Menangislah, Agar Kelak Tidak Menangis Lagi

Sejak detik kelahiran lagi, seorang bayi telah menangis. Tangisan pertama itu pelbagai tafsiran. Pakar perubatan menyatakan itu cara jantung untuk mengepam lebih banyak oksigen. Tangisan itu hakikatnya satu sunnatullah demi kelangsungan hidup.

Manakala ahli-ahli sufi pula mentafsirkan tangisan pertama itu tanda protes manusia kepada godaan syaitan yang mula berusaha untuk menyesatkannya. Sebab itu tangisan pertama mesti diikuti oleh laungan azan di telinga kanan pada detik seorang bayi dilahirkan.

Tangisan pertama seorang bayi juga nikmat atau hadiah buat ibu selepas bertarung nyawa untuk melahirkannya. Bayangkan kesakitan dan kesusahan ibu dalam proses bersalin. Namun Allah Maha Pengasih, sebaik mendengar bayi yang baru dilahirkan menangis, kesakitan ibu terasa lega.

Rasa gembira seorang ibu mendengar tangisan bayi yang baru dilahirkan tidak dapat dibayangkan nikmat dan rahmat daripada Allah; yang berkuasa memberi kegembiraan buat hamba-Nya sekalipun dengan hanya sebuah tangisan!

Menangis Itu Fitrah 
Air mata sentiasa mengiringi seorang manusia ketika mengharungi kehidupan. Justeru, ahli hikmah pernah mengungkapkan: “hidup dimulakan dengan tangisan, dicelah oleh tangisan dan diakhiri oleh tangisan.”

Hidup hakikatnya ujian daripada Allah. Manusia akan sentiasa diuji dengan sesuatu yang berlawanan dengan kehendaknya. Kesakitan, kegagalan, kemiskinan, kekurangan dan kematian ialah basahan hidup yang tidak akan mampu dielak oleh sesiapa. Pada ketika itulah air mata seorang hamba mengalir kerana kesedihan. Episod hidup yang mengalirkan air mata inilah yang dimaksudkan dengan tamsilan; life is like an onion, you peel it layer by layer…. sometime you cry.

Hidup diakhiri oleh tangisan. Ya, apabila kematian menjemput, akan ada hal lagi tangisan yang bergema apabila kasih terputus dan cinta terpisah. Kehidupan akan diakhiri oleh tangisan. Lebih-lebih lagi sekiranya yang meninggal dunia itu seorang yang baik, maka lebih ramai yang menangisi kematiannya.

Justeru pesan hukama, “Ketika dilahirkan ke dunia, kau menangis, orang lain ketawa. Namun biarlah ketika kau meninggal dunia; kau ketawa, orang lain yang akan menangis.” Maksudnya, biarlah mati dengan membawa amal kebaikan yang melimpah. Kita akan gembira bertemu Allah dan orang lain akan menangis kerana masih inginkan kebaikan daripada kita.

Menangis Juga Ibadah
Oleh sebab menangis itu fitrah dan tidak dapat dielakkan dalam kehidupan, maka Islam mengatur fitrah itu dengan syariat. Agar dengan tangisan itu, manusia mendapat pahala dan kebaikan, serta terhindar daripada dosa dan kejahatan. Jika kena pada sebab serta ketika, tangisan akan menjana kebaikan yang melimpah.

Allah menyatakan dalam al-Quran: “Dan mereka menyungkur atas muka mereka sambil menangis dan mereka bertambah khusyuk.” (Surah al-Isra’ 17: 109)

Bahkan pada ayat yang lain, Allah menegur manusia yang tidak mahu menangis: “Maka apakah kamu merasa hairan terhadap pemberian ini? Dan kamu mentertawakan dan tidak menangis?” (Surah al-Najm 53: 59-60)

Rasulullah mengingatkan: “Dua mata yang tidak akan disentuh oleh api neraka, iaitu mata yang menangis kerana takut Allah dan mata yang berjaga ketika berjihad pada jalan Allah.” (Riwayat al-Tarmizi)

Menangis itu terpuji dan dikira sebagai amal bakti apabila betul niat, cara dan natijahnya. Ertinya, menangis juga boleh dijadikan satu ibadah dan dikira sebagai amal ketaatan kepada Allah.

Oleh: Roslan Yasnain (Majalah Solusi: Isu 62)

About mzurs006

Salam perkenalan dari saya. Saya seorang guru dan kini bertugas sebagai Pegawai Teknologi Pendidikan, di PKG. Keningau, Sabah. Saya amat berminat berkaitan hal-hal pendidikan. Seboleh mungkin, saya akan cuba membantu meningkatkan mutu pendidikan di tempat saya mengikut kemampuan yang ada. Salah satu caranya ialah melalui webblog ini. Semoga blog ini akan bermanfaat kepada warga pendidik khususnya di Pedalaman Sabah.
Bookmark the permalink.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *