Budaya Ilmu dan Sedikit Pengisian

Pada tahun 1988, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad (Tun), Perdana Menteri  ketika itu, telah mengisytiharkan “Tahun Pembaca”. Pada masa sama, Kementerian Pelajaran Malaysia selain memperkenal  dan menekankan keutamaan budaya ilmu, juga telah memilih tema sempena Hari Guru 1988 “Guru Pengasas Budaya Membaca”. Pada tahun yang sama juga, Kementerian Belia dan Sukan telah memilih tema “Belia Berilmu Negara Maju” sebagai tema Hari Belia. Pada September 1989, Institut Kajian Dasar telah menganjurkan seminar selama empat hari yang bertajuk “Belia dan Budaya Ilmu”. Pemilihan tema “Guru Pengasas Budaya Membaca” sempena Hari Guru pada tahun 1989 mencerminkan iltizam Kementerian Pelajaran Malaysia terhadap gagasan yang amat penting ini. Banyak lagi program yang bertunjangkan kepentingan budaya ilmu selepas itu.

Di dalam bidang pendidikan, kemuncak kesedaran terhadap budaya ilmu dan perlunya pelaksanaan yang lebih agresif sejak di peringkat awal, maka pihak berwajib telah melancarkan Program Membina Tabiat Membaca  di sekolah-sekolah menerusi Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 3/1998 pada tahun 1998. Pengisian utamanya ialah Nadi Ilmu Amalan Membaca atau ringkasnya NILAM.

 Mengapa budaya ilmu itu penting? Untuk menjawab persoalan ini, sekadar menyebut beberapa perkara yang saya petik dari buku “Penjelasan Budaya Ilmu” tulisan Wan Mohd. Nor Wan Daud:

1.    Kedudukan istimewa manusia di bumi dijelaskan oleh Allah dalam Al-Quran: Hanya orang yang berilmu berupaya mentaati Allah dengan sebaik-baiknya. (Surah al-Fatir (35):28

2.    Seorang yang berilmu agama lebih kuat menentang syaitan daripada seribu orang yang beribadat (tanpa ilmu yang cukup) – Hadis Tirmidhi dan Ibn Majah.

3.    “Ilmu adalah ketua bagi amal; amal menjadi pengikutnya.” – Muadh bin Jabal (Sahabat Rasulullah)

4.    Ekonomi bangsa yang tidak berilmu hanyalah ekonomi tumpangan yang menanti belas ihsan bangsa kaya dan maju untuk membuat pelaburan dan memaksakan syarat-syarat tertentu ke atasnya.

5.    Prasyarat awal dan terpenting bagi kejayaan, kekuatan dan kebahagiaan seseorang atau sesuatu bangsa adalah pembinaan budaya ilmu yang bersepadu dan jitu.

6.    Seseorang individu atau sesuatu bangsa yang mempunyai kekuasaan dan kejayaan tidak boleh mempertahankan miliknya, apatah lagi mengembangkannya tanpa buday ilmu yang baik. Malah dia akan bergantung kepada orang atau bangsa lain yang berilmu.

7.    Harta dan kekayaan boleh hilang sekelip mata, tetapi ilmu tidak akan hilang, malah jika ilmu berbudaya dalam diri dengan baik, bukan sahaja kekal tetapi boleh memberikan keupayaan kepada seseorang memulihkan diri dalam menghadapi sebarang kerumitan dan cabaran.

Justeru dalam rangka ke arah itu, saya berkesempatan memenuhi jemputan Encik Musa Numan, Guru Besar SK Jaya Baru, Keningau untuk menjelaskan  dan berkongsi pengetahuan tentang perjalanan serta perlaksanaan Program Galakan Membaca (PGM) di peringkat sekolah secara lebih teratur dan terurus. Sesi perkongsian tersebut dihadiri oleh Guru Besar, GPK serta guru-guru SK Jaya Baru. Turut hadir ialah Encik Junggal Sidup, PTP PTPB Keningau. Sesi tersebut diadakan ketika peperiksaan UPSR berlangsung. Tahniah kepada Guru Besar dan semua guru sekolah berkenaan. Semoga pengisian yang sedikit ini akan melahirkan pelajar dan masyarakat yang mengamalkan budaya ilmu.
DSC_2357

DSC_2355

DSC_2358

About mzurs006

Salam perkenalan dari saya. Saya seorang guru dan kini bertugas sebagai Pegawai Teknologi Pendidikan, di PKG. Keningau, Sabah. Saya amat berminat berkaitan hal-hal pendidikan. Seboleh mungkin, saya akan cuba membantu meningkatkan mutu pendidikan di tempat saya mengikut kemampuan yang ada. Salah satu caranya ialah melalui webblog ini. Semoga blog ini akan bermanfaat kepada warga pendidik khususnya di Pedalaman Sabah.
Bookmark the permalink.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *