Syoknya Balik Kampung – Memancing Belut Sungai

Tulisan “Syoknya balik kampung” kini kembali. Kali ini, seperti yang saya pernah nyatakan dahulu aktiviti menangkap ikan di sungai mengisi ruang jadual pulang ke kampung semasa bercuti baru-baru ini. Namun kepulangan ke kampung kali ini disambut oleh hujan yang berpanjangan. Hujan tidaklah mengganggu aktiviti tersebut, tetapi menghalang saya untuk menangkap gambar-gambar terbaik untuk tatapan anda. Seperti bahan kali ini, gambar yang saya ambil tidak banyak kerana keadaan cuaca yang kurang mengizinkan.

Gambar: Perjalanan ke sungai bersama anak-anak melalui hutan

Bercerita tentang menangkap atau memancing belut sungai, sememangnya amat menyeronokkan. Namun saya mulakan dahulu catatan ini dengan peristiwa sewaktu kanak-kanak dahulu yang tak pernah saya lupa. Suatu hari, seperti biasa emak saya membersihkan ayam untuk dibuat lauk, emak saya pergi ke sungai yang hanya beberapa langkah dari rumah ketika itu. Semasa membersihkan ayam tersebut, emak  meletakkannya di atas ketulan batu. Tali perut ayam berjuntaian sehingga mencecah ke permukaan air. Mulanya tiada apa-apa berlaku….tiba-tiba saya melihat salah satu hujung tali perut ayam yang terjuntai itu bergerak-gerak seperti ditarik sesuatu yang tak kelihatan di bawah ketulan batu. Sejurus kemudian, tali perut ayam itu hilang. Mata saya terbojol kehairanan lalu segera memberitahu emak saya. Tanpa berlengah, emak saya berlari ke rumah. Beberapa saat kemudian saya lihat emak kembali semula membawa “Siud”. Saya masih kehairanan. Emak saya segera meletakkan siud di bahagian hilir arus air berhampiran batu tadi. Setelah semua bersedia, saya lihat emak mengalihkan batu tersebut dan dengan serta merta pula mengangkat siud dari permukaan air. Kelihatan hujung siud bergoncang kuat. Emak saya menjerut siud tersebut untuk mengelakkan binatang tersebut terlepas. Selepas itu emak saya menghempas-hempaskan binatang dalam siud ke batu. Setelah binatang tersebut tidak bergerak lagi barulah saya berani dekat untuk melihatnya.

Gambar: Bambu yang matang mampu mencapai ukur lilit 25-30 inci

Dipendekkan cerita, malam itu kami sekeluarga berlaukkan ayam dan belut sungai sebesar lengan orang dewasa. Dalam bahasa Dusun belut sungai dipanggil “Rolou”. Bentuknya badannya panjang seperti ular tapi mempunyai permukaan kulit yang licin dan berlendir. Ia berbeza dengan belut “Lindung” yang dipelihara di dalam kolam atau hidup liar di lopak-lopak air.

Gambar: Anda pernah melihat bambu kuning?

Memancing belut sungai boleh dilakukan dengan kaedah biasa menggunakan joran dan mata kail. Namun cara ini memerlukan sedikit kesabaran kerana perlu menunggu. Salah satu cara lagi ialah dengan memasang mata kail semalaman. Cara inilah yang saya praktikkan kali ini. Peralatan yang diperlukan cuma mata kail bersaiz 4 dan 6 serta tangsi 20 paun. Jumlahnya pula terpulang kepada kemampuan. Lebih banyak lebih baik. Jala digunakan untuk menangkap ikan-ikan kecil sebagai umpan. Setelah umpan dilekat pada mata kail, tali tangsi diikat ke apa-apa sahaja seperti akar kayu, batu, ranting dan sebagainya yang terdapat di pinggir sungai. Selepas itu biarkan semalaman.

Awal pagi keesokan harinya, mata kail yang dibiar semalaman diperiksa. Hasilnya, 7 ekor belut sungai menjadi mangsa berbanding lebih 40 mata kail yang dipasang. Pernah suatu ketika dahulu saya mendapat belasan ekor belut. Saya pernah mendapat ikan kelah seberat 3 kg menggunakan teknik ini.

Resipi belut sungai
Ringkas sahaja…selepas belut dibersihkan dan dipotong, rebus atau kukus bersama bawang putih, bawang merah, halia serta garam secukupnya. Peram terlebih dahulu selama 30 minit lebih baik. Hmmm… rasanya memang sedap terutama bahagian kulitnya yang agak lembut dan sedikit berlemak. Sedap tak terkata jika dimakan bersama sambal “Tuhau”, sejenis sambal tempatan yang amat terkenal di Negeri Sabah.

Rangkuman Aktiviti Pendidikan Daerah Keningau 2008

Agak sukar juga untuk mengurus dan mengemaskini web blog secara bersendirian. Ini disebabkan sibuk berhadapan dengan tugasan harian dan juga terlibat  secara langsung membantu aktiviti yang dianjurkan oleh PPD Daerah. Biasanya setiap kali aktiviti diadakan saya ditugaskan menyedia buku atur cara majlis dan membuat rakaman sama ada gambar pegun atau video… hmm… mungkin kita boleh berkongsi maklumat tentangnya pada masa akan datang. Itu pun jika ada kelapangan dan ada permintaan.

Dua bulan terakhir tahun 2008 dipenuhi dengan aktiviti pendidikan di Daerah Keningau. Bagaimanapun saya tak sempat memuatkan aktiviti itu lebih awal dalam blog saya kerana bercuti balik kampung. Selepas bercuti barulah ada kesempatan untuk menulis. Kali ini saya kongsikan rangkuman aktiviti pendidikan di daerah Keningau  menjelang akhir tahun 2008.

Majlis Persaraan dan Perpisahan Mantan Pegawai Pelajaran Gabungan Keningau – Puan Jimina Payus @ Doris
Majlis ini berlangsung pada 10 November 2008 di Hotel Perkasa, Keningau, Sabah.

Majlis Penyerahan Surat Kenaikan Pangkat PPLD 2008, Gabungan Keningau
Tarikh: 11 November 2008
Tempat: Dewan Arked, Keningau, Sabah
Terdapat beberapa kategori kenaikan pangkat pada kali ini selaras dengan dasar Kementerian Pelajaran Malaysia yang telah membuka lebih banyak peluang kenaikan pangkat kepada guru-guru. Peluang kenaikan pangkat tersebut ialah:
1.  Kenaikan pangkat Gred DGA29 ke DGA32 secara Time-Based
2.  Guru Besar Cemerlang DGA38
3.  Guru Cemerlang DGA34
4.  Guru Cemerlang DGA32

Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan Pesara JPN Sabah Peringkat Gabungan Keningau
Tarikh: 12 November 2008
Tempat: Hotel Juta, Keningau, Sabah
Majlis penyampaian sijil disempurnakan oleh Ybhg. Datuk Normah Gagoh, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Sabah. Seramai 97 orang pesara yang terdiri daripada bekas guru dan KTBM dari Daerah Tambunan, Nabawan, Tenom dan Keningau menerima sijil penghargaan tersebut. Penyerahan sijil adalah sebagai penghargaan pihak  jabatan terhadap khidmat dan sumbangan mereka semasa dalam perkhidmatan.