Aktiviti Membaca: Perubahan Positif Rakyat Malaysia

Oleh UMAVATHI RAMAYAH
uma.ramayah@utusan.com.my

membacaKUALA LUMPUR 18 Mei – Tabiat membaca di kalangan rakyat Malaysia menyaksikan perubahan positif apabila kajian oleh Perpustakaan Negara pada tahun lalu mendapati purata setiap rakyat membaca lapan hingga 12 naskhah buku setahun.

Ia merupakan satu peningkatan agak membanggakan berbanding kajian pada 2005 yang mendedahkan rakyat kita hanya membaca dua naskhah buku setahun.

Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr. Noorul Ainur Mohd. Nur berkata, justeru itu, langkah-langkah bersepadu perlu dipertingkatkan lagi bagi menyuburkan tabiat dan semangat cintakan buku di kalangan rakyat Malaysia.

Beliau turut menggesa pihak berkaitan menggunakan segala ruang dan peluang yang ada bagi menarik minat lebih ramai rakyat untuk membaca selain meneroka pendekatan-pendekatan serta gaya hidup baru yang boleh dijadikan sebagai pemangkin budaya membaca.

“Kita tidak seharusnya terhad kepada bahan bacaan berbentuk konvensional tetapi perlu juga menerokai, mengenal pasti dan mengambil kira bentuk bacaan yang disukai ramai,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Buku Sedunia kementerian berkenaan, di sini hari ini.

Sambutan bertemakan Jom Kembalikan Budaya Membaca itu turut menyaksikan penglibatan pelajar Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Kemas kementerian berkenaan.

Antara aktiviti yang diadakan adalah termasuk pertandingan bercerita, membaca, persembahan boneka, pameran dan jualan buku.

Noorul Ainur menambah, usaha menyemarakkan budaya membaca perlu dipertingkatkan terutama dengan kewujudan dan perkembangan infrastruktur digital dan teknologi maklumat yang menyaksikan rakyat, terutamanya generasi muda selesa melayari Internet.

Menurutnya, pembinaan masyarakat yang kaya dengan nilai-nilai intelek, sahsiah dan peradaban adalah ditentukan oleh tahap pencapaian ilmu masyarakat itu sendiri kerana sesebuah masyarakat yang miskin ilmu tidak mungkin akan kaya tamadunnya

About mzurs006

Salam perkenalan dari saya. Saya seorang guru dan kini bertugas sebagai Pegawai Teknologi Pendidikan, di PKG. Keningau, Sabah. Saya amat berminat berkaitan hal-hal pendidikan. Seboleh mungkin, saya akan cuba membantu meningkatkan mutu pendidikan di tempat saya mengikut kemampuan yang ada. Salah satu caranya ialah melalui webblog ini. Semoga blog ini akan bermanfaat kepada warga pendidik khususnya di Pedalaman Sabah.
Bookmark the permalink.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *