Membaca Ciri Negara Maju

SALAH satu ciri negara maju adalah jumlah penerbitan yang mereka miliki. Jepun, negara yang musnah teruk dalam Perang Dunia Kedua misalnya berusaha memulihkan dirinya dengan menerbitkan buku sebanyak mungkin dan dijual semurah mungkin. Buku-buku dari luar negeri juga diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun. Objektif utama tindakan tersebut adalah untuk memastikan rakyat negara itu membaca dan memperoleh ilmu-ilmu baru tanpa had. setiap rakyat negara itu berpeluang untuk membaca buku apa sahaja. Kesan daripada tindakan dan kebijaksanaan tersebut, Jepun muncul sebagai sebuah negara yang pesat membangun dan dan akhirnya mampu menandingi keupayaan Barat.

Oleh pemikir, Francis Fukuyama dalam bukunya Trust: The Social Virtues and the Creation of Prosperity, kejayaan masyarakat Jepun termasuk dalam perniagaan dikaitkan dengan budaya membaca mereka. Kini penerbitan buku di Jepun menjadi suatu industri yang memberi pulangan besar. Malah, penerbit-penerbit asing turut berlumba-lumba menerbit karya-karya sama ada fiksyen atau nonfiksyen oleh pengarang negara Matahari Terbit tersebut.

Namun, kedudukan itu jauh berbeza dengan dengan perkembangannya di Malaysia. Buku masih dianggap bukan keperluan berbanding dengan hiburan dan barangan lain. Sebahagian masyarakat Malaysia belum memahami apa itu buku dalam erti sesungguhnya. Sedangkan secara fungsional, ia dapat didefinisikan sebagai suatu kumpulan bentuk komunikasi grafik yang cukup berkesan untuk pembinaan peradaban. “Masyarakat kita berada dalam suatu fenomena yang ‘unik’ jika dibandingkan dengan negara-negara maju seperti Jepun apabila mereka tidak meletakkan ilmu pengetahuan sebagai tempat tertinggi jika dibandingkan dengan bidang-bidang lain.

“Mungkin di Malaysia buku berada ditempat ketiga selepas barangan mewah dan hiburan lain . Alasan klasik yang sering diberikan ialah harganya yang terlalu tinggi (sama ada buku terbitan tempatan atau import) dan tidak mampu dibeli,” kata peminat buku, Jaafar Abdul Rahim. Ironisnya, beliau berkata, harga buku masih jauh lebih rendah berbanding barangan mewah atau kos yang diperlukan untuk hiburan yang mampu dibeli oleh masyarakat Malaysia hari ini. Namun, segelintir masyarakat tetap menjadikan harga buku sebagai alasan mereka tidak suka membaca. Jaafar berkata, sudah menjadi kewajaran jika buku-buku ilmiah dijual dengan harga yang lebih tinggi. Bagaimanapun ia masih terjangkau oleh sebahagian besar masyarakat negara ini.
Apa yang menjadi persoalan di Malaysia sekarang ialah harga buku telah dijadikan ‘kambing hitam’ oleh golongan berkenaan sedang pada masa yang sama mereka sanggup menghabiskan wang untuk hiburan atau membeli barangan berjenama. “Orang kita mungkin bukan malas membaca tetapi kurang membaca dan belum sedar sepenuhnya erti pentingnya ilmu pengetahuan yang bakal diperoleh daripada buku-buku atau bahan bacaan tersebut . “Kalau kita sekadar membaca karya-karya atau tulisan picisan, tidak mungkin kita dapat idea besar. Hanya buku yang benar-benar bermutu sahaja mampu melontarkan idealisme yang hebat,” tambahnya.

Di sisi lain, beliau melihat rakyat negara ini mempunyai kuasa beli yang kukuh. Cuma buku bukan keutamaan seperti yang wujud di negara-negara maju seperti Jepun atau Amerika Syarikat. “Cukup pelik jika ada kelompok masyarakat kita yang mampu bercuti di luar negara atau menonton perlumbaan Formula 1 dengan tiket mencecah ribuan ringgit tetapi tidak mampu membeli buku yang harganya tidak sampai RM100,” ujarnya. Sementara itu, Jaafar berkata, masyarakat perlu didedahkan dengan pendekatan- pendekatan baru dalam pembacaan supaya proses membaca menjadi sesuatu yang menyeronokkan. Antaranya, pihak yang bertanggungjawab perlu melaksanakan kursus membaca pantas (speed reading course) untuk membolehkan pembaca memahami isi sesebuah buku dalam tempoh yang singkat.

Begitu juga dengan Setiausaha Agung Persatuan Penulis Nasional (Pena), Syed Mohamad Zakir Syed Othman (SM Zakir) melihat harga buku hanyalah ‘kambing hitam’ oleh sebahagian masyarakat di negara ini. Katanya, harga buku yang terlalu tinggi digunakan sebagai alasan kenapa masyarakat di negara ini kurang membaca atau dengan kata lain faktor harga tersebut menjejaskan minat masyarakat. Sedangkan beliau berkata, masyarakat di negara ini masih belum terbuka secara keseluruhan kepada budaya keilmuan. Mereka cenderung meletakkan budaya membaca sebagai sesuatu yang tidak penting. “Saya melihat fenomena masyarakat Malaysia hari ini sangat membimbangkan. Apa lagi ketika hedonisme televisyen dan hiburan bertapak dengan kukuh. Ada yang sanggup menghabiskan wang untuk terlibat dalam realiti TV .

“Mahu atau tidak, kerajaan perlu `memaksa’ dalam konteks menggalakkan masyarakat untuk membaca misalnya mengecualikan cukai kerana ini salah satu daripada proses untuk membentuk budaya membaca,” katanya. Katanya, hedonisme televisyen dan hiburan tersebut telah mewujudkan satu persepsi budaya baru iaitu masyarakat yang suka berhibur, tidak mementingkan ilmu pengetahuan dan tidak mahu membaca ,” katanya. Oleh itu, SM Zakir berkata, peranan kerajaan untuk mewujudkan struktur dasar pembacaan khususnya mengurangkan harga buku dan pengecualian cukai sangat penting. Beliau berkata, jika fenomena tidak suka membaca dan enggan mendekati pengetahuan berterusan, ia akan memberi impak yang sangat besar kepada peradaban bangsa Malaysia.

“Menstruktur kembali dasar pembacaan sangat penting sama seperti tindakan kerajaan menstrukturkan ekonomi. Kedua-duanya sama penting. “Dasar pembacaan misalnya terlalu penting untuk mengukuhkan modal insan. Jika kita melahirkan tenaga yang tidak berpengetahuan, bayangkan apa yang terjadi kepada masa depan negara ini,” tambah beliau. Berdasarkan pandangan Jaafar dan SM Zakir tersebut, kita sesekali perlu kembali kepada sejarah. Tradisi keilmuan Melayu telah berusia lebih 600 tahun dan jauh lebih lama berbanding dengan perkembangannya di negara-negara maju. Namun, benarkah begitu?

Seperti kata Jaafar dan SM Zakir, masyarakat Malaysia hari ini tidak gemar membaca dan enggan mendekati ilmu dan salah satu ‘kambing hitam’ adalah harga buku yang dikatakan tinggi. Hasilnya, tradisi keilmuan Melayu yang digali oleh tokoh-tokoh Kerajaan Islam Aceh, Kesultanan Melaka dan lain-lain itu seolah-olah hampir menemui noktahnya!

Nota: Tulisan ini bukan karya saya. Mohon maaf kerana saya terlupa sumber karya ini. Semoga bermanfaat dan kebaikannya akan kembali kepada penulis asal.

One thought on “Membaca Ciri Negara Maju

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>