Pertemuan Pertama dan Terakhir – Almarhum Tuan Guru Ustaz Haji Ahmad Darbi Lubis

Pada hari itu, tanggal 12 Jun 2009, terasa berat hati hendak melangkah ke rumah tuan guru Almarhum Ustaz Haji Ahmad Darbi Lubis. Rumah itu berhampiran Masjid Nurul Iman, Tambunan. Rumah yang dihuninya sejak puluhan tahun lalu. Namun atas permintaan adik, saya menghubunginya terlebih dahulu melalui telefon. Kebetulan minggu lepas saya ada menziarahi tuan guru. Di antara topik perbincangan kami pada hari itu tentulah masalah kesihatan yang dihidapinya. Pada masa itu, tuan guru baharu sahajau keluar dari hospital Tambunan. Tuan guru juga beria-ia bercerita tentang khasiat madu asli sebagai salah satu ramuan tradisional untuk penyembuhan.

“Ustaz tak berapa sihat. Sekarang dia sedang berehat.” Suara kakak Sharifah, isteri tuan guru kedengaran dari corong telefon bimbit saya. Isteri tuan guru itu kami panggil kakak. Saya faham, jika dalam keadaan sebegini kakak keberatan untuk menerima tetamu.

Gambar ini diambil oleh adik saya Mardiah Melisin pada 7 Jun 2009.

“Kakak, minggu lepas saya ada datang melawat ustaz. Hari ini saya cuma menghantar sebotol madu.” Ujar saya menjelaskan tanpa memberitahu kehadiran adik lelaki saya. Isteri tuan guru juga ada bersama dan mendengar perbualan kami minggu lepas.

Hati saya lega apabila kakak akhirnya bersedia menyambut kedatangan kami.

Adik kedua saya, Musa bekerja di Johor Bahru sejak tahun 1992. Jika tidak silap, ini kali ke tiga atau ke empat sejak bekerja di sana dia pulang bercuti selama dua minggu di Kg. Tampasak Liwan, Tambunan. Pada kali ini, dia pulang bersama keluarga. Petang nanti, selepas berziarah ke rumah tuan guru, penerbangan Airasia menanti mereka balik ke Johor.

“Assalamu’alaikum!” Ucapan salam saya lontarkan.

“Wa’alaikum salam…” Suara kakak kedengaran dari dalam rumah. Kakak keluar membuka penghadang beranda rumahnya.

“Topa…..masuklah…” Pelawanya lagi. Tuan guru selalu menyebut nama ringkas saya Topa. Huruf “Tho” dan “Fa” mengikut ejaan nama saya menggunakan huruf jawi. Isteri tuan guru terikut-ikut menyebut nama saya sedemikian.

“Ini siapa?” Tanya kakak apabila terpandang Musa dan isterinya Harnani.

“Adik saya Musa… ini isteri dan dua orang anaknya.” Saya menjawab.

“Oooo…Muso!” Spontan saya tersenyum. Tuan guru selalu memanggil nama adik saya Muso! Tentulah terikut-ikut sebutan tuan guru juga.

Saya menghulurkan sebotol madu asli kepada kakak. Madu itu saya dapatkan sendiri di kampung. Kebetulan pada masa itu beberapa kotak kayu yang saya gantung berhampiran rumah di kampung di huni oleh lebah madu. Madu itu saya ambil sendiri dan masukkan ke dalam botol.

“Ustaz ada di dalam. Sebentar ya….”. Ujar kakak Sharifah. Tutur dialek bahasa ibundanya masih tebal. Tuan guru dan isterinya berasal dari Sumatera Utara, Indonesia.

Sebentar kemudian, tuan guru muncul. Direnungnya wajah kami satu persatu. Tuan guru tersenyum. Senyumannya manis. Namun jelas jua kesakitan yang ditanggungnya di mata saya.

Pertemuan pertama dan terakhir

“Ustaz masih kenal saya…?” Tanya adik saya kepada tuan guru sambil melemparkan senyuman manisnya.

“Muso! Apa khabar kamu…!?” Ternyata wajah adik saya dan senyuman manisnya belum luput dari ingatan tuan guru. Mereka berpelukan. Kulihat di dada adikku ada sedikit sebak. Pertemuan pertama adik saya dengan gurunya selepas 17 tahun di perantauan.

Kemesraan tak lekang dari wajah tuan guru walaupun fizikalnya menanggung sakit.

Buah bicara tuan guru dengan adik saya pada masa itu hanyalah berkisar tentang keadaan semasa kesihatan tuan guru. Memang itulah tujuan asalnya iaitu ziarah ringkas dan bertanya khabar. Ketika kunjungan kali ini, saya hanya menjadi pemerhati. Lagipun tujuan asal saya sudah langsai. Sengaja saya beri peluang kepada adik saya berbual dengan tuan guru kerana saya sudah mengunjunginya minggu lepas. Saya juga sudah menetapkan tempoh masa yang pendek untuk kunjungan ini. Ada beberapa kali saya mengambil gambar detik pertemuan ini menggunakan telefon bimbit berjenama Nokia N73 kepunyaan saya.

Namun apa yang saya kagumi tentang tuan guru ialah apabila berbicara tentang anak-anak muridnya. Saya lihat tuan guru begitu bersemangat dan bangga memperihalkan bekas anak-anak muridnya. Disebutnya nama mereka satu persatu, pekerjannya, nama isteri dan anak-anak juga. Demikianlah, betapa mendalam kasih sayang tuan guru kepada anak-anak muridnya. Sekali-sekala cerita peristiwa lama juga terselit, diikuti ketawa kecil tuan guru dan adik saya.

Sedar-sedar pertemuan ini sudah berlarutan sedikit melewati waktu Zohor. Kami mengakhiri pertemuan dengan harapan dapat bertemu lagi pada masa akan datang.

Namun tidak siapa menjangka, detik itu merupakan pertemuan pertama dan terakhir adik saya dengan tuan guru. Genap sebulan selepas itu, iaitu 14 Julai 2009, Almarhum Tuan Guru Ustaz Haji Ahmad Darbi Lubis pergi menyahut seruan Ilahi. Peristiwa itu, dan komen adik saya dinukilkannya di dalam ruangan di blog Abu Nuha seperti berikut:


Al-Fatihah.