Syoknya Balik Kampung – Menjala Di Sungai

Sekali-sekala nak juga ‘escape’ dari segala kesibukan tugas-tugas di pejabat. Maklumlah…sekarang ni sudah melewati pertengahan tahun 2008, boleh dikatakan kesibukan dan bebanan minda sudah mencapai tahap yang maksimum. Oleh itu, kali ini saya kongsikan salah satu cara saya untuk mengurangkan sedikit tekanan itu.. iaitu aktiviti menjala ikan di sungai. Aktiviti ini juga amat saya gemari sejak dari kecil lagi.. maklum saja, lahir dan dibesarkan di kampung. Sekarang ini, apabila balik kampung saja pasti aktiviti ini awal-awal lagi sudah dicatat dalam ‘aturcara’ utama. Apabila turun ke sungai untuk menjala, biasanya kami pergi beramai-ramai bersama saudara mara terdekat. Orang tua-tua biasanya tidak menggalakkan pergi beramai-ramai. Lebih baik pergi seorang atau dua orang. Alasannya, kalau ramai-ramai nanti ikan lari (bersembunyi) sebab sensitif dengan bunyi bising. Bagi saya tujuan utama bukanlah menangkap ikan, tapi serampang ‘banyak mata’. Ringkasnya…merehatkan fikiran, ada unsur-unsur nostalgia, melihat keindahan alam ciptaan Tuhan, bersantai-santai di sungai sambil-sambil merapatkan lagi hubungan dengan saudara mara dan anak serta anak-anak buah dan baaanyak lagi.

Menjala ikan atau ‘mogundaloh’ mengikut bahasa tempatan (Bahasa Dusun) menggunakan sejenis alat yang dinamakan ‘tundaloh’ atau jala. Tundaloh ditebarkan menggunakan kedua-dua belah tangan. Ia memerlukan sedikit kemahiran. Tebaran yang bagus berbentuk O (Bulat). Kalau kurang mahir, tebaran yang terhasil akan berbentuk 8 (Lapan)… (he..he.. ini istilah kami), maksudnya alamat tak dapat ikan la.. Lokasi sungai yang dijala pula ada tempat-tempatnya, bukan sebarang lempar saja, bergantung kepada jenis dan aliran sungai serta jenis ikan. Memandangkan sungai di kampung saya berbatu-batu dan alirannya agak deras (walaupun sungainya kecil), lokasi yang dijala ialah kawasan air tenang yang terlindung daripada aliran deras air kerana di sinilah tempatnya ikan kelah bermain-main. Kalau inginkan ikan ‘rokot’ (sejenis ikan yang melekat di batu), ‘manahu’ (serawi), ‘sopong’ dll, itu lempar sembarang saja. Maaflah…nama ikan dalam BM dan saintifiknya saya kurang tahu.

Salah satu alat yang digunakan secara tradisi untuk menangkap ikan di kampung saya ialah ‘siud’ atau sawak. Saya amat seronok apabila menggunakan alat ini. Terdapat tiga cara menggunakannya. Pertama, menggunakan bantuan aliran deras air sungai. Cara ini, ‘Siud’ diletakkan di bawah batuan yang dipercayai ada ikan. Apabila batu diubah kedudukannya, ikan akan dihanyutkan oleh aliran deras air sungai masuk ke ‘siud’. Kedua, memerlukan dua tenaga manusia. Seorang perlu memegang ‘siud’, manakal seorang lagi akan mengangkat batu yang mengandungi ikan, biasanya ‘rokot’ yang suka melekatkan dirinya di batu. ‘Siud’ mesti diletakkan serta-merta di bawah batu yang di angkat tadi. Ikan ‘rokot’ akan jatuh ke dalam ‘siud’. Ketiga, ‘siud’ disorong terus ke depan, kemudian diangkat berulang-ulang untuk mendapatkan ikannya. Macam mana.. seronok?

Sehari suntuk menjala ikan amatlah memenatkan.. kini tiba masa pula untuk menjamu selera. Bekalan nasi dibawa dari rumah. Sayur-sayuran tidaklah perlu sangat apabila ‘berkelah’ ke sungai. Tapi ‘wajib’ bawa garam dan lada padi. Beberapa ekor ikan yang dijala atau di’siud’ dibakar. Lepas tu makanlah ramai-ramai… Pernah suatu ketika dahulu masak nasi menggunakan buluh…amboi seronoknya tak terkata makan di tepi sungai… yang pasti… dan sememangnya amat menyeronokkan, ikatan antara keluarga semakin erat, hilang seketika tekanan…dan esok bertambah kuat semula untuk menghadapi tugas-tugas sebagai seorang kakitangan kerajaan.

Nikmatilah keseronokan saya…

Gambar-gambar ini diambil oleh adik saya Marudiah @ Boyod.

About mzurs006

Salam perkenalan dari saya. Saya seorang guru dan kini bertugas sebagai Pegawai Teknologi Pendidikan, di PKG. Keningau, Sabah. Saya amat berminat berkaitan hal-hal pendidikan. Seboleh mungkin, saya akan cuba membantu meningkatkan mutu pendidikan di tempat saya mengikut kemampuan yang ada. Salah satu caranya ialah melalui webblog ini. Semoga blog ini akan bermanfaat kepada warga pendidik khususnya di Pedalaman Sabah.
Bookmark the permalink.

3 Comments

  1. ehwah…ehwah….bukan main seronoknya budak kecil dan budak “besar” bersama2 main di sungai….. teringat saya dulu-duuuuulu di kampung, berkelah sama keluarga di air terjun, syok betul! rindu betul saya…. saya rasa siud kedua lebih senang sikit, lelaki angkat batu, perempuan letak siud di bawah batu….kalau tidak dapat, perempuan senyum saja……haha.

  2. adui na, boyod pun boyod lah..haha. anyway you have such a nice story and useful info in here big bro. ^_^

  3. Boyod..happy nice day…he hee

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *