Keningau, Sabah. Saya amat berminat berkaitan hal-hal pendidikan. Seboleh mungkin, saya akan cuba membantu meningkatkan mutu pendidikan di tempat saya mengikut kemampuan yang ada. Salah satu caranya ialah melalui webblog ini. Semoga blog ini akan bermanfaat kepada warga pendidik khususnya di Pedalaman Sabah.

Peranan Pusat Sumber Sekolah di Dalam KSSR

Persoalan dikemukakan oleh rakan saya, salah seorang Guru Perpustakaan dan Media (GPM) di daerah Keningau. Kekeliruannya timbul apabila terdapat guru yang mengatakan waktu penggunaan (jadual) Pusat Sumber Sekolah (PSS) berubah berikutan pelaksanaan KSSR yang akan bermula awal tahun 2012.

Jawapan saya ialah:
1. Saya telah meneliti kesemua dokumen dasar pelaksanaan (konsep dan pekeliling) KSSR. Saya dapati, tidak ada satupun perkara yang menyebut secara langsung tentang PSS apatah lagi kenyataan perubahan penggunaan atau fungsi PSS.

2. Oleh itu, pelaksanaan dasar KSSR tidak mengubah fungsi dan perananan PSS.

Kesimpulan:
PSS harus berfungsi menyediakan sumber rujukan pembelajaran secara terancang dan berterusan kepada komuniti sekolah seperti biasa. GPM/GPSS juga boleh menyusun jadual penggunaan PSS seperti biasa berdasarkan jadual waktu induk sekolah dan setelah dibincang serta dipersetujui bersama di dalam mesyuarat AJK Kurikulum atau PSS di sekolah.

Cadangan:
GPM/GPB (melalui persetujuan AJK Kurikulum/PSS) perlu menyusun jadual penggunaan dan menyediakan sumber rujukan pembelajaran berdasarkan kepada modul-modul teras asas, teras tema dan elektif di dalam KSSR.

p/s: Mohon pandangan dan pendapat dari yang lebih arif.

NextGen eContent

Laman  TREE yang boleh dicapai di alamat http://www.tree.com.my/ merupakan satu ruang bagi guru-guru berkolaborasi, berkongsi idea dan ilmu tentang pendidikan. Ia juga merupakan satu komuniti pendidikan yang berfungsi untuk  memartabatkan profesion pendidikan. Laman ini juga mempunyai bahan-bahan untuk pendidikan. Ini termasuklah bahan tutorial, Rancangan Pengajaran Harian, bahan bantu belajar, lagu-lagu dan pelbagai lagi.

Kemeriahan Majlis Tilawah Al-Quran Kanak-Kanak PDRM Keningau 2011

Buat julung kalinya Majlis Ujian Tilawah kanak-kanak anggota dan kakitangan awam PDRM Daerah Keningau telah diadakan. Majlis berlangsung pada 18 November 2011, selepas sembahyang Maghrib di perkarangan surau Nur Iman, Kompleks Polis Keningau. Ujian tilawah terbahagi kepada dua kategori iaitu lelaki dan perempuan 12 tahun ke bawah.

Majlis tersebut dihadiri oleh Tuan Zahari Mohammed, Ketua Polis, Daerah Keningau.

 

Barisan juri terdiri daripada Ust Ghazali, Ust Syukur dan Ust Haripuddin.

 

Selesai ujian tilawah, majlis telah diserikan dengan dua persembahan kumpulan nasyid iaitu anak-anak dan anggota Polis.

 

Di dalam ucapannya Tuan Zahari menjelaskan tujuan majlis tersebut adalah untuk menguji sejauh mana pencapaian pendidikan agama, khususnya pendidikan Al-Quran dipelajari olah anak-anak, di samping dapat beramah mesra di kalangan anggota. Beliau seterusnya menyeru setiap anggota Polis dapat menitik beratkan pembelajaran Al-Quran di kalangan ahli keluarga.

Tahniah kepada semua peserta yang menyertai ujian tilawah tersebut.

Tahniah juga kepada adik Farihah Mustafa kerana berjaya menjadi johan kategori perempuan.

Perhatikan gelagat anak-anak warga polis semasa majlis ujian tilawah berlangsung.

Akhir sekali, tahniah kepada semua yang telah menjayakan program murni ini.

Sekitar Bengkel Mengoptimum dan Pengintegrasian TMK dalam P&P Zon Pedalaman

Bengkel yang berlangsung di Hotel Perkasa, Keningau dari 14 – 16 November 2011 ini dianjurkan oleh Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Sabah. Seramai 75 orang Guru Penyelaras Bestari, Guru ICT, Guru Perpustakaan dan Media dan Guru Pusat Sumber Sekolah dari Zon Pedalaman (Tambunan, Tenom, Nabawan dan Keningau) terlibat di dalam bengkel ini.

Penceramah terdiri daripada En. Samion Salleh, Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Sumber Pendidikan, BTPN Sabah, En. Suhaili Hj Ahmad, Penolong Pengarah, Unit Pengurusan PTPB/PKG, BTPN Sabah, En. Azhar Ballon, PTP BTPN Sabah, En. Aidey Duli, PTP BTPN Sabah dan En. Mustafa Malisin, PTP PKG Keningau.

Urusetia bengkel diketuai oleh Cikgu Syamsiah Angkaus, PTP PTPB Keningau, dibantu oleh En Mildred Bianus (PKG Tenom) dan Pn Amsiah (PKG Keningau)

Pelancaran KM1M Daerah Keningau 2011

“Terdapat terlalu banyak harta di dalam buku berbanding belahan samudera yang di dalamnya terdapat pulau harta”.

“Membaca memberikan wawasan dan pengetahuan yang berguna. Seperti fizikal yang perlu diberi makanan, demikian juga minda kita. Membaca merupakan salah satu makanan terbaik untuk minda”.

Saya pernah mendengar ungkapan yang menyatakan, “Jjika kita bertemu rakan yang telah lama terpisah, biasanya perubahan yang terjadi terhadap orang tersebut adalah disebabkan oleh 3 faktor. Pertama, pengalaman hidup yang dilalui; kedua, persekitarannya; dan terakhir, buku-buku yang dibacanya”.

Program KM1M
Pada 2 November 2011 (Rabu) yang lalu, tepat jam 9.30 pagi merupakan detik bersejarah apabila program Program READ2011 sempena Kem Membaca 1Malaysia (KM1M) berlangsung serentak di pelbagai peringkat sekolah seluruh negara. Daerah Keningau tidak terkecuali melaksanakan program murni tersebut. Dewan SMK Keningau II, Keningau sekali lagi menjadi venue utama pelancaran di peringkat daerah. Saya amat teruja apabila dapat merasakan sendiri suasana senyap para guru dan pelajar bersama-sama melakukan pembacaan serentak. Keterujaan saya bertambah-tambah kerana melihat sambutan dan kesungguhan yang begitu terserlah setiap guru dan pelajar serta terlibat secara langsung menyelaras program ini dari awal hingga akhir bersama dengan rakan-rakan guru dari SMK Keningau II, Keningau.

Di samping aktiviti READ2011, iaitu membaca buku berbahasa Inggeris selama 33 minit 31 saat (bersamaan 2011 minit), terdapat aktiviti sampingan telah diadakan. Di antaranya ialah persembahan puisi oleh tuan pengetua SMK Keningau II, ulasan buku dan bercerita dalam 4 bahasa iaitu dalam Bahasa Cina, Bahasa Malaysia, Bahasa Kadazan Dusun dan Bahasa Inggeris oleh pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah, serta persembahan puisi dan lagu oleh pelajar-pelajar SMK Keningau II. KM1M turut diserikan dengan ulasan 2 buah buku oleh Pn. Betty Leong, Timbalan PPD Daerah keningau, semasa ucapan pelancaran.

Di sepanjang perjalanan program, cacat cela sememangnya tidak dapat dielakkan. Namun, itu semua perlulah diambil secara positif untuk penambahbaikan pada masa akan datang.

Akhirnya, setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih saya kalungkan kepada seluruh warga SMK Keningau II, Keningau di atas semangat dan kerjasama yang telah diberikan. Kalungan penghargaan dan terima kasih turut saya sampaikan kepada Ketua Perpustakaan Wialayah Keningau dan pegawai-pegawainya di atas bantuan pinjaman buku berbahasa Inggeris untuk kegunaan program tersebut. Sekian.

Kenapa tidak suka membaca?

“Buku adalah gudang ilmu sedangkan membaca adalah kuncinya”. Ungkapan tersebut bermaksud, untuk memperoleh ilmu dari buku, hanya melalui satu-satunya cara iaitu dengan membaca. Tidak mungkin buku yang kita peroleh di pusat sumber sekolah, perpustakaan daerah atau di rumah mampu secara otomatik memindahkan ilmu kepada kita tanpa membacanya.

Para guru di sekolah selalu memberi motivasi kepada pelajarnya dengan mengatakan bahawa sesiapa yang banyak membaca buku maka orang itu akan menguasai dunia. Memang demikian itulah kenyataan. Pada masa ini, negara-negara maju di dunia  adalah negara-negara di mana rakyatnya gemar membaca buku.

Ramai di kalangan kita mengakui, membaca buku bukan suatu hal yang disukai dan digemari. Apatah lagi buku-buku yang akan dibaca itu adalah buku-buku tebal dan penuh dengan teori-teori yang sukar difahami. Kecuali buku-buku seperti novel dan sejenisnya serta buku panduan praktikal dan dinamik berkaitan kehidupan seharian yang tidak rumit seperti majalah. Oleh sebab itu, majalah khususnya majalah hiburan menjadi bacaan yang paling digemari. Selain praktikal,  kedua media tersebut menyajikan informasi menarik termasuk perkembangan ilmu pengetahuan terkini.

Kenyataan itu, bukan hanya di kalangan yang sudah habis belajar saja tetapi bagi mereka sedang mengikuti kuliah sering merasakan seperti itu. Cuba tanya setiap mahasiswa kita, berapa banyakkah buku yang selesai dibaca sepanjang kuliah satu semester. Jawapannya pasti, banyak yang mengatakan tidak ada satupun buku yang habis dibaca secara tuntas.

Tidak diketahui apakah hal ini juga berlaku di negara-negara lain? Atau sememangnya ini berkait rapat dengan pengaruh oleh budaya kita sendiri?

Persoalan tabiat suka atau tidak suka membaca lebih merupakan hal individu itu sendiri. Apabila seseorang itu suka dan seronok membaca, ke manapun dia pergi, membaca tetap tidak membosankan malahan menjadi hobi bagi dirinya.

Kenapa kita tidak suka membaca buku? Mungkin salah satu jawapannya ialah anggapan bahawa manfaat secara langsung dari buku yang dibaca tidak banyak atau tidak ada langsung. Dengan kata lain, pengetahuan yang diperoleh itu tidak boleh digunakan dalam kegiatan atau aktiviti seharian. Ada pula yang merasakan membaca atau tidak, keadaannya tetap seperti itu.

Kemungkinan penyebabnya ialah, kerana kita hanya sekadar membaca tetapi tidak mampu mencerna isi kandungan buku yang sudah dibaca. Mungkin juga kerana kebanyakan kita membaca hanya ikut-ikutan sehingga tidak fokus. Akibatnya, masa terbuang begitu sahaja tanpa mengetahui apa yang telah dibaca sehingga merasa apa yang telah dilakukan tidak bermanfaat sama sekali.

Penyebab lain ialah faktor budaya atau kebiasaan orang-orang kita. Mungkin rakyat Jepun atau negara-negara maju lain, tidak begitu aneh apabila dilihat sentiasa berkepit dan membaca buku samada perhentian bas atau di tempat-tempat terbuka. Disebabkan masyarakat kita tidak terbiasa dengan budaya seperti itu, kita merasa aneh dan janggal malahan menyindir atau memperli.

Namun demikian, kita tidak perlu bersikap pesimis, sebaliknya optimis dan yakin pasti suatu ketika nanti semuanya akan berubah. Hanya masa sahaja yang menentukan bilakah perubahan itu berlaku. Adalah lebih baik kita membuka langkah bermula dengan diri kita sendiri.  Sebab, hanya dengan membaca akan mampu merubah dunia, paling kurang  merubah perilaku diri kita sendiri.

Yang mana satu penulis asal?

Menulis artikel sesuatu yang meletihkan minda. Tumpuan harus diberi terhadap isu atau mesej yang hendak disampaikan. Mesej harus pula diolah menggunakan ayat-ayat yang mudah difahami. Artikel akan lebih menarik jika penulis mahir dan bijak menggunakan perkataan-perkataan serta lenggok bahasa yang tersusun indah.

Ada ketika, sesuatu artikel mengambil masa begitu lama untuk disiapkan dan diterbitkan hanya kerana memikirkan perkara-perkara di atas. Ringkasnya, memerah otak menghasilkan karya bukan sesuatu tugas yang mudah. Kadangkala, disebabkan kesukaran itu, jalan mudah diambil. Mencedok bulat-bulat karya dan hasil tulisan orang lain. Mungkin ditambah dan diubahsuai  sedikit agar kelihatan lebih menarik. Saya turut tidak terkecuali sedemikian. Namun saya tetap akan menghormati penulis asal artikel berkenaan dengan memohon keizinan terlebih dahulu atau menyatakan dengan jelas nama pengkarya atau sumber asal artikel tersebut.

Saya bukanlah penulis yang berkemahiran tinggi. Namun saya berasa sangat bangga dan teruja jika ada orang lain yang sanggup menggunakan tulisan saya walau tidak sebaik mana.

Sila baca artikel berkenaan pengalaman saya di sini.

Dan sila baca artikel bertajuk sama di sini.

Mengambil kata-kata seorang blogger dan wartawan terkenal tanahair. “Rasanya, nukilan dipaparkan terbabit dicetak semula dari blog ini tetapi kelihatan bak dihasilkan oleh penulis lain. Keliru.” Nukilan Mazidul Akmal Sidik. Baca artikel berkaitan di blog beliau di sini.

Guru perlu hadir awal ke sekolah

Sumber: Akhbar Utusan (23 Mei 2011)

PENSIANGAN 22 Mei – Semua guru di negeri ini perlu memastikan kehadiran awal mereka pada setiap sesi persekolahan sama ada di bandar ataupun di luar bandar.

Pengarah Jabatan Pelajaran Sabah, Datuk Dr. Muhiddin Yusin berkata, langkah itu penting bagi melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran pada setiap sesi persekolahan.

“Guru-guru perlu memastikan kehadiran mereka lebih awal di sekolah kerana mereka adalah fasilitator atau pemudah cara kepada pelajar.

“Kehadiran awal guru ini amat penting dalam memastikan pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Hari Bertemu Pelanggan Jabatan Pelajaran Negeri di Dewan Serbaguna Nabawan, di sini semalam.

Turut hadir, Pegawai Pelajaran Daerah, Osman Aganduk.

Menurutnya, komitmen tinggi guru amat penting dalam usaha melahirkan pelajar yang berkualiti dan cemerlang.

Jelasnya, selain kehadiran murid di sekolah, kehadiran guru pada setiap sesi persekolahan merupakan komponen penting bagi memperkasakan pendidikan negeri.

“Ini kerana jika murid hadir tetapi guru tidak hadir sudah tentu proses pengajaran dan pembelajaran tidak dapat berjalan dengan baik,” katanya.

Dalam pada itu Muhiddin mengingatkan para guru dan kakitangan sokongan sekolah supaya tidak mengamalkan sikap menangguh kerja.

“Amalan ini menyebabkan banyak kerja atau tugasan tertangguh dan tidak boleh diselesaikan dalam tempoh yang dikehendaki,” ujarnya.

Aktiviti Membaca: Perubahan Positif Rakyat Malaysia

Oleh UMAVATHI RAMAYAH
uma.ramayah@utusan.com.my

membacaKUALA LUMPUR 18 Mei – Tabiat membaca di kalangan rakyat Malaysia menyaksikan perubahan positif apabila kajian oleh Perpustakaan Negara pada tahun lalu mendapati purata setiap rakyat membaca lapan hingga 12 naskhah buku setahun.

Ia merupakan satu peningkatan agak membanggakan berbanding kajian pada 2005 yang mendedahkan rakyat kita hanya membaca dua naskhah buku setahun.

Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr. Noorul Ainur Mohd. Nur berkata, justeru itu, langkah-langkah bersepadu perlu dipertingkatkan lagi bagi menyuburkan tabiat dan semangat cintakan buku di kalangan rakyat Malaysia.

Beliau turut menggesa pihak berkaitan menggunakan segala ruang dan peluang yang ada bagi menarik minat lebih ramai rakyat untuk membaca selain meneroka pendekatan-pendekatan serta gaya hidup baru yang boleh dijadikan sebagai pemangkin budaya membaca.

“Kita tidak seharusnya terhad kepada bahan bacaan berbentuk konvensional tetapi perlu juga menerokai, mengenal pasti dan mengambil kira bentuk bacaan yang disukai ramai,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Buku Sedunia kementerian berkenaan, di sini hari ini.

Sambutan bertemakan Jom Kembalikan Budaya Membaca itu turut menyaksikan penglibatan pelajar Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Kemas kementerian berkenaan.

Antara aktiviti yang diadakan adalah termasuk pertandingan bercerita, membaca, persembahan boneka, pameran dan jualan buku.

Noorul Ainur menambah, usaha menyemarakkan budaya membaca perlu dipertingkatkan terutama dengan kewujudan dan perkembangan infrastruktur digital dan teknologi maklumat yang menyaksikan rakyat, terutamanya generasi muda selesa melayari Internet.

Menurutnya, pembinaan masyarakat yang kaya dengan nilai-nilai intelek, sahsiah dan peradaban adalah ditentukan oleh tahap pencapaian ilmu masyarakat itu sendiri kerana sesebuah masyarakat yang miskin ilmu tidak mungkin akan kaya tamadunnya

Minat Membaca Harus Mula Sejak Bayi: Siti Hasfizza Aswaty Sab Jahan – Selebriti

Sumber: Berita Harian Online – 24 April 2011

Siti Hasfizza Aswaty Sab Jahan

Siti Hasfizza Aswaty Sab Jahan

Ibu bapa, keluarga berperanan dekatkan anak dengan buku
BENARKAH wanita lebih suka membaca berbanding lelaki? Persoalan ini seperti yang dipaparkan dalam artikel yang disiarkan Berita Harian, Isnin lalu, menarik perhatian untuk dibincangkan dalam konteks lebih menyeluruh, iaitu kesedaran membaca di kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira gender.

Sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2011 mulai sekarang hingga 1 Mei ini, wartawan Berita Minggu, Zul Husni Abdul Hamid mendapatkan pandangan pengacara Wanita Hari Ini, Siti Hasfizza Aswaty Sab Jahan mengenai tabiat membaca di kalangan generasi muda dan kaedah terbaik memupuk amalan baik ini.

Anda dikenali sebagai ulat buku. Berdasarkan pengalaman anda, bagaimana minat membaca ini dipupuk dari kecil?
Saya berterima kasih kepada ibu saudara dan kakak yang banyak mempengaruhi minat saya dalam membaca. Ibu saudara mendapat pendidikan di luar negara, jadi pengaruh serta budaya membaca yang sebati dengan masyarakat di sana cuba diterapkan kepada kami anak saudaranya.

Dulu ketika dia menuntut di Amerika Syarikat, saban bulan pasti akan ada kiriman buku daripadanya. Tarikan yang ada dalam buku kanak-kanak itu membuatkan saya mula terpengaruh dan mendekati bahan bacaan. Mungkin dulu kami tidak punya banyak pilihan hiburan seperti kanak-kanak hari ini, justeru, buku menjadi satu-satunya pendekatan untuk melepaskan tekanan selepas bertungkus lumus dengan pelajaran.

Minat itu berkekalan sehingga hari ini. Cuma dulu saya lebih selesa dengan bahan bacaan ringan seperti komik dan novel remaja, hari ini saya memilih novel berat serta serius. Tuntutan kerjaya sebagai pengacara juga memerlukan saya banyak membaca supaya tidak nampak kaku atau kurang pengetahuan di kaca televisyen. Tanpa membaca, sukar untuk saya mempertingkatkan penguasaan bahasa yang turut menjadi asas penting kepada seseorang pengacara.

Mengapa anda suka membaca dan apa kelebihannya jika kita suka membaca?
Membaca tanpa dipaksa akan menggerakkan minda kita supaya berfikir dan berimaginasi, malah mencerna pemikiran untuk menjadi lebih kreatif. Membaca sebenarnya membantu mempertingkatkan perbendaharaan kata, sekali gus mendorong saya untuk memantapkan penguasaan bahasa dalam kerjaya sehari-hari.

Tugas sebagai pengacara menuntut saya supaya menjadikan buku atau apa saja bahan bacaan berkaitan sebagai kawan baik. Jika tidak cukup persediaan dengan membaca, sukar untuk seseorang pengacara itu menyalurkan maklumat dengan berkesan. Bahan bacaan hari ini semakin mudah dicapai, malah semuanya berada di hujung jari. Teknologi memudahkan hidup tetapi saya senang dengan bahan bacaan konvensional. Mungkin kerana sudah terbiasa, saya amalkan membeli sekurang-kurangnya sebuah buku sebulan. Ia sudah menjadi amalan biasa di kalangan kami ahli keluarga.

Rata-rata generasi muda di negara ini tidak berminat membaca. Mengapa ini berlaku? Apakah sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan menjadi punca keadaan ini?
Persekitaran hidup manusia hari ini sudah berubah. Dulu kita cuma bergantung kepada televisyen dan radio, selain akhbar, majalah atau buku untuk mendapatkan sumber ilmu. Tetapi hari ini media baru semakin agresif mengambil alih peranan itu. Saya tidak nafikan pengaruh televisyen dalam menyalurkan ilmu dan pengetahuan kepada penonton.

Namun, satu persoalan yang sering bertandang di minda saya, apakah mesej yang disampaikan itu akan berkekalan untuk tempoh waktu lama? Menonton memerlukan fokus yang tinggi, sedangkan membaca boleh dilakukan berulang kali. Mahu atau tidak kita perlu membaca. Televisyen memberikan impak yang besar kepada kanak-kanak jika mereka kurang membaca. Contohnya dari segi penguasaan bahasa.

Mengapa hari ini ramai kanak-kanak menulis menggunakan bahasa pasar sedangkan bahasa Melayu itu indah jika diperhalusi setiap perkataan dan maknanya. Perkara itu berlaku kerana mereka kurang membaca. Kemajuan internet sewajarnya menjadi penggerak supaya budaya membaca dipupuk semula. Malangnya, kebanyakan ibu bapa memberi kebebasan penuh kepada anak untuk memilih apa keperluan mereka tanpa diawasi. Jangan jadikan anak sebagai korban kerana kealpaan kita akan mewujudkan bangsa yang kurang berdaya saing dan lemah menguasai cabang ilmu berkaitan.

Bagaimana hendak menggalakkan generasi muda mendekati buku atau sebarang penulisan biar dalam bentuk apa pun?
Tabiat membaca harus bermula dari kecil. Kalau di Barat, sejak bayi lagi anak-anak sudah didekatkan dengan buku. Apabila meningkat dewasa, mereka tidak janggal mengepit buku kerana perkara itu sudah sebati dalam diri. Sebelum anak melelapkan mata, bacakan buku cerita kerana pendidikan itu bermula dari rumah.

Saya hairan mengapa sesetengah pihak sewenang-wenangnya menyalahkan sistem pendidikan sedangkan semua elemen positif harus diterapkan bermula di rumah.

Terapkan supaya tabiat itu menjadi sebahagian daripada keperluan diri. Mulakan walaupun hanya selembar sehari kerana lama-kelamaan tabiat membaca akan menjadi sebahagian daripada diri kita.

Membaca Ciri Negara Maju

SALAH satu ciri negara maju adalah jumlah penerbitan yang mereka miliki. Jepun, negara yang musnah teruk dalam Perang Dunia Kedua misalnya berusaha memulihkan dirinya dengan menerbitkan buku sebanyak mungkin dan dijual semurah mungkin. Buku-buku dari luar negeri juga diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun. Objektif utama tindakan tersebut adalah untuk memastikan rakyat negara itu membaca dan memperoleh ilmu-ilmu baru tanpa had. setiap rakyat negara itu berpeluang untuk membaca buku apa sahaja. Kesan daripada tindakan dan kebijaksanaan tersebut, Jepun muncul sebagai sebuah negara yang pesat membangun dan dan akhirnya mampu menandingi keupayaan Barat.

Oleh pemikir, Francis Fukuyama dalam bukunya Trust: The Social Virtues and the Creation of Prosperity, kejayaan masyarakat Jepun termasuk dalam perniagaan dikaitkan dengan budaya membaca mereka. Kini penerbitan buku di Jepun menjadi suatu industri yang memberi pulangan besar. Malah, penerbit-penerbit asing turut berlumba-lumba menerbit karya-karya sama ada fiksyen atau nonfiksyen oleh pengarang negara Matahari Terbit tersebut.

Namun, kedudukan itu jauh berbeza dengan dengan perkembangannya di Malaysia. Buku masih dianggap bukan keperluan berbanding dengan hiburan dan barangan lain. Sebahagian masyarakat Malaysia belum memahami apa itu buku dalam erti sesungguhnya. Sedangkan secara fungsional, ia dapat didefinisikan sebagai suatu kumpulan bentuk komunikasi grafik yang cukup berkesan untuk pembinaan peradaban. “Masyarakat kita berada dalam suatu fenomena yang ‘unik’ jika dibandingkan dengan negara-negara maju seperti Jepun apabila mereka tidak meletakkan ilmu pengetahuan sebagai tempat tertinggi jika dibandingkan dengan bidang-bidang lain.

“Mungkin di Malaysia buku berada ditempat ketiga selepas barangan mewah dan hiburan lain . Alasan klasik yang sering diberikan ialah harganya yang terlalu tinggi (sama ada buku terbitan tempatan atau import) dan tidak mampu dibeli,” kata peminat buku, Jaafar Abdul Rahim. Ironisnya, beliau berkata, harga buku masih jauh lebih rendah berbanding barangan mewah atau kos yang diperlukan untuk hiburan yang mampu dibeli oleh masyarakat Malaysia hari ini. Namun, segelintir masyarakat tetap menjadikan harga buku sebagai alasan mereka tidak suka membaca. Jaafar berkata, sudah menjadi kewajaran jika buku-buku ilmiah dijual dengan harga yang lebih tinggi. Bagaimanapun ia masih terjangkau oleh sebahagian besar masyarakat negara ini.
Apa yang menjadi persoalan di Malaysia sekarang ialah harga buku telah dijadikan ‘kambing hitam’ oleh golongan berkenaan sedang pada masa yang sama mereka sanggup menghabiskan wang untuk hiburan atau membeli barangan berjenama. “Orang kita mungkin bukan malas membaca tetapi kurang membaca dan belum sedar sepenuhnya erti pentingnya ilmu pengetahuan yang bakal diperoleh daripada buku-buku atau bahan bacaan tersebut . “Kalau kita sekadar membaca karya-karya atau tulisan picisan, tidak mungkin kita dapat idea besar. Hanya buku yang benar-benar bermutu sahaja mampu melontarkan idealisme yang hebat,” tambahnya.

Di sisi lain, beliau melihat rakyat negara ini mempunyai kuasa beli yang kukuh. Cuma buku bukan keutamaan seperti yang wujud di negara-negara maju seperti Jepun atau Amerika Syarikat. “Cukup pelik jika ada kelompok masyarakat kita yang mampu bercuti di luar negara atau menonton perlumbaan Formula 1 dengan tiket mencecah ribuan ringgit tetapi tidak mampu membeli buku yang harganya tidak sampai RM100,” ujarnya. Sementara itu, Jaafar berkata, masyarakat perlu didedahkan dengan pendekatan- pendekatan baru dalam pembacaan supaya proses membaca menjadi sesuatu yang menyeronokkan. Antaranya, pihak yang bertanggungjawab perlu melaksanakan kursus membaca pantas (speed reading course) untuk membolehkan pembaca memahami isi sesebuah buku dalam tempoh yang singkat.

Begitu juga dengan Setiausaha Agung Persatuan Penulis Nasional (Pena), Syed Mohamad Zakir Syed Othman (SM Zakir) melihat harga buku hanyalah ‘kambing hitam’ oleh sebahagian masyarakat di negara ini. Katanya, harga buku yang terlalu tinggi digunakan sebagai alasan kenapa masyarakat di negara ini kurang membaca atau dengan kata lain faktor harga tersebut menjejaskan minat masyarakat. Sedangkan beliau berkata, masyarakat di negara ini masih belum terbuka secara keseluruhan kepada budaya keilmuan. Mereka cenderung meletakkan budaya membaca sebagai sesuatu yang tidak penting. “Saya melihat fenomena masyarakat Malaysia hari ini sangat membimbangkan. Apa lagi ketika hedonisme televisyen dan hiburan bertapak dengan kukuh. Ada yang sanggup menghabiskan wang untuk terlibat dalam realiti TV .

“Mahu atau tidak, kerajaan perlu `memaksa’ dalam konteks menggalakkan masyarakat untuk membaca misalnya mengecualikan cukai kerana ini salah satu daripada proses untuk membentuk budaya membaca,” katanya. Katanya, hedonisme televisyen dan hiburan tersebut telah mewujudkan satu persepsi budaya baru iaitu masyarakat yang suka berhibur, tidak mementingkan ilmu pengetahuan dan tidak mahu membaca ,” katanya. Oleh itu, SM Zakir berkata, peranan kerajaan untuk mewujudkan struktur dasar pembacaan khususnya mengurangkan harga buku dan pengecualian cukai sangat penting. Beliau berkata, jika fenomena tidak suka membaca dan enggan mendekati pengetahuan berterusan, ia akan memberi impak yang sangat besar kepada peradaban bangsa Malaysia.

“Menstruktur kembali dasar pembacaan sangat penting sama seperti tindakan kerajaan menstrukturkan ekonomi. Kedua-duanya sama penting. “Dasar pembacaan misalnya terlalu penting untuk mengukuhkan modal insan. Jika kita melahirkan tenaga yang tidak berpengetahuan, bayangkan apa yang terjadi kepada masa depan negara ini,” tambah beliau. Berdasarkan pandangan Jaafar dan SM Zakir tersebut, kita sesekali perlu kembali kepada sejarah. Tradisi keilmuan Melayu telah berusia lebih 600 tahun dan jauh lebih lama berbanding dengan perkembangannya di negara-negara maju. Namun, benarkah begitu?

Seperti kata Jaafar dan SM Zakir, masyarakat Malaysia hari ini tidak gemar membaca dan enggan mendekati ilmu dan salah satu ‘kambing hitam’ adalah harga buku yang dikatakan tinggi. Hasilnya, tradisi keilmuan Melayu yang digali oleh tokoh-tokoh Kerajaan Islam Aceh, Kesultanan Melaka dan lain-lain itu seolah-olah hampir menemui noktahnya!

Nota: Tulisan ini bukan karya saya. Mohon maaf kerana saya terlupa sumber karya ini. Semoga bermanfaat dan kebaikannya akan kembali kepada penulis asal.

Membaca Jambatan Ilmu

“Membaca Jambatan Ilmu”, demikian ayat yang sudah acap kali kita dengar dan sering terpampang terutamanya di pusat-pusat ilmu, contohnya perpustakaan. Sebagai manusia, kita digalakkan untuk rajin membaca kerana membaca menjanjikan pelbagai kesan positif terhadap diri seseorang individu.

Seseorang insan yang rajin membaca dapat meningkatkan sahsiah diri yang baik. Melalui pembacaan dari sumber yang berkualiti, pembaca dapat mengenali dan memahami sesuatu perkara dengan lebih mendalam dan dapat mengajar kita pelbagai nilai murni yang harus diamalkan dalam kehidupan seharian. Hasil pembacaan juga dapat memberi panduan dan mengelokkan diri daripada melakukan perkara-perkara negatif yang boleh membawa implikasi buruk terhadap diri sendiri dan orang lain.

Selain itu, seseorang yang mengamalkan tabiat membaca sebagai santapan minda harian seperti surat khabar, akan dapat mengikuti arus perkembangan dunia dan isu-isu semasa yang berlaku di dalam atau di luar negara. Hal ini sudah tentu akan membolehkan seseorang menjadi manusia serba tahu dan berilmu pengetahuan luas.

Sebagai seorang pelajar, sudah tentu fokus utamanya adalah untuk belajar. Oleh itu, dengan membaca pelajar dapat menimba lebih banyak ilmu pengetahuan dan maklumat agar mempunyai haluan ke arah masa hadapan yang lebih cerah. Ini dapat dibuktikan dengan prestasi akademik seseorang pelajar yang sentiasa di tahap yang lebih baik.

Melalui pembacaan yang baik, dapat melatih dan menjadikan diri pelajar lebih berdisiplin dan seterusnya menjadi contoh ikutan dan modal insan yang cemerlang.

Ditulis oleh: Adik Pameza Abd Harip ( Tingkatan 5, SMK Keningau II, Keningau, 2011)
Adik Pameza merupakan calon Tokoh NILAM mewakili Daerah Keningau ke pemilihan peringkat Zon Pedalaman 2011.

Pengalaman Pembedahan Lutut (UPDATED)


Bagi anda yang pernah atau bakal mengalami kecedaraan lutut dan pembedahan lutut, mungkin tulisan saya ini boleh dijadikan panduan. Ya…siapa tahu, malang tak berbau, seperti saya. Kecedaraan lutut saya alami sewaktu masih sekolah menengah lagi semasa bermain bola. Sewaktu membuat pusingan badan, entah bagaimana tiba-tiba sahaja saya terdengar bunyi ‘pop’ di lutut saya. Saya terhenti dan jatuh serta merta. Kaki tak boleh bergerak seolah-olah terlekat pada tanah. Kawan-kawan mengusung saya keluar padang. Selepas itu hampir dua minggu tak dapat berjalan. Beberapa tahun kemudian, perkara yang sama berlaku kali kedua. Kejadian kedua berlaku ketika awal karier sebagai pendidik, bertugas di sebuah sekolah pedalaman, Sabah. Cuma kecedaraan kali ini benar-benar telah membuatkan saya berhenti daripada bergiat secara aktif dalam bidang sukan. Puncanya ialah kaki saya (yang sama) terhempas ke tanah secara tidak normal. Sejak itu, saya berasa sesuatu yang tidak kena pada lutut saya. Selain bengkak pada awalnya, lutut saya sering ‘terlepas’ secara tiba-tiba. Apabila keadaan ini berlaku, saya tidak boleh berjalan malah terasa sangat sakit seolah-olah tulang lutut terkehel. Kadangkala mengambil masa yang lama untuk membetulkannya. Setelah rasa sakit pada bahagian lutut reda, keadaan lutut ‘terlepas’ secara tiba-tiba masih berlaku. Kadangkala dalam keadaan duduk bersila, dan apabila berdiri lutut boleh ‘terlepas’. Ia juga boleh berlaku ketika berjalan, terutama apabila terpijak bahagian permukaan yang tidak rata.Dipendekkan cerita, akhirnya saya mengambil keputusan untuk melakukan pembedahan lutut pada penghujung tahun 2010. Mungkin disebabkan faktor usia, kesakitan pada bahagian lutut yang tercedera itu mula dirasai dan sering berlaku.

Saya ke Hospital Besar Daerah Keningau, Sabah, lalu diperkenalkan dengan seorang doktor pakar tulang. Akhirnya saya dirujuk ke seorang lagi doktor pakar tulang. Kali ini bukan di Hospital Keningau tetapi di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu (HQE). Tanggal 13 Januari 2011 saya diperkenalkan dengan Dr. Baskaran (DRB), seorang doktor pakar bedah yang saya kira sangat terkenal di Sabah. DRB mengatakan lutut selalu ‘terlepas’ disebabkan oleh ligamen penyambung antara tulang peha dengan tulang kaki telah terputus. Istilah perubatan dipanggil kerosakan PCL. DRB mencadangkan pembedahan perlu dilakukan, iaitu penggantian fungsi ligamen menggunakan Pin/Graft Wire. Pin/Graft Wire tersebut perlu dipasang secara kekal menggunakan dua jenis skru (Transfix Screw dan Interference Screw). Tanpa berfikir panjang saya bersetuju kerana risau rasa sakit semakin menjadi-jadi. Terkejut kerana tarikh yang dicadangkan oleh DRB ialah pada bulan Jun 2011. Enam bulan menunggu sesuatu tempoh yang sangat lama. Lantas saya mohon dipercepatkan. Nasib baiklah, setelah semakan dibuat, akhirnya ketetapan dibuat iaitu 16 Mac 2011, kerana kebetulan salah seorang pesakit yang sepatutnya dibedah pada masa itu menarikk diri.

Secara ringkas:
Tarikh masuk wad: 14 Mac 2011
Tarikh pembedahan: 16 Mac 2011
Kos pembedahan: RM3,500.00
Tempat pembedahan: SMC/HQE 2

Pengalaman dan prosedur:
Banyak perkara yang ditanya dan diperiksa oleh doktor. Antaranya pengalaman pembedahan, sejarah penyakit keluarga, pemeriksaan jantung, pemeriksaan sampel darah dan sebagainya. Pesakit juga perlu menandatangani borang-borang tertentu. Kalau tak silap tiga kali.

Bius separuh badan
Bab ini yang agak menyakitkan. Semasa di dewan bedah, saya diminta duduk membongkok lalu bius pertama dimasukkan. Saya kira bius pertama jarumnya agak halus dan bertujuan untuk membuatkan kebas setempat supaya bius berjarum besar dapat dimasukkan tanpa kesan sakit yang kuat. Ketika bius kedua dimasukkan, terasa jarum agak besar menembusi antara sendi tulang belakang. Terkeluar juga air mata dibuatnya. Sebentar kemudian, paras pinggang sehingga ke bawah tidak terasa apa-apa lagi. Ketika itu saya nampak skrin televisyen di tayang dan saya boleh nampak secara sedar bagaimana DRB melakukan pembedahan. Saya terperanjat apabila DRB memaklumkan kecedaraan saya bukan satu. Kecedaraan ACL dan PCL.

Kesan Bius
Alhamdulillah, pembedahan lutut saya berjaya. Saya dimasukkan semula ke wad. Doktor memaklumkan, saya tidak boleh bangun selama enam jam selepas pembedahan. Oleh kerana terasa hendak buang air kecil, saya cuba bangun. Tetapi baru tak sampai seminit terasa pening dan muntah. Segera baring semula. Masa itu, hanya Allah SWT sahaja yang tahu bagaimana siksa menahan air kencing. Doktor memaklumkan itu adalah kesan bius. Ada pesakit lain yang tak boleh kencing langsung, lalu doktor memasukan hos kecil supaya air kencing dapat dibuang keluar. Saya berusaha untuk kencing…setitik demi setitik dan akhirnya dalam tempoh 24 jam saya boleh membuang air kecil secara normal.

Bagi saya, pengalaman dibedah tidaklah menyakitkan. Kesan bius itulah yang lebih membuatkan saya sangat tidak selesa. Mungkin kesan itu berbeza-beza bagi orang lain. Kesan bius yang lain ialah pangkal leher hingga ke bahu kiri dan kanan terasa sangat berat seolah-olah dipaku sehinggakan saya menoleh dengan memusingkan seluruh badan. Kepala pula terasa pening seperti ‘migrain’ yang amat sangat. Keadaan ini saya rasai sehingga dua minggu. Mujur ada seorang doktor semasa ditahan di wad HQE menyatakan ubat bius itu akan keluar melalui sistem perpeluhan. Saya tak tahu sejauh mana keberkesanannya, tetapi saya cuba-cuba bertangas (mandi wap) menggunakan air panas. Alhamdulillah, dengan sekali cuba sahaja rasa berat pada bahagian pangkal leher dan bahu berkurangan serta merta.

Peralatan tambahan
Selepas pembedahan, pesakit akan dinasihati supaya menggunakan peralatan sokongan seperti tongkat, compress dan pendekap kaki. Tetapi kesemuanya tidak dibekalkan oleh hospital. Peralatan tersebut perlu dibeli sendiri:
1. Tongkat: RM200.00 (bergantung kepada kualiti/jenis)
2. Compress (pembalut ais atau jelly): RM180.00
3. Pendekap kaki: RM1,800.00

Cuti sakit
Jika anda seorang kakitangan kerajaan, doktor pakar akan memberikan anda rehat yang secukupnya untuk pulih iaitu cuti sakit selama enam minggu. Selama tempoh masa tersebut, hendaklah sentiasa mengikuti rawatan fisioterapi dan senaman ringan sebagaimana yang diajarkan oleh doktor. Sekian.

UPDATED – 24 Oktober 2011
Penulis blog ini mendakwa tulisan atau artikel ini tulisan olehnya, seperti dakwaan: “…..mungkin tulisan saya ini boleh dijadikan panduan”.

Penulis blog ini turut mendakwa demikian.

Hakikatnya, entri ini saya masukkan pada 8 April 2011. Artikel serupa terpampang diblog mereka bertarikh 10 Mei 2011 dan 27 Oktober 2011.

Komen saya, sila baca di sini.

Faedah Membaca

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH
Membaca buku akan membuka wawasan kalbu, menghasilkan berbagai pelajaran dan nasihat. Membaca buku akan memberikan berbagai bekalan hikmah, dapat melancarkan lisan, meningkatkan kemampuan berfikir, mengukuhkan pengetahuan tentang beraneka ragam hakikat dan akan menghilangkan yang syubhat. Membaca buku merupakan hiburan bagi yang menyendiri, bisikan bagi hatinya, teman bicara bagi yang berjaga malam. Setiap kali pengetahuan yang telah dibaca diulang kaji, dikuasai dan disaingi, maka akan semakin membuahkan hasilnya yang siap dipetik kerana telah matang di pokoknya dan menghasilkan buahnya setiap saat dengan izin Tuhannya apabila diperlukan, kerana pengetahuan telah dikuasai dan telah menetap di tempat kediamannya (di hati).

Sebaliknya keengganan untuk membaca dan meninggalkan pemikiran terhadap kitab-kitab serta tidak mahu mentelaahnya sendiri, sama dengan mengekang kelancaran lisan, membatasi pembentukan perwatakan, membuat fikiran menjadi beku, aqal pun mnejadi tegang, watak menjadi mati dan modal pengetahuan menjadi layu, serta fikiran menjadi gersang. Mengapa demikian? Kerana buku selalu mengandungi faedah, perumpamaan, hal yang baru, cerita, konsep atau perkara yang jarang ditemui.

Demikian faedah membaca yang sememangnya sangat banyak sehingga tidak terhitung jumlahnya. Oleh itu, marilah memohon perlindungan dari Allah dari pupusnya cita-cita, lemahnya tekad di dalam jiwa dan bekunya semangat jiwa, kerana sesungguhnya hal ini merupakan musibah yang paling besar.

Nota:

Artikel ini dipetik terus daripada buku bertajuk ‘Jangan Bersedih’ tulisan Dr. Aidh bin Abdullah Al-Qarni terjemahan Noraine Abu, muka surat 431.

Cerita Menarik: Hari ini hari yang indah…

A blind boy sat on the steps of a building with a hat by his feet. He held up a sign which said: “I am blind, please help.” There were only a few coins in the hat.
Imej1
A man was walking by. He took a few coins from his pocket and dropped them into the hat. He then took the sign, turned it around, and wrote some words. He put the sign back so that everyone who walked by would see the new words.

Imej2
Soon the hat began to fill up. A lot more people were giving money to the blind boy. That afternoon the man who had changed the sign came to see how things were. The boy recognized his footsteps and asked, “Were you the one who changed my sign this morning? What did you write?”

Imej3

The man said, “I only wrote the truth. I said what you said but in a different way.” I wrote: “Today is a beautiful day but I cannot see it.”
Both signs told people that the boy was blind. But the first sign simply said the boy was blind. The second sign told people that they were so lucky that they were not blind. Should we be surprised that the second sign was more effective?

Moral of the Story: Be thankful for what you have.. Be creative. Be innovative. Think differently and positively.
When life gives you a 100 reasons to cry, show life that you have 1000 reasons to smile. Face your past without regret.
Handle your present with confidence. Prepare for the future without fear. Keep the faith and drop the fear.

The most beautiful thing is to see a person smiling…
And even more beautiful, is knowing that you are the reason behind it!!!

Kepentingan Membaca

Tidak ada sesiapa menafikan peri pentingnya aktiviti membaca di dalam kehidupan. Membaca menjadi akar tunjang kekuatan seseorang individu, malah sesuatu bangsa dan sesebuah negara. Dikatakan bahawa betapa kuat pun sistem ketenteraan atau sistem ekonomi sesebuah negara, pasti akan tumbang jua akhirnya jika tidak didasari oleh ketinggian ilmu pengetahuan. Di peringkat awal, sudah tentu ilmu pengetahuan diperoleh melalui proses pembacaan.

Menyedari akan hal ini, pada tahun 1989, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengambil daya usaha untuk memperkenalkan Program NILAM melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 13/1998: Program Membina Tabiat Membaca. Arahan tersebut menghendaki setiap sekolah melaksanakan Program Galakan Membaca NILAM (Nadi Ilmu Amalan Membaca) secara terancang dan teratur.PS041Di peringkat sekolah, telah terbukti bahawa amalan dan tabiat membaca di kalangan pelajar telah melahirkan individu yang menyerlah dalam pelbagai aspek. Kecemerlangan mereka tidak khusus kepada bidang akademik sahaja, malah memberi kesan langsung terhadap keterampilan, peribadi mulia, sahsiah dan tingkah laku. Pada ketika sama, sekolah yang memberi keutamaan terhadap aspek pembacaan di kalangan pelajarnya turut meraih kecemerlangan.

Tidak hairanlah pihak Kementerian Dalam Negeri juga turut mengambil pendekatan yang sama apabila mewajibkan semua kakitangan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan pelatih Pusat Serenti mengikuti Kempen Galakan Membaca melalui Pekeliling Pentadbiran AADK/KP/2/2008: Pekeliling Kempen Galakan Membaca Agensi Antidadah Kebangsaan. Apa yang diharapkan, melalui program membaca pegawai AADK akan lebih berwibawa di dalam menjalankan tugas mereka serta memberikan maklumat dan keyakinan kepada pelatih Pusat Serenti apabila kembali berhadapan dengan masyarakat.

Terbaharu, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengeluarkan arahan kaedah latihan secara pembacaan menggantikan hari berkursus. Surat ini menghendaki setiap penjawat awam mempertingkatkan kemahiran mereka melalui pembacaan buku. Setiap pegawai dan kakitangan dikehendaki membaca, merekod dan mempersembahkan dapatan mereka. Pemilihan buku perlu ada hubung-kaitnya dengan bidang tugas sedia ada. Program membaca buku ini bertujuan memenuhi dasar latihan sekurang-kurangnya 7 hari kursus dalam setahun bagi setiap kakitangan kerajaan.

Ceramah ‘Kepentingan Membaca’ di SMK Keningau II, Keningau, Sabah
Catatan saya pada kali ini berkaitan kepentingan membaca. Catatan ini dibuat setelah saya dijemput oleh Pengetua SMK Keningau II, Keningau untuk memberi penjelasan kepada pelajar-pelajarnya tentang kepentingan membaca pada 13 Mei 2010 lepas. Catatan ini saya sediakan dalam tempoh yang sangat singkat kerana kekangan tugasan lain. Mujurlah rakan saya Sdra Losinin Johalin dari PKG Ranau, Cik Morelance Stanza dan Cik Florina yang kebetulan sedang menjalani Latihan Industri di PKG Keningau telah membantu saya menyediakan bahan. Selain itu rujukan saya yang lain ialah maklumat yang boleh didapati dari internet serta buku Penjelasan Budaya Ilmu oleh Wan Mohd. Nor Wan Daud. Catatan ini berbentuk poin-poin ringkas sahaja dan boleh disampaikan selama sejam.

Sebagai panduan dan memudahkan penyampaian kepada pelajar serta untuk mengelakkan kekeliruan, beberapa istilah perlu difahami iaitu membaca, literasi (literasi maklumat), ilmu serta budaya ilmu. Hal ini kerana ia saling berkaitan antara satu sama lain. Catatan ini juga hanyalah berkenaan Kepentingan Membaca sahaja tanpa menyentuh aspek lain yang berkaitan seperti kemahiran membaca, teknik-teknik membaca, literasi maklumat, jenis-jenis buku dan sebagainya. Selain itu, saya amat mengharapkan input tambahan dari pembaca agar catatan ini kelak akan lebih mantap dan boleh digunakan.

Sila klik: Kepentingan Membaca.

Sila rujuk artikel berkaitan topik perbincangan di entri lain blog ini.

Catatan:
Anda boleh menggunakan bahan ini. Jika ada penambahbaikan, jangan lupa email kepada saya bahan tersebut agar dapat dimanfaatkan bersama. Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada PN Enun (GPM SMK Keningau II). Tanpa puan, bahan ini mungkin tidak akan menjadi kenyataan.

Orang Bukit

Mitatabang

Berehat - 'Mitatabang' penduduk Kg Tampasak Liwan, Tambunan

Berehat - 'Mitatabang' penduduk Kg Tampasak Liwan, Tambunan

‘Mitatabang’, berasal dari istilah bahasa Dusun. Kadangkala istilah ini disebut juga sebagai ‘Mitabang’, ‘Mintabang’ atau ‘Mantabang’ mengikut beberapa dialek suku kaum Dusun di Sabah. Dalam Bahasa Melayu istilah ‘Mitatabang’ bermaksud bergotong-royong secara bergilir. ‘Mitatabang’ telah diamalkan oleh suku kaum Dusun di Sabah, khususnya di Kg Tampasak Liwan, Tambunan sejak dahulu lagi. ‘Mitatabang’ menjadi lambang keutuhan semangat bekerjasama dan bersatu padu di kalangan penduduk di kampung saya. Biasanya amalan ini dilakukan secara bergilir-gilir oleh penduduk kampung ketika membuka sesuatu kawasan hutan untuk dijadikan kebun atau untuk tanaman padi huma. Sebelum melakukan aktiviti ‘Mitatabang’ penduduk akan berbincang terlebih dahulu untuk menentukan giliran. Selepas itu, kerja-kerja bergotong-royong akan dilakukan mengikut giliran hari yang telah ditetapkan. Istimewanya amalan turun temurun ini ialah, tuan rumah tidak perlu risau tentang penyediaan makanan dan minuman kerana sudah menjadi kelaziman setiap penduduk kampung akan membawa bekalan makanan dan minuman sendiri.

Pada zaman awal sebelum agam Islam menjadi pegangan kebanyakan penduduk di kampung saya, selepas upacara ‘mitatabang’ dilakukan biasanya diikuti dengan majlis keramaian dengan minum minuman keras seperti ‘tapai’. Tetapi pada hari ini amalan tersebut sudah tidak dilakukan lagi. Semoga amalan ‘mitatabang’ akan terus kekal menjadi wadah penyatu hati dan semangat perpaduan di kalangan penduduk di kampung saya.

Air Terjun Maraiguang

Jika anda peminat air terjun, datanglah ke Kg. Tampasak Liwan, Tambunan. Di situ letaknya air terjun yang cantik. Uniknya air terjun ini kerana terdapat dua buah air terjun yang berhampiran antara satu sama lain. Jika ingin menguji kekuatan fizikal, maka air terjun Maraiguang sesuai untuk dikunjungi. Perjalanan ke air terjun Maraiguang mengambil masa selama 2 hingga 3 jam dari kampung saya. Perjalanan akan melalui bekas jalan raya balak dan menyusur ke hulu sungai Molout sejauh lebih kurang 5 hingga 7 kilometer. Perjalanan ke air terjun ini memang mencabar kerana terpaksa melalui batu-batan sungai yang licin selain pacat yang sentiasa dahagakan darah sesiapa juga pengunjung yang sudi datang.

Kenangan Saya di SUIS Tambunan

SUIS Tambunan merupakan tempat saya menimba ilmu ketika di peringkat awal sejarah pendidikan saya. Saya sempat menuntut ilmu agama di sekolah hanya selama 6 tahun iaitu bermula pada tahun 1978 hingga 1983. Bagi saya, kewujudan sekolah ini dan penuntutnya telah memberi corak dan kesan yang sungguh bermakna kepada masyarakat setempat khususnya anak-anak saudara baru dari suku kaum Dusun di Daerah Tambunan. Justeru, saya merasakan segala kenangan itu elok ditulis menurut pengalaman saya sendiri. Saya sememangnya amat mengalu-alukan input dari rakan-rakan (alumni) yang pernah bersekolah di SUIS Tambunan. Sila berikan komen, atau email ke mzurs006@yahoo.com. Terima kasih.

Klik di sini: Nostalgia SUIS Tambunan