RSS Feed for This PostCurrent Article

Sedikit Tulisan Saya Tentang Allahyarham Dato’ Haji Razali bin Ismail

Kepada keluarga Allahyarham Dato’ Haji Razali bin Ismail, izinkan saya untuk berkongsi peristiwa dan memaparkan gambar-gambar yang pernah saya rakamkan di dalam ruang blog saya….

Jumaat, tanggal 28 November yang lepas berlaku satu peristiwa yang amat menyedihkan. Petang itu, saya baru balik dari pejabat. Buka note book untuk mengikuti berita-berita terkini akhbar tempatan secara online. Agak terkejut apabila terpampang berita ringkas pemergian Dato’ Haji Razali bin Ismail, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia. Mindaku segera bertindak balas, terkenang kembali suatu ketika lalu semasa beliau merasmikan Konvensyen PKG Kebangsaan Kali ke 7 di Royale Hotel, Seremban, Negeri Sembilan serta lawatan beliau ke sekolah-sekolah kawasan Pensiangan di pedalaman Sabah. Masih segar seolah peristiwa itu baharu saja berlaku. Saya terkejut dan bertafakur seketika… Inna lillahi Wainna Ilaihi Rajiun.

Meskipun saya hanya sempat mengikuti dua program seperti tersebut di atas yang melibatkan Allahyarham Dato’ Haji Razali bin Ismail, namun saya dapat simpulkan bahawa beliau sememangnya mempunyai semangat, keikhlasan, daya juang yang kental dan unggul untuk memacu dan memartabat bidang pendidikan.

Satu ketika di pangkalan perahu di Kg. Salong, Pensiangan suatu peristiwa berlaku dan sehingga waktu ini peristiwa itu masih lekat di hati saya. Setibanya di penempatan kecil Salong, beliau tanpa berlengah mundar-mandir melewati di celah-celah rumah penduduk kampung, bersalaman dan bertanya khabar, menyapa dengan penuh mesra mereka yang tua mahupun muda. Tentulah pada masa itu beliau jerih kerana perjalanan yang agak jauh. Isu-isu dan masalah pendidikan yang dihadapi penduduk kampung tidak lekang daripada pertanyaan-pertanyaan beliau. Ternyata perwatakan beliau sebagai pemimpin yang berjiwa rakyat amat terserlah.

Warga guru dan sekolah-sekolah seperti SK Logongon, SK Salarom, SK Salong, SK Salinatan, SK Pensiangan dan SK Tinanduk di Mukim Pensiangan, Nabawan tentunya amat beruntung kerana telah berpeluang bersemuka dan meluahkan sendiri masalah-masalah yang dihadapi kepada Allahyarham. Pelajar-pelajar juga turut tidak dilupai oleh beliau dengan memberikan kata-kata semangat agar mereka maju dan mengutamakan pendidikan. Semasa lawatan tersebut, beberapa projek untuk membantu menaik taraf sekolah-sekolah luar bandar dan pedalaman turut diumumkan oleh Allahyarham.

Di Bahagian Teknologi Pendidikan, khususnya Pusat Kegiatan Guru turut mendapat perhatian oleh Allahyarham Dato’ Haji Razali bin Ismail. Semasa merasmikan Konvensyen PKG Kebangsaan kali ke 7, beliau telah melontarkan beberapa cadangan untuk memperkasa PKG dari segi perjawatan, prasarana serta kelengkapan, peralatan dan bahan. Ini disebabkan peranan dan tanggungjawab PKG semakin bertambah khususnya sebagai peneraju utama teknologi pendidikan setempat.

Diucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham serta warga pendidikan di seluruh Malaysia. Sesungguhnya pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar kepada negara. Al-Fatihah……

Trackback URL

Create a free edublog to get your own comment avatar (and more!)

Post a Comment

*
To prove you're a person (not a spam script), type the security word shown in the picture.
Anti-Spam Image