Menumpang teduh, dahaga kasih di Asrama Desa, SK Logongon, Nabawan

Orang kata, jauh perjalanan luas pemandangan. Demikianlah yang turut saya alami. Semalam, 21 Julai 2008 bersamaan hari Isnin, saya berpeluang sekali lagi menjejakkan kaki ke SK Logongon, Nabawan. Ke sekolah ini entah yang ke berapa kali. Kebetulan kerana ditugaskan mengambil gambar sempena lawatan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia ke SK Menawo, Keningau, SK Logongon, SK Babalitan, SMK Sepulot dan SK Salarom, Nabawan, Pensiangan. Satu-satunya cara untuk sampai cepat ke sekolah ini ialah dengan menggunakan bot mengikut laluan sungai dari Kuala Salong. Jalan darat juga boleh digunakan tetapi mengambil masa selama 5 jam perjalanan dari Pekan Nabawan.  Ketika kaki melangkah ke dalam bilik Asrama Desa SK Logongon, Nabawan, tiba-tiba saya ternampak kelibat seorang kanak-kanak yang bertubuh kecil. Mulanya saya jangkakan kanak-kanak itu dari sekitar kampung ini yang keluar masuk di asrama untuk mencari kawan sepermainan. Jangkaan saya ternyata meleset apabila rakan-rakannya mengatakan kanak-kanak itu adalah pelajar tahun 1 dan tinggal di asrama. Saya mula mengalihkan perhatian kepada kanak-kanak itu dan beberapa orang kanak-kanak yang sebaya dengannya. Pada masa yang sama, saya mula terhidu bau hamis dan hancing. Hati saya sedikit pilu mengenangkan kanak-kanak tersebut. Dalam usia semuda itu, bagaimanakah agaknya mereka menguruskan diri semasa tinggal jauh dari keluarga. Di antara ramai, saya berkenalan dengan seorang penguni asrama bernama Jarius Imot, 7 tahun, berasal dari Kg. Lumpagas, Nabawan, Pensiangan, Sabah. Menurut rakan-rakannya, untuk ke kampungnya mengambil masa selama 2 jam perjalanan menggunakan bot memudiki sungai Salong, melewati SK Babalitan, Nabawan. Menurut adik Jarius, di asrama desa ini dia terpaksa menguruskan dirinya sendiri seperti mandi, mencuci pakaian, mengemas tempat tidur dan lain-lain. Agak menyedihkan kerana pada masa pertemuan itu dan dengan sedikit ujian, adik Jarius masih belum boleh membaca. Apabila ditanya tentang cita-cita, dengan syor rakan-rakan yang berada di sekelilingnya, adik Jarius dengan nada tegas mengatakan ingin menjadi seorang anggota Polis. Katanya lagi, dia suka tinggal di asrama kerana makan minum disediakan mencukupi. Buat adik Jarius dan rakan-rakannya di Asrama Desa, SK Logongon, Nabawan, semoga anda semua berjaya dalam apa juga bidang yang diceburi.


 Gambar: Adik Jarius Imot (atas) bersama rakan-rakan di Asrama Desa, SK Logongon, Nabawan, Sabah.

 

About mzurs006

Salam perkenalan dari saya. Saya seorang guru dan kini bertugas sebagai Pegawai Teknologi Pendidikan, di PKG. Keningau, Sabah. Saya amat berminat berkaitan hal-hal pendidikan. Seboleh mungkin, saya akan cuba membantu meningkatkan mutu pendidikan di tempat saya mengikut kemampuan yang ada. Salah satu caranya ialah melalui webblog ini. Semoga blog ini akan bermanfaat kepada warga pendidik khususnya di Pedalaman Sabah.
Bookmark the permalink.

7 Comments

  1. mereka memang hebat……umur 7 tahun, saya masih bodoh2, mana la tahu mengurus diri. Inilah dugaan hidup……kita yang serba lengkap ini patut bersyukur dan berterima kasih. jikalau pelajar saya boleh dibawa berkunjung ke sana, mungkin mereka akan berusaha dengan lebih gigih.

  2. Setuju la Hoo… Adik Jarius ini terlalu muda untuk dibiar berdikari, namun setelah dewasa kelak letaklah dia di mana-mana dan dalam keadaan apa sekalipun…saya amat berkeyakinan adik ini akan berjaya menghadapinya dengan tenang dan mudah. Saya juga.. seawal Darjah 3 pada tahun 1979, sudah tinggal di asrama sehingga tingkatan 6 dan Maktab Perguruan pada tahun 1994. Pengalaman itu sememangnya amat mencabar, namun ia amat berguna sampai bila2…

  3. Saudara Mzur006: Saya bertugas di sekolah ini tapi saya sudahpun transfer ke Tenom semula pada 28 Oktober 2008. Bolehkah saudara kirimkan gambar beramai-ramai bersama ketua s/usaha Kementerian Pelajaran di email saya kalau boleh sewaktu saya bentang sesuatu di depan KSU itu sekali dan yg lain2lah T. kasih atas k/sama. Tq
    email: svie5199@yahoo.com.my

    Saya ucapkan t/kasih atas paparan dan pernyataan saudara di dalam artikel ini. Ia sesuatu yang boleh direnungkan oleh semua pembaca. Tq.

  4. tkasih komen sdra…malangnya external hard disk yg saya guna untuk simpan semua koleksi gambar saya termasuk di logongon rosak dia punya io (input/output error)..dah hantar ke kedai utk dibaiki. Kalau dah ok..nanti sya email.

  5. Emm..saya kagum dengan semangat belajar budak-budak ni..saya juga berasal dari Nabawan dan pernah bersekolah di sana..saya tau macamana kesukaran yang dihadapi..kita tidak harus meminggirkan mereka dan mereka patut dibantu untuk lebih berjaya

  6. Thnx Nonong…tkasih di atas komen sdra.

  7. thanks,..cuz adakan articel mcmne..sa kenal btul bdk dlm crta kmu krn sa jg dr kg y sma..mmg hdp pyh kn ibubpa bcrai dan mrka ikut emak y brasal dr kg sa(Lumpagas.)sa jg prnh sek d sk logongon…

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *