Minat Membaca Harus Mula Sejak Bayi: Siti Hasfizza Aswaty Sab Jahan – Selebriti

Sumber: Berita Harian Online – 24 April 2011

Siti Hasfizza Aswaty Sab Jahan

Siti Hasfizza Aswaty Sab Jahan

Ibu bapa, keluarga berperanan dekatkan anak dengan buku
BENARKAH wanita lebih suka membaca berbanding lelaki? Persoalan ini seperti yang dipaparkan dalam artikel yang disiarkan Berita Harian, Isnin lalu, menarik perhatian untuk dibincangkan dalam konteks lebih menyeluruh, iaitu kesedaran membaca di kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira gender.

Sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2011 mulai sekarang hingga 1 Mei ini, wartawan Berita Minggu, Zul Husni Abdul Hamid mendapatkan pandangan pengacara Wanita Hari Ini, Siti Hasfizza Aswaty Sab Jahan mengenai tabiat membaca di kalangan generasi muda dan kaedah terbaik memupuk amalan baik ini.

Anda dikenali sebagai ulat buku. Berdasarkan pengalaman anda, bagaimana minat membaca ini dipupuk dari kecil?
Saya berterima kasih kepada ibu saudara dan kakak yang banyak mempengaruhi minat saya dalam membaca. Ibu saudara mendapat pendidikan di luar negara, jadi pengaruh serta budaya membaca yang sebati dengan masyarakat di sana cuba diterapkan kepada kami anak saudaranya.

Dulu ketika dia menuntut di Amerika Syarikat, saban bulan pasti akan ada kiriman buku daripadanya. Tarikan yang ada dalam buku kanak-kanak itu membuatkan saya mula terpengaruh dan mendekati bahan bacaan. Mungkin dulu kami tidak punya banyak pilihan hiburan seperti kanak-kanak hari ini, justeru, buku menjadi satu-satunya pendekatan untuk melepaskan tekanan selepas bertungkus lumus dengan pelajaran.

Minat itu berkekalan sehingga hari ini. Cuma dulu saya lebih selesa dengan bahan bacaan ringan seperti komik dan novel remaja, hari ini saya memilih novel berat serta serius. Tuntutan kerjaya sebagai pengacara juga memerlukan saya banyak membaca supaya tidak nampak kaku atau kurang pengetahuan di kaca televisyen. Tanpa membaca, sukar untuk saya mempertingkatkan penguasaan bahasa yang turut menjadi asas penting kepada seseorang pengacara.

Mengapa anda suka membaca dan apa kelebihannya jika kita suka membaca?
Membaca tanpa dipaksa akan menggerakkan minda kita supaya berfikir dan berimaginasi, malah mencerna pemikiran untuk menjadi lebih kreatif. Membaca sebenarnya membantu mempertingkatkan perbendaharaan kata, sekali gus mendorong saya untuk memantapkan penguasaan bahasa dalam kerjaya sehari-hari.

Tugas sebagai pengacara menuntut saya supaya menjadikan buku atau apa saja bahan bacaan berkaitan sebagai kawan baik. Jika tidak cukup persediaan dengan membaca, sukar untuk seseorang pengacara itu menyalurkan maklumat dengan berkesan. Bahan bacaan hari ini semakin mudah dicapai, malah semuanya berada di hujung jari. Teknologi memudahkan hidup tetapi saya senang dengan bahan bacaan konvensional. Mungkin kerana sudah terbiasa, saya amalkan membeli sekurang-kurangnya sebuah buku sebulan. Ia sudah menjadi amalan biasa di kalangan kami ahli keluarga.

Rata-rata generasi muda di negara ini tidak berminat membaca. Mengapa ini berlaku? Apakah sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan menjadi punca keadaan ini?
Persekitaran hidup manusia hari ini sudah berubah. Dulu kita cuma bergantung kepada televisyen dan radio, selain akhbar, majalah atau buku untuk mendapatkan sumber ilmu. Tetapi hari ini media baru semakin agresif mengambil alih peranan itu. Saya tidak nafikan pengaruh televisyen dalam menyalurkan ilmu dan pengetahuan kepada penonton.

Namun, satu persoalan yang sering bertandang di minda saya, apakah mesej yang disampaikan itu akan berkekalan untuk tempoh waktu lama? Menonton memerlukan fokus yang tinggi, sedangkan membaca boleh dilakukan berulang kali. Mahu atau tidak kita perlu membaca. Televisyen memberikan impak yang besar kepada kanak-kanak jika mereka kurang membaca. Contohnya dari segi penguasaan bahasa.

Mengapa hari ini ramai kanak-kanak menulis menggunakan bahasa pasar sedangkan bahasa Melayu itu indah jika diperhalusi setiap perkataan dan maknanya. Perkara itu berlaku kerana mereka kurang membaca. Kemajuan internet sewajarnya menjadi penggerak supaya budaya membaca dipupuk semula. Malangnya, kebanyakan ibu bapa memberi kebebasan penuh kepada anak untuk memilih apa keperluan mereka tanpa diawasi. Jangan jadikan anak sebagai korban kerana kealpaan kita akan mewujudkan bangsa yang kurang berdaya saing dan lemah menguasai cabang ilmu berkaitan.

Bagaimana hendak menggalakkan generasi muda mendekati buku atau sebarang penulisan biar dalam bentuk apa pun?
Tabiat membaca harus bermula dari kecil. Kalau di Barat, sejak bayi lagi anak-anak sudah didekatkan dengan buku. Apabila meningkat dewasa, mereka tidak janggal mengepit buku kerana perkara itu sudah sebati dalam diri. Sebelum anak melelapkan mata, bacakan buku cerita kerana pendidikan itu bermula dari rumah.

Saya hairan mengapa sesetengah pihak sewenang-wenangnya menyalahkan sistem pendidikan sedangkan semua elemen positif harus diterapkan bermula di rumah.

Terapkan supaya tabiat itu menjadi sebahagian daripada keperluan diri. Mulakan walaupun hanya selembar sehari kerana lama-kelamaan tabiat membaca akan menjadi sebahagian daripada diri kita.

About mzurs006

Salam perkenalan dari saya. Saya seorang guru dan kini bertugas sebagai Pegawai Teknologi Pendidikan, di PKG. Keningau, Sabah. Saya amat berminat berkaitan hal-hal pendidikan. Seboleh mungkin, saya akan cuba membantu meningkatkan mutu pendidikan di tempat saya mengikut kemampuan yang ada. Salah satu caranya ialah melalui webblog ini. Semoga blog ini akan bermanfaat kepada warga pendidik khususnya di Pedalaman Sabah.
Bookmark the permalink.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *