Pengisian Pusat Sumber Digital – Literasi Maklumat

Dalam kepesatan dunia teknologi, setiap individu perlu mempunyai kemahiran untuk melalui arus perubahan, globalisasi dan kemajuan komunikasi. Justeru, keperluan melahirkan rakyat Malaysia yang bermaklumat dan bertanggungjawab, tidak cukup hanya dengan menyediakan perkhidmatan komputer dan sumber pendidikan. Program Literasi Maklumat yang terancang mampu menjadi pemangkin kepada perubahan dalam masyarakat bermaklumat hari ini kepada masyarakat berpengetahuan pada masa hadapan.

Program Literasi Maklumat sebenarnya telah bermula pada tahun 1982 dengan pengenalan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR). Kemahiran Literasi Maklumat digabungjalin dalam semua mata pelajaran yang diajar di sekolah. Penubuhan Sekolah Bestari telah menjadikan pembelajaran lebih dinamik dan interaktif dengan penggunaan teknologi multimedia dan rangkaian. Pembelajaran berasaskan pojek diberi penekanan memandangkan pendekatan ini dapat membina kemahiran murid dalam kehidupan berasaskan maklumat dan masyarakat yang berteknologi tinggi. Namun demikian, tanpa kemahiran dalam Literasi Maklumat, pembelajaran berasaskan projek tidak dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Kemahiran Literasi Maklumat meliputi lima kemahiran utama seperti berikut:
• Kemahiran Sains Perpustakaan / Kemahiran Maklumat
• Kemahiran Berfikir secara kritis dan kreatif (KBKK)
• Kemahiran Belajar
• Kemahiran Komunikasi
• Kemahiran ICT

Program Literasi Maklumat boleh diajar melalui strategi pengajaran dan pembelajaran (P&P) seperti berikut:
• Kerja kursus
• Projek
• Aktiviti dalam kelas
• Aktiviti Ko-kurikulum
• Pembelajaran Kendiri
• Program Pusat Sumber Sekolah
• Program Bacaan (NILAM)
• Akitiviti penyelesaian masalah

Adalah dicadangkan Program Literasi Maklumat diajar secara terancang dan berstruktur dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang melibatkan kolaborasi antara guru dan mata pelajaran yang meliputi lima kemahiran utama seperti di atas. Untuk itu, satu piawaian pencapaian pembelajaran murid perlu dibina bagi memastikan kemahiran-kemahiran dalam Program Literasi Maklumat secara berkesan untuk melahirkan rakyat Malaysia yang bermaklumat dan bertanggungjawab iaitu:
• Keupayaan mengetahui bila maklumat diperlukan
• Keupayaan mengenal pasti bentuk maklumat yang diperlukan
• Keupayaan mengenal pasti sumber maklumat
• Keupayaan mencari maklumat secara efisyen dan berkesan
• Keupayaan mengakses maklumat secara efisyen dan berkesan
• Keupayaan menilai maklumat secara kritis
• Keupayaan mengetahui dan mengintegrasi maklumat sedia ada kepada maklumat baru
• Keupayaan menggunakan maklumat secara beretika dan mematuhi undang-undang
• Keupayaan berkomunikasi
• Keupayaan melaksanakan semua aktiviti di atas secara berkesan

Cadangan pelaksanaan Program Literasi Maklumat di Sekolah Bestari adalah seperti berikut:
• Pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan berdasarkan modul
• Penilaian dilaksanakan dalam dua bentuk:
- berterusan
- berdasarkan kepada hasil kerja murid
• Hasil kerja terbaik murid akan dipamerkan, dikongsi bersama dan dikatalog secara berpusat dalam Pusat Sumber Sekolah / Pusat Sumber Digital
• Sijil akan diberikan setelah murid mencapai kemahiran berdasarkan piawaian / tahap yang telah ditetapkan

PENUTUP
Pusat Sumber Digital amat diperlukan bagi menyokong usaha menaik taraf PSS dari segi kemudahan fizikal, alatan dan bahan, pengurusan dan pengelolaan, serta penggunaan PSS dalam proses pengajaran dan pembelajaran, sesuai dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi masa kini. Usaha sebegini menyokong kecemerlangan pendidikan selaras dengan misi Kementerian Pelajaran Malaysia.

Sumber asal: PENGISIAN PUSAT SUMBER DIGITAL – LITERASI MAKLUMAT

2 thoughts on “Pengisian Pusat Sumber Digital – Literasi Maklumat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>